Tiada Batasan Bagi Michelle Yeoh

Anugerah Oscars merupakan satu penghargaan paling tinggi yang boleh diterima oleh anak seni perfileman. Tetapi untuk mencipta nama sebagai pemenang bukanlah satu perkara yang mudah.

Industri yang sering didominasi oleh pelakon-pelakon barat ini menjadi nilai ukur yang sukar dicapai oleh seniman dan seniwati Asia kecuali Michelle Yeoh Choo-Keng atau lebih dikenali sebagai Michelle Yeoh.

Pada Anugerah Akademi kali ke-95 yang diadakan di Dolby Theatre, Los Angeles, Michelle Yeoh dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik bagi lakonannya di dalam filem ‘Everything, Everywhere, All at Once’.

Dengan anugerah Oscars yang dimenangi beliau, ini sekali gus menjadikan Michelle Yeoh sebagai wanita pertama dan satu-satunya wanita yang berasal dari Asia untuk menerima penghargaan tersebut.

Dominasi Asia

Sebelum anugerah Oscars berlangsung, Michelle Yeoh sudah mengejutkan dunia apabila memenangi kategori pelakon wanita terbaik pada Golden Globe Awards kali ke-80.

Filem ‘Everything Everywhere All at Once’ hadir ke majlis Oscars sebagai satu filem kegemaran untuk memenangi anugerah tersebut dalam pelbagai kategori apabila filem tersebut dicalonkan dalam 11 kategori dan membawa pulang tujuh anugerah.

Anugerah yang dimenangi Michelle Yeoh menunjukkan dominasi beliau dalam industri filem Hollywood, sekali gus membanggakan seluruh Asia terutamanya warga Malaysia.

Daripada Miss Malaysia ke bintang Hollywood

Walaupun Michelle Yeoh sering dilihat di layar perfileman antarabangsa, wanita yang lahir pada 6 Ogos 1962 ini merupakan anak seni Malaysia yang berasal dari Ipoh,Perak.

Sebelum beliau memulakan karier sebagai pelakon, beliau pernah memasuki pertandingan ratu cantik Miss Malaysia, yang mana beliau dinobatkan sebagai pemenang pertandingan tersebut.

Bermulanya karier beliau sebagai pelakon adalah kerana minatnya yang mendalam dengan seni mempertahankan diri dan beliau kebanyakannya melakukan aksi-aksi di dalam filem semuanya dengan sendiri.

Michelle Yeoh mula dikenali di dunia Hollywood apabila beliau membintangi francais filem James Bond pada tahun 1997. Bermula daripada filem tersebut, beliau menerima banyak tawaran berlakon.

Filem yang merupakan kejayaan besar bagi beliau adalah Crouching Tiger, Hidden Dragon pada tahun 2000, lakonan beliau yang mantap di dalam filem tersebut menyebabkan beliau dicalonkan bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik dalam Watak Utama bagi anugerah BAFTA.

Pada 2022, filem Eveything Everywhere All at Once mula ditayangkan di pawagam. Filem ini menerima pujian yang tinggi daripada para pengkritik filem dan merupakan filem yang paling berjaya untuk Michelle Yeoh apabila memenangi anugerah Oscars.

Sepanjang karier beliau sebagai pelakon, Michelle Yeoh sudah membintangi banyak filem-filem Hollywood seperti, Shang-Chi, Minions dan akan membintangi filem yang akan datang seperti Avatar 3, Wicked dan Transformers.

Inspirasi buat rakyat Malaysia

Selain daripada berlakon, Michelle Yeoh juga terlibat dalam aktiviti kemanusiaan dan kerja-kerja amal apabila dilantik sebagai duta besar bagi United Nations Development Program yang bertujuan meningkat kesedaran masyarakat tentang penyakit HIV/AIDS.

Kejayaan beliau mengambil pentas antarabangsa sebagai pelakon terbaik telah memberikan inspirasi kepada generasi anak seni akan datang dengan membuktikan jika dimana ada kemahuan, maka adalah jalannya.

Kemenangan beliau menunjukkan tiada apa yang mustahil untuk dicapai dan hanya langit sahaja yang menjadi batasan dan serta asal-usul bukanlah penghalang untuk berjaya di persada dunia tidak kira apa jua keadaan.

Want More Story From Us?