Wira menentang COVID-19

Sepanjang negara memerangi penularan wabak COVID-19, pastinya rakyat ternanti-nantikan maklumat terkini setiap petang. Siapa lagi yang muncul di kaca TV jika bukan wira kesihatan negara, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Memetik kata-kata seorang pengguna Twitter, “Menteri Kesihatan datang dan pergi, tetapi Ketua Pengarah Kesihatan Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah akan kekal menjadi wira kesihatan negara selagi hayat mengizinkan”.

Menyandang jawatan Ketua Pengarah Kesihatan di Kementerian Kesihatan Malaysia sejak 1 Mac 2013, beliau kini diangkat sebagai antara tiga pakar perubatan terbaik dalam menangani pandemik global COVID-19 oleh China Global TV Network (CGTN), di samping Dr Anthony Fauci (Amerika Syarikat) dan Dr Ashley Bloomfield (New Zealand).

Memulakan kerjaya dalam bidang perubatan pada Ogos 1988

Dr Noor Hisham memulakan kerjaya beliau sebagai pegawai perubatan pada Ogos 1988 selepas menamatkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kemudian beliau menyambung pelajaran lebih lanjut sebelum diangkat sebagai pakar dalam pembedahan endoktrin setelah menjalani latihan di pelbagai hospital di Adelaide dan Sydney, Australia.

Pengalaman Dr Noor Hisham dalam bidang perubatan terus bertambah apabila beliau memegang jawatan Pakar Bedah Umum pada 1994, dan kemudiannya menjadi Pegawai Perubatan Pakar Bedah Umum di Hospital Putrajaya pada 2004. Seterusnya pada 2007, beliau menyandang jawatan sebagai Ketua Jabatan Pembedahan Payudara Endoktrin dan Pembedahan Am, serta Pakar Perunding Bedah Kanan di hospital yang sama.

Beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) pada 1 Februari 2008, seterusnya menggantikan Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman sebagai Ketua Pengarah Kesihatan bermula 1 Mac 2013.

Dipuji kerana sifat merendah diri

Sejak negara dilanda wabak COVID-19 sehingga memaksa kerajaan menjalankan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk memutuskan rantaian jangkitan, Dr Noor Hisham adalah antara wajah dikenali yang sering muncul di kaca TV untuk memberikan maklumat terkini berkenaan status COVID-19 di Malaysia.

Dalam ketegangan dunia menangani pandemik global ini, beliau terus dilihat tenang mengendalikan setiap permasalahan kesihatan yang ada, serta terus memimpin pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia ke arah misi sifar COVID-19.

Segala mitos tentang COVID-19 dibantah dengan sopan, dan semua penghargaan yang diberikan kepada beliau diterima dengan rendah diri. Beliau seringkali menegaskan bahawa usaha negara untuk memerangi wabak COVID-19 bukanlah jasa beliau seorang, sebaliknya sumbangan semua pihak yang terlibat sebagai satu pasukan.

Professionalisme dan keyakinan tinggi yang dipamerkan sedikit sebanyak memberi jaminan kepada orang ramai bahawa Malaysia mampu membasmi wabak COVID-19 sehabis-habisnya walau apa pun rintangannya.

Jasa Dr Noor Hisham pasti dikenang sampai bila-bila

Mengenangkan jasa Dr Noor Hisham, tentu ramai yang berharap mereka dapat mengucapkan terima kasih kepada beliau secara empat mata. Namun, seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun dari Kuala Terengganu, Lara Khadijah Mcafee, mengambil inisiatif menulis surat peribadi kepada beliau.

Diselitkan juga gelang persahabatan yang dibuat sendiri sebagai hadiah dan suntikan semangat buat Dr Noor Hisham untuk terus berjuang.

Surat yang dikirim Lara Khadijah.

Balasan yang diterima oleh Lara Khadijah nyata mengharukan hati ramai pihak, sekali gus mengangkat peribadi Dr Noor Hisham lebih tinggi di mata masyarakat.

Surat balasan dari Dr Noor Hisham.
Imej dari: Astro Awani

“Suatu hari nanti, akan tiba giliran kamu pula untuk berkhidmat kepada Malaysia. Terus kejar impian, dan usaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya.” – Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Want More Story From Us?