Demi paras menawan

Obsesi mengejar kecantikan semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini, sampaikan ramai yang lupa hukum sebenar di sisi agama.

Sesetengah orang terlalu obses dalam mengejar kecantikan sehingga sanggup mengambil risiko menjalani pembedahan untuk menukar bentuk badan dan juga wajah supaya menjadi lebih menarik. Dalam komuniti majoriti Muslim di Malaysia, agama seharusnya menjadi penghalang terbesar dalam melakukan pembedahan sebegini, tetapi melihatkan trend hari ini, ternyata ia bukanlah sekatan.

Baru-baru ini, kecoh di Twitter tentang sebuah pusat kecantikan yang menawarkan perkhidmatan kecantikan seperti pembesaran payu dara (breast augmentation), penciptaan lesung pipit (dimple creation), dan pemutihan kulit (whitening booster). Desakan hati yang mahukan kecantikan mendorong para pelanggan untuk menggunakan khidmat pusat kecantikan ini walaupun tanpa nasihat doktor pakar.

Haram dari sudut pandangan Islam

Perkhidmatan kecantikan, atau lebih dikenali sebagai pembedahan plastik (atau juga pembedahan kosmetik) bukanlah trend yang baharu di Malaysia. Malah, kemunculan pusat-pusat kecantikan yang menawarkan khidmat ini juga ibarat cendawan tumbuh selepas hujan.

Walau ada pakar-pakar pembedahan plastik yang berdaftar di Malaysia dan mereka ini mempunyai lesen untuk menjalankan pembedahan, apabila agama memainkan peranan, ada banyak syarat yang perlu dipatuhi.

Dibolehkan untuk kesihatan

Dalam Islam, pembedahan plastik dibenarkan jika ia untuk tujuan kesihatan. Contohnya, membaiki kesan luka parah akibat kemalangan atau kebakaran, mengembalikan fungsi tubuh sebagaimana yang sepatutnya, dan melindungi pesakit daripada suatu penderitaan (emosi atau fizikal) yang teruk.

Namun, Islam melarang pembedahan plastik yang dilakukan hanya untuk menambah kecantikan lebih daripada yang dikurniakan Allah swt. Pembedahan bukan sahaja mengubah ciptaan asal Tuhan, tetapi juga memudaratkan kesihatan, memberi kesan sampingan jangka panjang, dan untuk kes yang lebih ekstrem, boleh menyebabkan kematian.

Haram juga melukis tatu, kening, dan pengubahsuaian (tatarias) yang berlebih-lebihan sehingga mengubah wajah

Di samping itu, hukum ini bukan cuma untuk mereka yang menjalani pembedahan plastik. Dalam situasi yang lebih ringan seperti solekan, terutama sekali isu mencabut dan melukis bulu kening ialah antara yang sering dipandang remeh.

Jelas sekali haram sekiranya ia dilakukan untuk kecantikan, tetapi harus dicabut jika bulu kening yang ada berlebihan sehingga kelihatan serabut, dan juga harus dilukis jika kening tiada kerana kecacatan.

Selebriti tidak terkecuali, malah mereka yang dijadikan ikutan

Isu selebriti (dalam dan luar negara) menjalani pembedahan plastik, seperti mengubah bentuk hidung, bibir, dagu, dan juga warna kulit telah lama bertiup kencang walau ada yang tidak mengakuinya. Dek kerana selebriti nampak cantik kerana pembedahan yang dilakukan, ramai peminat, terutamanya anak muda yang mudah terpengaruh mula terikut-ikut.

Walau bagaimana cantik pun hasil pembedahan mereka, ia tetap tidak mengubah satu fakta bahawa ia haram di sisi Islam.

Lebih memilih ahli kecantikan daripada doktor pakar

Selebriti semestinya tidak terkecuali daripada hukum-hakam, tetapi dalam dunia di mana wajah yang menawan menjanjikan populariti dan status, terkadang hukum agama dilupakan.

Lebih memburukkan keadaan, ramai antara mereka ini – selebriti dan juga orang awam – menggunakan khidmat ahli kecantikan (beautician) dan bukannya doktor bertauliah yang mempunyai kepakaran dalam bidang pembedahan plastik (plastic surgeon). Akibatnya, ada yang terpaksa menanggung kesan sampingan seumur hidup.

Kecantikan adalah segala-galanya?

Ramai orang menjalani pembedahan plastik bukan semata-mata untuk kelihatan cantik, tetapi juga kerana kecantikan memberi mereka keyakinan yang tinggi. Jadi tidak hairanlah sekiranya mereka sanggup mengenepikan risiko yang jelas ada asalkan mereka dapat apa yang dihajatkan.

Tiada jalan yang pasti untuk mengubah trend ini. Selagi kecantikan menjadi keutamaan dalam setiap aspek kehidupan, selagi itulah kepuasan tidak akan ada dan mereka akan terus mengejarnya.

Want More Story From Us?