Bukan Darurat Pertama Yang Pernah Dilaksanakan

Pengisytiharan proklamasi darurat yang dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah merupakan satu kejutan yang besar buat rakyat Malaysia pada 12 Januari berikutan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa buah negeri serta wilayah persekutuan telah diumumkan pada hari sebelumnya.

Susulan dengan pengisytiharan mengejut itu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah tampil dan menjelaskan bahawa darurat yang dilaksanakan sehingga 1 Ogos itu adalah langkah proaktif untuk membendung wabak Covid-19 di Malaysia yang semakin meningkat, di samping pergantungan sesi parlimen dan tiada pilihan raya umum (PRU) akan diadakan sepanjang tempoh darurat ini.

Keadaan sebegini bukanlah kali pertama di hadapi oleh negara malah, proklamasi darurat ini merupakan darurat yang kesembilan yang pernah diisytiharkan dalam sejarah negara.

Rusuhan Kaum 13 Mei (1969)

Pengisytiharan darurat pernah dilaksanakan sewaktu peristiwa 13 Mei 1969 yang mana telah tercetusnya rusuhan kaum selepas pilihan raya umum negara pada ketika itu.

Rusuhan itu berlaku apabila parti pembangkang memenangi kerusi parlimen agak besar berbanding PRU sebelum ini. Mereka juga berarak kerana calon parti Gerakan telah memperolehi kemenangan besar di kawasan Batu Selangor.

Perkara itu telah menimbulkan ketidakpuasan hati di kalangan orang Melayu dan UMNO, yang mana telah menjadi punca rusuhan itu berlaku. Selain itu, sentimen perkauman turut dimainkan dan telah menimbulkan lagi amarah di kalangan sesama mereka.

Pengiystiharan darurat telah dilakukan oleh Yang Di-Pertuan Agong pada malam 16 Mei bagi mengelakkan pekara lebih buruk terjadi. Parlimen digantung dan Yang Di-Pertuan Agong telah memerintah negara dengan dibantu oleh tentera-tentera.

Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) turut ditubuhkan untuk mengembalikan keamanan dan kestabilan di dalam negara, yang pada ketika itu berada di ambang yang sangat teruk. Rusuhan ini juga telah meragut lebih kurang 400 nyawa yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina serta kaum lain.

Darurat Jerebu

Selain darurat yang berpunca daripada isu politik dan konflik antara kaum, negara juga pernah melaksanakan darurat jerebu akibat pencemaran udara yang berbahaya dan tidak sihat.

Namun, darurat itu hanya melibatkan beberapa kawasan tertentu. Antara kawasan yang pernah dilaksanakan perintah darurat jerebu ialah Sarawak (1997), Klang (2005) dan Muar serta Ledang (2013).

Pengisytiharan darurat hanya akan dilakukan apabila indeks pencemaran udara (IPU) telah melebihi paras sangat tidak sihat iaitu 500. Perintah darurat akan ditarik kembali jika bacaan indeks IPU telah kembali ke paras yang sepatutnya dan rakyat juga boleh meneruskan kehidupan seharian mereka.

Darurat Parlimen Batu Sapi

Kematian penyandang Batu Sapi Datuk Liew Vui Keong pada 2 Oktober 2020 akibat jangkitan paru-paru telah memaksa untuk membuka ruang bagi mengadakan pilihan raya kecil (PRK).

Namun, peningkatan kes Covid-19 yang membimbangkan akibat daripada pilihan raya negeri (PRN) Sabah serta beberapa faktor lain telah menyebabkan kawasan tersebut diisytiharkan darurat.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah  mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Parlimen Batu Sapi pada 18 November, yang mana sekali gus membatalkan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi bagi mengekang dan menghalang berlakunya gelombang keempat penularan pandemik Covid-19.

Pengisytiharan tersebut turut mendapat sokongan ahli politik di mana mereka bersetuju untuk tidak mengadakan PRK di Sabah kerana peningkatan kes tersebut. Proklomasi Darurat di Batu Sapi hampir sama dengan darurat yang dilaksanakan baru-baru ini untuk mengelak sebarang PRU serta aktiviti politik dilakukan.

Rakyat Tidak Perlu Panik

Meskipun negara berada di bawah pelaksanaan darurat, rakyat tidak perlu panik kerana darurat kali ini hanya bertumpukan pada aktiviti politik sahaja dan aktivti harian masih boleh dilakukan.

Malah, Malaysia pernah menghadapi situasi yang lebih kurang sama sebelum ini jadi, apa yang boleh dilakukan oleh rakyat sekarang hanyalah patuh kepada segala arahan yang diberikan dan segala prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh kerajaan agar semuanya dapat kembali seperti biasa.

Want More Story From Us?