Rakyat Malaysia telah berusaha sebaik mungkin untuk mengikuti langkah-langkah keselamatan COVID-19 dengan harapan dapat kembali menjalani kehidupan normal. Tetapi langkah-langkah itu juga membuatkan kebanyakkan orang tidak berdaya, dengan semakin ramai yang tidak dapat memenuhi keperluan asas mereka.
Sejak beberapa hari yang lalu media sosial dibanjiri dengan satu kempen kemasyarakatan yang dianjurkan oleh rakyat Malaysia sendiri.
Kempen ini bertujuan untuk memastikan tiada sesiapa yang akan kelaparan sepanjang menghadapi krisis Covid-19 yang berlarutan susulan pelbagai Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan kerajaan sejak pandemik ini bermula.
Mula tercetus
Niaga AWANI melaporkan bahawa melalui carian di Twitter, ia menunjukkan kempen ‘bendera putih’ ini mungkin telah dimulakan oleh pengguna Facebook bernama ‘Jah’ atau Nik Faizah Nik Othman yang merupakan Timbalan Ketua Angkatan Wanita Amanah Negeri Kelantan pada 28 Jun.
Beliau berkata hantaran yang dimuat naik mengenai bendera putih itu sebenarnya ditulis ikhlas dari hatinya sendiri setelah melihat banyak kesusahan yang berlaku akhir – akhir ini.
Nik Faizah turut menjelaskan rasional disebalik warna putih itu kerana setiap rumah mempunyai lampin putih dan baju sekolah putih. Oleh itu, jika terdesak apa sahaja yang ada di depan mereka itu boleh digunakan untuk meminta bantuan.
Usaha bersama
Pelanjutan Fasa 1 daripada Pelan Pemulihan Negara telah menimbulkan pelbagai ketidakpastian kerana ramai yang tidak mampu menjangka bila sekiranya mereka boleh kembali keluar mencari rezeki susulan penutupan kebanyakan sektor ekonomi.
Oleh itu, dengan harapan dapat menghubungi dan membantu sesiapa pun pada saat ini, rakyat Malaysia telah berusaha menyebarkan kempen Bendera Putih ini dengan meluas di semua media sosial, termasuk Twitter, Facebook dan Instagram.
Di Twitter, hashtag #BenderaPutih mengumpulkan lebih dari 25,000 ciapan sejak ia mula ditularkan. Foto bendera putih yang dinaikkan di pintu rumah juga menjadi tular, yang menjadi asbab kempen disebarkan dengan lebih meluas.
Tanda bantuan
Walaupun menaikkan bendera putih biasanya dikaitkan dengan penyerahan diri, kempen ini diharapkan dapat membantu meningkatkan kesadaran bahawa tidak ada rasa malu dalam meminta pertolongan untuk mendapatkan makanan atau keperluan kerana kita semua memerangi wabak yang telah meragut banyak nyawa dengan cara dan kesusahan yang berbeza.
Simbol yang sukar dilupakan juga membolehkan rakyat Malaysia membantu menjaga satu sama lain dan komuniti mereka, dan menghulurkan bantuan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan.
Ini bagi memastikan bahawa mereka yang berasa tidak berdaya atau memerlukan bantuan dibantu dan bukannya berjuang secara bersendirian.
Rakyat Malaysia semestinya sudah lama menunggu sekatan pergerakan ini berakhir sehingga semua orang dapat kembali mencari rezeki dan supaya keadaaan kembali seperti sedia kala.
Walaupun begitu, rakyat digalakkan untuk menghubungi sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan dan sokongan pada saat ini, sama ada memastikan bahawa jiran masing-masing dapat memenuhi keperluan atau dengan menyokong perniagaan kecil pada masa ini.