Antara sains dan sastera

Sistem pembelajaran aliran sains dan sastera mungkin bakal dimansuhkan. Adakah semua pelajar sekolah sudah bersedia dengan perubahan ini?

Sudah menjadi kelaziman buat pelajar-pelajar sekolah menengah yang baru sahaja menempatkan diri ke tingkatan empat untuk disalurkan mengikut kelas-kelas aliran pembelajaran yang sesuai mengikut kepadanan intelek dan daya saing masing-masing, sama ada sains atau sastera.

Disebabkan norma inilah, mereka yang berjaya mengikuti kelas aliran sains sering kali dianggap lebih ‘pintar’ berbanding mereka yang ditempatkan di kelas sastera. Inilah antara faktor utama yang cuba ditekankan Kementerian Pendidikan melalui pelan perancangan untuk memansuhkan kedua-dua kelas aliran ini supaya pelajar-pelajar tidak akan lagi menjadi ‘mangsa’ diskriminasi dan stereotaip masyarakat sekeliling.

Lebih daripada itu, dengan pemansuhan ini, pelajar-pelajar akan diberikan hak dan kebebasan untuk memilih mata pelajaran yang ingin dipelajari tanpa paksaan daripada mana-mana pihak.

Setidak-tidaknya, itulah yang diharapkan oleh Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik. Tetapi ada juga yang beranggapan sebaliknya.

Bagaimana dengan inisiatif STEM?

Dasar pendidikan STEM – Science, Technology, Engineering, and Mathematics – merupakan aspek pelajaran yang diberi keutamaan dalam Malaysia Education Blueprint. Ia diperkenal dan diperkukuh sebagai persediaan Malaysia ke arah dunia digital di mana sains dan teknologi bakal menjadi suatu keperluan sama ada dari segi kerjaya dan hidup secara keseluruhannya.

Seiring dengan dasar ini, kerajaan Malaysia menyasarkan visi untuk menghasilkan 20,000 saintis data menjelang 2020. Tambahan pula, mereka yang masih di bangku sekolah dianggarkan bakal membawa generasi kerjaya yang baharu berasaskan sains dan teknologi. Oleh itu, kerajaan telah melancarkan inisiatif STEM4ALL melalui kerjasama dengan Microsoft (Malaysia) untuk mengasah kemahiran dan bakat para pelajar yang bakal diperlukan di masa hadapan.

Kempen ini adalah antara usaha yang dilaksanakan kerajaan untuk menampung permasalahan kekurangan pelajar dalam aliran STEM. Ini kerana jumlah pelajar yang mengambil mata pelajaran STEM telah menurun dari 48% pada 2012 ke 44% pada tahun lalu.

Selain itu, menurut pemerhatian yang dijalankan Kementerian Tenaga, Sains, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim, hampir 70% daripada pelajar STEM sedia ada kurang berminat dengan sistem pembelajaran pada masa ini kerana lebih memberikan penekanan kepada teori dan bukannya eksperimen.

Justeru, dengan penghapusan kelas aliran sains dan sastera di sekolah-sekolah menengah, ada pihak tertentu yang melahirkan kebimbangan bahawa jumlah pelajar yang akan mengambil mata pelajaran STEM akan terus berkurang, sama seperti kurangnya jumlah pekerja dalam bidang pekerjaan berasaskan STEM.

Jika ini berlaku, visi kerajaan untuk memperkuat tampuk STEM di Malaysia tidak akan menjadi kenyataan.

Benarkah kebebasan memilih yang dijanjikan?

Pemansuhan sistem pembelajaran aliran sains dan sastera juga adalah untuk memberi kebebasan kepada para pelajar dalam menentukan mata pelajaran yang diminati tanpa perlu mengikut telunjuk ibu bapa atau tekanan daripada sekeliling. Namun, tidak semua guru di sekolah bersetuju dengan pandangan ini.

Merujuk artikel Free Malaysia Today, hanya ada beberapa pelajar yang mengambil aliran sains kerana tekanan daripada ibu bapa, sementara yang lain sememangnya mempunyai minat dalam mata pelajaran sains tulen iaitu Fizik, Kimia, dan Biologi. Malah, ada pelajar-pelajar dari aliran sains yang dibenarkan untuk mengambil mata pelajaran dari aliran sastera sebagai subjek tambahan.

Pentingnya memilih mata pelajaran yang tepat di sekolah menengah adalah kerana Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dan juga kerana SPM yang menentukan hala tuju kursus yang bakal diambil di menara gading kelak. Sesetengah mata pelajaran tidak seharusnya diambil tanpa ditemani subjek-subjek yang lain. Contohnya, bagi pelajar-pelakar yang berminat untuk mengambil mata pelajaran Fizik, mereka masih perlu menguasai mata pelajaran berasaskan STEM yang lain seperti Kimia, Matematik, dan Matematik Tambahan.

Oleh itu, dalam kes ini, ‘kebebasan’ yang dimaksudkan masih tidak akan tercapai kerana prosesnya tetap sama seperti penyaduran para pelajar kepada kelas aliran sains ataupun sastera.

Kesilapan dalam memilih boleh menjurus kepada kesan yang lebih parah.

Kemahiran sastera boleh dipelajari setelah seseorang pelajar tamat pengajian dalam bidang sains, namun mereka tidak boleh kembali ke aliran sains setelah tamat pengajian dalam bidang sastera.

Usaha untuk memberikan peluang kepada para pelajar menentukan masa depan mereka adalah satu usaha yang murni, asalkan mereka diberikan bimbingan yang tepat dan teliti supaya mereka tidak tersilap memilih dan seterusnya meletakkan masa depan mereka dalam risiko yang tinggi seperti telur di hujung tanduk.

Want More Story From Us?