“Saya seorang Melayu, India dan Cina. Jika ada yang memburukkan orang Melayu, ia ibarat mencederakan sebahagian daripada tubuh saya. Dalam polis tiada istilah bangsa dan kaum. Kami berjuang sebagai satu pasukan demi mempertahankan tanah air daripada ancaman komunis.”
Itulah kata-kata hikmat dari Yuen Yuet Leng, wira negara yang berasal dari Perak. Mungkin ada segelintir rakyat yang tidak mengenali beliau namun kata-kata hikmat di atas itulah yang membuatkannya disegani oleh orang sekelilingnya dulu.
Empat das tembakan
Karier awalnya sebagai seorang polis adalah ketika beliau berumur 23 tahun, di era 50an, sebelum Malaya mencapai kemerdekaan. Beliau menerima latihan yang singkat iaitu untuk enam bulan sebelum ditugaskan, buat pertama kali, sebagai anggota Jabatan Penyiasatan Jenayah (CID) pada tahun 1951.
Kemudiannya, beliau menyertai pasukan Federal Jungle Company (FJC) ke-2 di Tanah Hitam, Chemor dan dipindahkan ke Platun 2 No 16 FJC, Titi Gantung, Sitiawan, Perak.
Tahun 1951 merupakan zaman Darurat. Pada tahun tersebut, Yuen Yuet Leng telah menerima sebanyak empat das tembakan peluru musuh di Chemur tetapi hanya tiga sahaja yang berjaya dikeluarkan oleh doktor.
Pada bulan Disember, beliau ditembak dan tercedera ketika serang hendap kem pengganas komunis di Bukit Tanggor. Pada ketika itu, Chemor dan Sungai Siput terkenal sebagai kawasan hitam di Perak.
Operasi memburu komunis
Setelah kejadian itu, pada tahun 1953, bermulalah secara rasmi kerjaya beliau sebagai Pegawai Cawangan Khas di Gerik, Perak. Tugasan utama pasukan yang diketuai olehnya adalah menyusup masuk dan melakukan intipan terhadap elemen komunis.
Maklumat risikan pasukannya banyak memberi bantuan kepada pihak polis untuk mengekang dan membanteras kegiatan komunis yang semakin berleluasa di Perak.
Sampaikan pada satu tahap, beliau sendiri telah menyamar sebagai pengganas komunis untuk melakukan penyergapan dan kekacauan, menyebabkan kumpulan komunis sasaran berada dalam keadaan kucar kacir.
Usaha beliau dan pasukannya telah berjaya melumpuhkan gerakan komunis di Ipoh. Kejayaan tersebut telah melayakkan beliau dinaikkan pangkat kepada Pembantu Inspektor dan Pegawai Cawangan Khas di Sungai Siput pada tahun 1957.
Dengan jawatan tersebut, beliau telah berusaha berhabis-habisan untuk memerangi pengaruh komunis melalui Operasi Jahu di Perak. Seramai 156 pengganas komunis telah dihapuskan dalam tempoh 16 bulan, menjadikan Ipoh dan Perak Tengah sebagai Kawasan Putih (White Area) pada tahun 1960.
Maka, berakhirlah zaman darurat pertama dan Yuen Yuet Leng telah dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan masih berkerjasama dengan Cawangan Khas, Perisikan dan Psikologi.
Perjuangan belum tamat
Namun, darurat kedua bermula setelah usaha penyergapan pegawai Cawangan Khas di seberang sempadan Thailand pada tahun 1966, diikuti Peristiwa 13 Mei dan peningkatan aktiviti komunis di selatan sempadan Thailand.
Pada tahun 1971, Yuen Yuet Leng telah ditugaskan ke Sarawak yang mana pada ketika itu, ancaman komunis meningkat daripada Parti Komunis Kalimantan Utara (PARAKU). Beliau juga telah dilantik sebagai Ketua Cawangan Khas dan Ketua Perisikan Gabungan dan telah membentuk Komander Keselamatan Rejang (RASCOM) untuk menghapuskan ancaman komunis.
Pendekatan psikologi yang dibuat oleh beliau terhadap anggota komunis telah berjaya membuatkan sebanyak 700 orang anggota komunis PARAKU meletakkan senjata dan menjalani proses pemulihan sebelum kembali kepada masyarakat umum, meninggalkan 200 anggota komunis tegar yang masih teguh dengan ideologi komunisme mereka.
Ancaman komunis kembali
Namun, ancaman komunis kembali menular di Semenanjung, membuatkan Yuen Yuet Leng pulang ke Perak dan mengambil alih jawatan sebagai Ketua Polis Perak setelah serangan dibuat kepada Datuk Khoo Cong Kong yang terbunuh dalam serang hendap pada tahun 1975.
Dalam tempoh lima tahun, kegiatan pengganas komunis di kawasan pekan dan bandar Perak telah berjaya dihapuskan sepenuhnya.
Perjanjian Damai Haatyai
Pada tahun 1989, satu rundingan damai yang dinamakan sebagai Perjanjian Damai Haatyai, telah memperlihatkan usaha Yuen Yuet Leng dan bekas Inspektor General Tan Sri Rahim Noor sebagai peranan utama yang membawa kepada pertemuan pihak komunis dan pemerintah Malaysia.
Perjanjian ini telah membawa kepada pembubaran dan perletakan senjata Parti Komunis Malaya (PKM) setelah lebih 41 tahun Malaysia dibelenggu dengan ancaman komunis.
Pertemuan dan rundingan telah diadakan di pulau Phuket dan berakhir di Haatyai.
Perginya seorang pejuang
Jasa Yuen Yuet Leng sewaktu perkhidmatan beliau dalam pasukan polis sangat sukar ditandingi. Keberanian, kebijaksanaan dan kecemerlangannya dalam usaha untuk membanteras pengaruh komunis serta usaha pemutihan kawasan membantu negara untuk menuju keamanan.
Namun, setiap yang hidup, pasti akan pergi. Tan Sri Yuen Yuet Leng telah pun menghembus nafasnya yang terkahir pada 1 Oktober 2015 kerana serangan jantung.
Pemergian beliau adalah satu kehilangan yang besar kepada negara dan jasanya kepada Malaysia untuk menjadikan negara aman dan makmur akan sentiasa diingati.
Bukan sahaja beliau, bahkan figura lain yang dilupakan dan tidak dikenali oleh rakyat Malaysia sendiri, memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa perjuangan untuk keamanan negara bukanlah satu perjuangan yang mudah dan perlu diingati dan tidak dipersiakan.