Pentas Luqman Kini di Persada Dunia

Pemain bola professional antarabangsa, Luqman Hakim Shamsuddin, kini dilihat semakin menyerlahkan bakatnya apabila meneruskan kariernya ke kelab bola sepak Iceland.

Terkini, disahkan pemain bola sepak yang berumur 20 tahun itu akan dipinjamkan ke kelab Njardvik dari KV Kortrijk dengan nilai pasarannya yang berjumlah 100,000 Euro atau bersamaan dengan RM 461,000.

Ini merupakan sebuah pencapaian yang tinggi untuk pemain bola sepak Malaysia kerana ini telah membuktikan kualiti dan bakat pemain sukan tanah air.

Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Dollah Salleh berkata kehebatan Luqman Hakim di medan Eropah masih mendapat perhatian ramai.

“Ini merupakan sebuah pencapaian apabila Luqman dapat berpindah dari Belgium ke Iceland. Ini bermaksud orang telah melihat kualiti permainannya.

Jika boleh, kita mahukan lebih ramai pemain tempatan untuk bersaing di peringkat antarabangsa supaya mereka mendapat pengalaman yang lebih hebat.

Dan apabila mereka pulang ke tanah air, insya-Allah boleh meningkatkan kualiti bola sepak di Malaysia,” kata beliau.

Jurulatih berpengalaman, Datuk Zainal Abidin juga mengucapkan tahniahnya kepada Luqman atas berita pemindahan itu.

“Tahniah kepada Luqman Hakim. Selagi dia berada dalam dunia Eropah, ia tetap pentas terbaik. Saya ucapkan selamat maju jaya dan jangan putus asa. Kita tahu betapa tingginya mutu bola sepak di sana.

“Untuk pasukan Malaysia pergi lebih jauh, kita perlukan lebih ramai pemain berhijrah khususnya di Eropah untuk menimba pengalaman dan kukuhkan pasukan kebangsaan,” katanya kepada pemberita di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Selasa.

Menerusi satu kenyataan, Njardvik FC mengumumkan telah mencapai persetujuan bersama KV Kortrijk untuk mendapatkan Luqman Hakim secara pinjaman sehingga penhujung tahun 2023.

Karier Antarabangsa

Luqman telah mewakili Malaysia di setiap peringkat remaja, daripada pasukan bawah 16 tahun sehinggalah pasukan bawah 23 tahun.

Dengan kemenangan 6-2 ke atas Tajikistan pada 20 September 2018, beliau mendapat Kejohanan AFC B-16 dengan permulaan yang kukuh.

Luqman juga telah membantu Najmuddin Akmal menjaringkan golnya pada perlawanan pertama peringkat kumpulan.

Kariernya sambung ke skuad bawah 19 tahun untuk Kejohanan Remaja AFF Bawah-19 2019 di Vietnam dan telah memainkan peranan yang besar.

Usaha Luqman telah membawa pasukan Malaysia ke separuh akhir sebelum tewas menentang pasukan Australia 0-1.

Pantang mengundur

Walaupun masih awal di karier professional bole sepaknya, Luqman Hakim telah menonjolkan potensinya apabila beliau mampu bersaing dengan skuad antarabangsa.

Sepanjang kariernya sebelum terima kontrak bersama kelab antarabangsa, beliau telah beraksi menentang beberapa skuad antarabangsa untuk Kejohanan Remaja Bawah-19 AFF pada tahun 2019.

Sepanjang kejohanan itu, beliau telah menjaringkan sebanyak sembilan gol dan antara pasukan pihak lawannya termasuk Singapura, Australia, Indonesia, Kemboja dan Brunei.

Kehebatan yang ditonjolkan oleh Luqman memberi ruang kepada dirinya untuk menjadi pemain bola sepak bawah 21 tahun pertama untuk diambil sebagai pemain professional terus menjadi pemain bola sepak Malaysia pertama untuk bermain di Belgium.

Dari padang lokal ke padang antarabangsa

Luqman Hakim merupakan seorang anak Kelantan yang lahir di Kota Bharu pada tahun 2002 dan memulakan kariernya apabila bakatnya dilihat oleh Program Pembangunan Bola Sepak Negara sebelum memasuki Akademi Mokhtar Dahari.

Luqman telah menyertai pasuakan Selangor FC II pada awal kariernya pada tahun 2019 apabila dunia dikurung kerana COVID-19 namun, dirinya tetap bertekad untuk bermain di Liga Eropah.

Pada 20 September dalam tahun yang sama, ianya telah disahkan Luqman telah menandatangani kontrak untuk kelab Belgium Bahagian Pertama bersama Kortrijk.

Selama dua tahun di medan Eropah, Luqman telah menunjukkan usahanya untuk menjadi pemain utama.

Baru-baru ini, Luqman telah dipinjamkan ke Njardvik untuk satu musim bagi menambah lagi pengalaman dan mengasah bakatnya di tempat baharu.

Minat dan usaha yang ditonjolkan oleh Luqman Hakim boleh diambil untuk dijadikan inspirasi dan membuktikan tidak ada apa yang mustahil jika teruskan usaha untuk mencapai apa yang diimpikan.

Want More Story From Us?