Tak gentar mengimpal di dalam air

Bidang pekerjaan yang berisiko tinggi dan memerlukan semangat dan fizikal yang tabah adalah pilihan gadis bernama Nur Izzati Athirah. Beliau ialah jurukimpal dalam air wanita pertama di Malaysia.

Kimpalan merupakan pekerjaan yang memerlukan pelbagai kaedah seperti nyalaan api, sinaran laser, tenaga elektrik bervoltan, tembakan elektron, kimpalan geseran, dan ultra bunyi. Oleh itu, jurukimpal akan berdepan dengan pelbagai cabaran yang tidak dijangka, contohnya arus air yang kuat.

Atas sebab risiko yang tinggi dan latar belakang pekerjaan yang agak rumit, pekerjaan ini sering kali diceburi kaum lelaki.

Temui Nur Izzati Athirah, jurukimpal wanita pertama Malaysia
Video dari: YouTube MauKerja

Selalunya, jika ditanya tentang cita-cita kepada gadis-gadis di luar sana, mereka akan memilih pekerjaan yang kurang berisiko, tetapi lain pula bagi Nur Izzati Athirah Mohamad Yusoff.

Beliau terkenal dengan semangatnya yang luar biasa dan keinginannya untuk menjadi jurukimpal. Kini, beliau telah menjadi contoh buat wanita di luar sana kerana berjaya bergelar jurukimpal dalam air wanita pertama di Malaysia.

Idea untuk menceburi kimpalan dalam air

Nur Izzati berkata beliau gemar mencuba sesuatu yang baru dan tidak meletakkan had kepada dirinya. Ketika kecil, beliau pernah berhasrat untuk menjadi seorang askar apabila dewasa kelak, tetapi segalanya berubah ketika beliau menghadiri lawatan ke lapangan Pusat Latihan Weldsone.

Sejak itu, beliau lebih tertarik untuk mempelajari jurusan kimpalan.

Katanya, beliau berasa kagum dengan demonstarasi kimpalan bawah air dan juga konsep kimpalan di bawah laut. Beliau juga mengaku ketika kecil, beliau lebih senang bergaul dan bermain dengan rakan-rakan lelaki. Oleh sebab itulah, sifat beliau lebih kasar dan lasak.

Hal tidak diduga menjadi cabaran

Oleh sebab bidang ini didominasi oleh lelaki, Nur Izzati dikelilingi oleh pelajar-pelajar lelaki ketika berada di institusi pembelajaran. Beliau mengambil masa yang agak lama untuk menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling, tetapi kerana minatnya untuk menuntut ilmu, tidak ada perkara yang dapat menghalangnya mencapai cita-cita.

Walau bagaimana pun, apabila melangkah ke alam pekerjaan, banyak perkara yang tidak dijangka berlaku. Katanya, beliau terpaksa berhadapan dengan arus air yang kuat, dan penglihatan yang terhad kerana kawasan dalam air yang gelap.

Bukan itu sahaja, beliau juga harus membawa peralatan selaman seberat anggaran 17kg ke dalam air.

Imej dari: toodia.my
Menjadi inspirasi buat kaum wanita

Nur Izzati bukan sahaja ingin bekerja di dalam Malaysia, malah ingin berasa sendiri bekerja sebagai jurukimpal di luar negara kerana pengalaman bekerja di luar negara tentunya agak berbeza dengan Malaysia.

Beliau ingin membuktikan bahawa wanita juga boleh melakukan kerja-kerja kimpalan. Walaupun dengan latar belakang pekerjaan yang susah dan kasar, beliau masih tetap ingin menjadi inspirasi kepada mereka di luar sana, lebih-lebih lagi wanita yang fitrahnya penuh kelembutan.

Want More Story From Us?