Bunuh diri bukan jenayah

Cubaan membunuh diri sebenarnya ialah tangisan sunyi seseorang yang memerlukan pertolongan. Wajarkah mereka ini dihukum?

800,000 kematian yang berpunca daripada bunuh diri dilaporkan di seluruh dunia setiap tahun, dan bunuh diri merupakan punca ke-2 tertinggi kematian bagi mereka yang berusia dalam lingkungan 15 sehingga 29 tahun.

Lebih membimbangkan, di Malaysia, terdapat tujuh kes bunuh diri direkodkan setiap hari, 56.6% memilih untuk menggantung diri, manakala 15.1% lagi menggunakan racun.

Fakta dan info bunuh diri.
Imej dari: Facebook Public Health Malaysia

Tanda-tanda amaran seseorang yang nekad untuk mengakhiri hidup mereka boleh dikesan melalui penulisan dan percakapan. Apa yang sesetengah orang mungkin anggap sebagai gurauan sebenarnya beban yang tidak lagi dapat ditanggung sehingga satu-satunya jalan yang ada di fikiran supaya semua kekecewaan hidup berakhir ialah membunuh diri.

Jadi, wajarkah mereka ini dihukum?

Seksyen 309 mengkategorikan bunuh diri sebagai suatu jenayah

Seksyen 309 Kanun Keseksaan ada menyebut bahawa individu yang membuat percubaan membunuh diri boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak melebihi satu tahun, atau dikenakan denda, atau kedua-duanya sekali. Walaupun rasional akta ini mungkin boleh dilihat pada ketika ia dikuatkuasakan, tetapi hari ini ketika seisi dunia mula membuka mata tentang kesedaran kesihatan mental, ia sudah menjadi ‘ketinggalan zaman’ (outdated).

Percubaan membunuh diri menjadi jenayah di Malaysia sejak negara ini menjadi tanah jajahan British lagi. British pula merangka Kanun Keseksaan di Malaysia berdasarkan undang-undang yang dibuat di India ketika India berada di bawah jajahan mereka. Oleh itu, mana-mana perbuatan yang dianggap sebagai jenayah di India juga dijadikan jenayah di Malaysia.

Asalnya bertujuan untuk menghalang perbuatan membunuh diri

Akar umbi kepada undang-undang ini ialah agama. Selain Islam agama rasmi Malaysia yang sememangnya melarang keras perbuatan membunuh diri, agama Kristian menjadi pengaruh utama undang-undang ini dilaksanakan. Hindu, katolik, dan yahudi juga antara agama lain yang melarang bunuh diri.

Tambahan pula, fakta saintifik banyak mengaitkan bunuh diri dengan masalah mental yang kritikal. Dengan stigma yang tebal dalam kalangan rakyat Malaysia yang sering melabel mereka yang menderita masalah mental sebagai ‘gila’ atau ‘tidak siuman’, mereka yang membuat percubaan bunuh diri juga tergolong dalam kumpulan yang sama.

Oleh itu, dengan adanya undang-undang yang menjadikan percubaan bunuh diri sebagai jenayah, ia diibaratkan seperti teguran kasar terhadap masyarakat serta diharapkan dapat menghalang sesiapa sahaja yang merancang untuk bunuh diri.

Tetapi sayangnya, sebaliknya pula yang berlaku kerana ia boleh dijadikan sebagai suatu motivasi bagi mereka yang merancang untuk bunuh diri: “Kalau merancang untuk bunuh diri, pastikan percubaan itu berjaya supaya nanti tidak akan didakwa di mahkamah”.

Mereka perlukan bantuan perubatan, bukannya hukuman

Statistik global menunjukkan 90% individu yang membunuh diri mempunyai masalah mental dan 60% mengalami kemurungan. Jelaslah, mereka memerlukan rawatan professional, contohnya daripada pakar perubatan, psikologi, kaunselor dan ahli agama, dan bukannya dihantar ke penjara atas kesalahan yang tidak melibatkan orang lain selain diri mereka sendiri,

Rakyat menyokong untuk Seksyen 309 Kanun Keseksaan ini dipinda, kerana tiba masanya pihak berkuasa memenuhi janji untuk lebih menitikberatkan kesedaran kesihatan mental dalam masyarakat, sekali gus menghapuskan stigma.

Individu yang menderita penyakit mental, terutama sekali mereka yang masih muda, tidak memerlukan hukuman penjara atau denda berupa wang, sebaliknya rawatan yang berkesan dan berpanjangan supaya perbuatan yang sama tidak berulang lagi.

Usaha untuk memansuhkan Seksyen 309

Mengikut Ask Legal, kebanyakan kes yang melibatkan cubaan membunuh diri tidak diproses untuk tindakan seterusnya (No Further Action), kerana ramai pihak polis berpendapat bahawa ia bukanlah suatu kes jenayah yang berat. ‘Pesalah-pesalah’ juga tidak didakwa di mahkamah kerana pihak polis tidak mahu menambah tekanan kepada mereka yang pastinya sudah cukup tertekan.

Situasi ini boleh dijadikan satu lagi sebab mengapa perbuatan membunuh diri tidak seharusnya disifatkan sebagai jenayah. Oleh itu, kerajaan digesa untuk meminda Seksyen 309, supaya kes bunuh diri yang semakin meningkat akan dapat dibendung dengan lebih efektik.

Benar, bunuh diri adalah pilihan individu. Tetapi, andainya itulah satu-satunya pilihan untuk menamatkan penderitaan yang ada, kenapa perlu ia dianggap sebagai suatu jenayah?

Want More Story From Us?