Tambat hati penonton dengan berbahasa Melayu sambil berkongsi resepi

Pasangan yang dikenali di laman Youtube sebagai Sugu Pavithra telah mendapat perhatian orang ramai semenjak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, di mana mereka mula terhibur dengan video memasak yang dihasilkan pasangan ini.

Pavithra dan suaminya Sugu mungkin tinggal jauh di Sungai Siput, Perak, tetapi itu tidak menghalang mereka untuk menjadi salah satu saluran memasak yang paling banyak diikuti di YouTube.

Latar belakang kehidupan Sugu dan Pavithra

Pavithra merupakan seorang surirumah sepenuh masa manakala suaminya pula, Sugu menyara kehidupan keluarga itu dengan bekerja di ladang kelapa sawit. Mereka juga mempunyai dua orang anak yang masih kecil.

Mereka mula tertarik untuk berkongsi video masakan apabila rakan baik Pavithra yang juga merupakan seorang YouTuber memperkenalkannya kepada peluang untuk menjana pendapatan menerusi laman perkongsian video itu.

Pasangan ini baru sahaja menyertai YouTube pada tahun ini. Video pertama yang dikongsi Pavithra dan suaminya merupakan resepi memasak hidangan talapia bakar.

Fasih berbahasa Melayu menarik minat orang ramai

Pavithra menggunakan Bahasa Melayu di dalam video masakannya walaupun ramai peminatnya menggalakkan beliau menggunakan Bahasa Tamil. 

Bagi Pavithra, beliau memilih untuk menggunakan Bahasa Melayu kerana beliau juga fasih berbahasa Melayu dan beliau percaya lebih ramai akan memahami cara memasak yang dikongsi jika menggunakan bahasa Melayu.

Berkongsi resepi yang mudah untuk dimasak

Walaupun hidup secara tidak mewah, orang ramai masih terhibur menonton video dikongsi pasangan ini kerana mereka sering menggunakan bahan-bahan masakan yang biasa dalam resipi mereka sehingga penonton juga dapat mencubanya di rumah.

Masakan yang dihasilkan pula hanya menggunakan periuk, kuali, dan sudip biasa tanpa keperluan peralatan canggih. 

Mengamalkan sikap bersederhana

Menariknya video yang dihasilkan pasangan ini yang biasanya dirakam oleh Sugu menunjukkan rasa ikhlas ketika mereka memasak di dapur sederhana mereka di rumah yang terletak di estet Sungai Siput itu.

Kadang-kadang, mereka berkongsi coretan kehidupan di rumah dengan anak-anak mereka membuatkan rakyat Malaysia selesa menonton video pasangan ini. 

Mereka juga gemar memetik hasil dari kebun kecil mereka, berbelanja di pasar raya berdekatan, dan memberi makan anak lelaki mereka sambil berkongsi tentang kehidupan seharian mereka sebagai sebuah keluarga.

Terima kad ucapan dan hadiah daripada Perdana Menteri

Video-video masakan Pavithra ini juga mendapat perhatian daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Perdana Menteri mengucapkan tahniah atas kejayaan pasangan itu kerana berjaya menambat hati rakyat Malaysia daripada pelbagai peringkat umur dan kaum melalui perkongsian video memasak pelbagai menu dan bertutur dalam bahasa Melayu di YouTube.

Tan Sri Muhyiddin juga menghadiahkan sebuah tripod kepada pasangan ini bagi memudahkan mereka merekod video pada masa akan datang.

Kini, saluran YouTube mereka sudahpun mencapai lebih 500 ribu pengikut dan mereka telah diberikan peluang untuk menjadi Rakan YouTube sekaligus memberi peluang untuk menjana pendapatan hasil daripada perkongsian video masakan mereka.

Want More Story From Us?