Bercuti cara Islam di Malaysia

Ramai pelancong Muslim dari negara-negara luar menjadikan Malaysia sebagai destinasi idaman untuk percutian halal mereka kerana Malaysia sememangnya menyediakan infrastruktur mesra Islam yang terbaik.

Permintaan terhadap industri halal kian meningkat dari tahun ke tahun, tidak kiralah sama ada dalam bidang kecantikan, farmaseutikal, dan makanan. Malah, dengan kemunculan pelancongan halal, belum ada tanda-tanda yang ia akan susut dalam masa terdekat.

Saiz pasaran halal global 2014-2024.
Imej dari: Hexa Research

Suatu ketika dahulu, negara-negara Islam dipandang sebagai negara-negara yang mundur. Tiada tempat menarik yang boleh memikat perhatian dunia, dan tiada kesempatan untuk negara-negara ini mengetengahkan pelancongan sebagai sektor ekonomi utama.

Namun keadaan mula berubah dengan penubuhan Organization of Islamic Conference (OIC) pada tahun 1696 yang bertujuan untuk membangunkan ekonomi negara-negara Islam. Sejak itu, perhatian pelancong, terutama sekali mereka yang beragama Islam di sekeliling peta dunia, mula teralih kepada negara-negara ini.

Menurut kajian, seramai 117 juta pelancong Muslim telah direkodkan pada tahun 2015 yang merangkumi 10% daripada keseluruhan ekonomi pelancongan dunia. Dianggarkan pada tahun 2020, jumlah tersebut akan meningkat kepada 180 juta pelancong Muslim yang bakal mengisi 11% daripada ekonomi pelancongan dunia dengan pembelanjaan sebanyak USD 212 juta.

Imej dari: PROSIDING PENGURUSAN HALAL, EKONOMI DAN PERNIAGAAN 2016
Mendefinisikan ‘pelancongan halal’ dalam konteks Malaysia

Pelancongan halal atau halal travel ialah percutian atau pengembaraan mereka yang beragama Islam ke sesuatu tempat yang menyediakan kemudahan-kemudahan yang mesra Islam, termasuklah dari segi pengangkutan, penginapan, pemakanan, dan juga aktiviti-aktiviti kerohanian yang lebih mendekatkan diri setiap Muslim kepada Allah swt. Lebih-lebih lagi, Islam sendiri menggalakkan umatnya pergi melancong untuk melihat sendiri keagungan dan keindahan ciptaan Tuhan di seluruh alam semesta. Juga untuk meningkatkan pengetahuan, daya kreativiti, dan daya intelek untuk menghadapi cabaran hidup.

Di Malaysia, industri pelancongan halal mula mekar sekitar tahun 2009. Sejak itu, industri ini terus pesat membangun hingga meletakkan negara ini sebagai destinasi impian para Muslim di serata dunia.

Selama sembilan tahun berturut-turut Malaysia menduduki tangga pertama Indeks Pelancongan Muslim Global berdasarkan kajian oleh Mastercard-CrescentRating Global Muslim Travel Index (GMTI) 2018. Daripada 130 buah negara yang dinilai, Malaysia mempunyai banyak infrastruktur yang mesra Islam, seperti restoran yang diiktiraf halal, kawasan dan ruang solat yang tersedia di banyak tempat, termasuklah lapangan terbang dan hotel yang mempunyai tanda arah kiblat.

Ini bermakna pasaran pelancongan halal di Malaysia kini berada di tahap global, di mana pelancong-pelancong beragama Islam di seluruh dunia memilih untuk datang melancong ke Malaysia kerana budaya dan ciri-ciri Islamik yang dipraktikkan penduduknya.

Potensi Malaysia untuk terus maju sebagai destinasi terpilih bagi mereka yang inginkan pelancongan halal sangat besar. Tetapi adakah kaliber ini digunakan dengan sebaik-baiknya?

Persepsi negatif terhadap pelancongan halal di media Barat

Perkataan ‘Islam’ atau ‘Muslim’ sudah begitu sinonim dengan imej kumpulan pengganas terutama sekali di media Barat dan Eropah. Begitu juga dengan perkataan ‘halal’ yang sering diterjemah sebagai agenda dan gerakan pengislaman. Lebih daripada itu, media Barat juga sering kali menonjolkan sisi negatif pelancongan halal dengan menjadikan ketiadaan hiburan (yang melalaikan) dan alkohol sebagai fokus, sedangkan kedua-dua aspek ini merupakan syarat asas dalam pelancongan halal bagi orang Islam.

Oleh yang demikian, Malaysia telah mengambil pelbagai inisiatif untuk mempromosikan namanya sebagai destinasi idaman para Muslim di serata dunia.

Kementerian Pelanconganlah antara yang banyak menyumbang untuk memperkenal pasaran pelancongan Islam sebagai pasaran utama. Dari situ, tertubuhnya Pusat Pelancongan Islam (Islamic Tourism Centre/ ITC) untuk membawa Malaysia sebagai hab utama pelancongan halal ke mata dunia.

Selain itu, memandangkan Malaysia telah disenaraikan oleh United Nations pada 2017 sebagai benchmark (penanda aras) makanan halal, Malaysia juga berusaha untuk menjalin hubungan perdagangan dengan negara-negara luar seperti Jepun, untuk membekalkan bekalan makanan halal melalui inisiatif Digital Trade Halal Value Chain, di samping terus mempromosikan pasaran pelancongan halal di Malaysia di peringkat global.

Terbaru, Malaysia telah pun memperkenal Pengiktirafan Premis Penginapan Pelancongan Mesra Muslim dalam usaha untuk menarik pelancong Muslim dari serata dunia demi memenuhi anggaran jumlah 230 juta pelancong menjelang 2026. Tujuan premis ini adalah untuk memastikan penginapan hotel bagi para pelancong mesra Islam tanpa ada keraguan untuk mendirikan ibadah.

Negara-negara di seluruh dunia yang mana penduduk Muslimnya hanyalah golongan minoriti sedang berlumba-lumba dalam memperkenal pasaran pelancongan halal terbaik, antaranya Hong Kong, Taiwan, serta negara-negara Eropah dan juga Barat.

Saingan dari negara-negara jiran seperti Indonesia, Thailand, dan Brunei juga semakin memberikan tekanan kepada Malaysia untuk mengekalkan tempatnya sebagai destinasi utama pelancong Muslim. Namun, selagi ciri-ciri Islamiknya dikekalkan dan terus diperbaik dari semasa ke semasa, Malaysia akan terus menjadi yang terbaik dalam mempertahan pelancongan halal di mata dunia.

Want More Story From Us?