Dadah takluki kawasan luar bandar?

Kemajuan yang dibangunkan di kawasan luar bandar pada asalnya bertujuan untuk memperbaik gaya hidup penduduk di sana. Tetapi dengan bermacam-macam pembaharuan, muncul pula masalah lain: dadah.

Penyalahgunaan dadah bukanlah masalah sosial yang baharu di Malaysia, tetapi apa yang dahulunya menjadi musuh utama mereka di kawasan bandar kini telah merebak ke kawasan luar bandar pula.

Sindiket dadah berpindah ke luar bandar

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, terdapat trend terkini di Malaysia di mana sindiket dadah memilih untuk berpindah dari kawasan bandar ke luar bandar demi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa.

Tahun lalu, pihak polis berjaya mengesan 19 buah makmal memproses dadah di seluruh negara, dan kebanyakannya ditemui di kawasan luar bandar. Dipercayai lebih ‘selamat’ daripada pantauan pihak berkuasa, dalang-dalang pengedaran dadah mengambil peluang ini untuk memperluas pengaruh mereka di kawasan luar bandar.

Di samping itu, antara sebab lain tokan-tokan dadah memilih untuk menjalankan operasi di kawasan luar bandar ialah kerana kebersihan kawasannya. Oleh sebab itulah, mudah untuk penduduk kawasan luar bandar terjerumus ke dalam kancah penyalahgunaan dadah ini.

Tahap sosio-ekonomi luar bandar yang lebih baik

Usaha membangunkan kawasan luar bandar seharusnya membawa perubahan yang positif, tetapi ia ternyata tidak mampu melindungi para penduduk daripada ancaman dadah. Dengan situasi sosio-ekonomi yang makin membaik, ia juga menjadi faktor untuk mereka yang tinggal di kawasan luar bandar mendapatkan bekalan dadah dengan mudah.

Sebagai bukti, menurut laporan Suara Sarawak, peningkatan dalam kes penyalahgunaan dadah di Sarawak, terutamanya di kawasan luar bandar kini berada pada tahap membimbangkan. Tambahan pula, sistem perhubungan jalan yang sudah dibaik pulih memudahkan urusan jual beli dadah seperti syabu, ketamin, dan pil ekstasi.

Pelajar-pelajar sekolah menjadi sasaran
Dadah jenis syabu dikatakan menjadi pilihan kebanyakan penagih dadah.
Imej dari: Sentiasa Panas

Pengguna dadah termuda seperti yang direkodkan Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) ialah kanak-kanak berusia tujuh tahun.

Pada tahun 2018, laporan daripada Malaysia Crime Prevention Foundation (MCPF) menunjukkan bahawa 1,709 daripada 41,741 murid sekolah menengah didapati positif dadah dalam ujian yang dijalankan di 178 kawasan yang berisiko tinggi (high-risk areas). Kawasan berisiko tinggi ini termasuklah Sarawak, Kedah, dan Kelantan.

Selain pengaruh negatif yang dibawa rakan sebaya serta kebebasan yang diberikan ibu bapa, kurangnya pengetahuan tentang bahaya dadah juga boleh menjadi punca para remaja ini memilih untuk mencuba dadah.

Jangan biarkan dadah hancurkan apa yang telah dibina

Tinggal di kampung dikatakan mempunyai kelebihan tersendiri kerana kawasan yang tenang jauh dari kesibukan kota dan kadar jenayah yang tidak setinggi di bandar-bandar yang berkembang maju.

Tetapi sekiranya isu ini tidak dibanteras sepenuhnya, kelak, apa yang dihargai oleh mereka yang tinggal di kampung akan hilang dimamah najis dadah.

Want More Story From Us?