Mampu bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik bukanlah bukti kepintaran seseorang, tetapi mengusainya juga merupakan suatu kemestian.
Mampu bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik bukanlah bukti kepintaran seseorang, tetapi mengusainya juga merupakan suatu kemestian.
Penguasaan bahasa Inggeris bukan kayu pengukur daya intelek seseorang, sebaliknya ia adalah suatu perantara yang membolehkan dua individu (atau lebih) dari latar belakang yang berbeza berkomunikasi.
Perspektif ini mungkin betul mengikut sudut pandangan sesetengah rakyat Malaysia. Walau bagaimanapun, ia tidak seharusnya menjadi pegangan atau alasan untuk seseorang itu tidak cuba memperbaik penguasaan bahasa Inggerisnya.
Kecekapan berbahasa Inggeris, baik dari segi percakapan lisan atau kemahiran penulisan, sebenarnya memberi banyak faedah kepada penutur. Antaranya, berpeluang mendapat pekerjaan yang baik, menempah tempat di institusi pengajian tinggi yang cemerlang, dan lebih mudah memahami isi pengajian di universiti yang kebanyakannya menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama.
Bahkan, dalam dunia yang didominasi bahasa Inggeris ini, ia juga dipandang sebagai aspek yang mengangkat ‘martabat’ penutur dalam masyarakat sosial.
Ia simbol status seseorang penutur
Beberapa bulan yang lalu, usahawan berjaya dan terkenal Vivy Yusof mengadakan bahasa Melayu (BM) challenge, di mana beliau bercakap menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam masa 24 jam.
Malangnya, ‘cabaran’ itu telah mengundang kecaman ramai netizen kerana beliau yang merupakan seorang wanita berketurunan Melayu seharusnya fasih berbahasa Melayu dan bukannya menggunakan bahasa ibunda itu sebagai jenaka sosial media.
Sementelah, sejak video ‘cabaran’ Vivy Yusof itu tular, ada yang menganggap bahawa ramai orang Melayu sendiri memilih untuk tidak menggunakan bahasa Melayu dalam percakapan harian mereka kerana takut dilabel ‘low class’ (kelas rendah).
Realitinya, di Malaysia, keupayaan untuk bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan baik mengangkat taraf seseorang di mata masyarakat sosial. Dalam erti kata lainnya, bahasa Inggeris dianggap sebagai simbol martabat sosial dan keprofesionalan seseorang.
Tetapi itu tidak bermaksud mereka yang memilih untuk bertutur dalam bahasa Melayu dalam kehidupan harian adalah mereka yang kurang bijak dan boleh dipandang rendah.
Ia juga bahasa perniagaan
Selain itu, bahasa Inggeris juga dikenali sebagai business language (bahasa perniagaan). Oleh yang demikian, mereka yang mempunyai kecekapan bahasa Inggeris yang tinggi lebih berpotensi untuk mendapat pekerjaan berbanding mereka yang tidak fasih berbahasa Inggeris.
Bahasa Inggeris adalah bahasa sejagat yang diterima dan digunakan secara meluas di seluruh dunia. Justeru, ramai majikan yang mencari calon-calon pekerja yang mampu bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik supaya pekerja-pekerja tersebut dapat membantu mengembangkan ekonomi syarikat ke peringkat global melalui interaksi serta urusan perniagaan di peringkat antarabangsa.
Walaupun bahasa Inggeris tidak menentukan daya intelek seseorang secara mutlak, ia sebenarnya merupakan suatu keperluan yang jarang ditemui tetapi sangat bernilai di negara ini, di samping menentukan sejauh mana seseorang itu mampu pergi serta hala yang bakal dituju.
Tidak salah belajar untuk memperkuat pemahaman dan kecekapan dalam bahasa Inggeris, tetapi sikap terlalu mengagung-agungkan bahasa luar daripada bahasa ibunda sendiri kadangkala menggores hati banyak pihak.
Apa kurangnya bahasa Melayu berbanding bahasa Inggeris? Jawapannya, tiada yang kurang, tetapi status bahasa Inggeris yang telah diangkat tinggi di mata dunia menjadikan ia suatu kemestian yang perlu dipelajari rakyat Malaysia tidak kiralah sama ada mereka suka ataupun tidak.