Pelawak tempatan diangkat sebagai wira

Walaupun bukan seorang artis yang terkenal, usaha murni beliau telah membuka mata masyarakat.

Sumber: Cari.com.my

Pada saat kebanyakan artis dan peniaga terkenal merungut dan dikecam di media sosial kerana tidak menerima bantuan seperti golongan B40, ‘Man Raja Lawak’ sanggup menolong mereka yang memerlukan dengan memberi sumbangan sebanyak RM50,000.

Pelawak tanah air, Abdul Rahman Kassim yang lebih dikenali sebagai ‘Man Raja Lawak’ mungkin tidak terkenal seperti selebriti lain yang lebih terkenal dan berada. Akan tetapi, sumbangannya sewaktu negara ini dilanda wabak COVID-19 telah membuka mata masyarakat.

Beliau merupakan salah seorang pelawak dari kumpulan ‘Puteh’ yang telah menjuarai Maharaja Lawak Mega edisi tahun 2019 dan kumpulan itu berjaya membawa pulang RM500,000. Namun, beliau berusaha mencipta nama di dalam arena lawak Malaysia sejak tahun 2011 lagi.

Sumbangan luar biasa

Walaupun tidak mempunyai gaya hidup yang mewah seperti artis lain yang menayang kereta yang berharga ratusan ribu ringgit dan rumah yang besar, Man mempunyai hati yang kaya kerana telah sedekahkan RM50,000 iaitu duit kemenangan beliau semasa Maharaja Lawak Mega 2019.

Beliau memuat naik gambar di Instagram yang disertakan kapsyen yang mengatakan beliau akan menolong sesiapa sahaja yang meminta bantuan wang tunai, dengan syarat, yang meminta itu haruslah membuktikan bahawa mereka benar-benar memerlukan pertolongan.

Bantuan telah disalurkan sehingga keseluruhan duit yang diperuntukkan habis dan ini merupakan salah satu cara Man ingin membalas budi sesiapa yang menyokong beliau dan pada waktu yang sama dapat membantu mereka yang dilanda kesusahan.

Kisah silam dijadikan pengajaran

Perjalanan beliau untuk mencapai kejayaan dalam industri lawak di Malaysia tidak begitu indah. Man mencuba untuk menceburi bidang ini pada tahun 2007 dalam rancangan ‘Raja Lawak’ tetapi gagal untuk ke peringkat seterusnya.

Selepas lima tahun menempuh pelbagai dugaan dari sudut pekerjaan dan kesusahan ujibakat, beliau akhirnya layak bertanding dalam Raja Lawak 2011. Tambahan pula, apa yang lebih manis ialah Man menjadi juara pada edisi itu dan ini menaikkan nama beliau dalam industri ini.

Namun, selepas tiga tahun menjalani hidup sebagai seorang ‘artis’ penuh dengan kerja lakonan, pengiklanan dan rancangan televisyen, beliau mula ditenggelami oleh barisan pelawak muda yang makin hebat dan disukai oleh rakyat. Pada waktu ini juga beliau banyak dipermainkan oleh mereka yang menggunakan khidmat beliau.

Dalam perjalanan jatuh dan naik beliau, pada tahun 2019, Man Raja Lawak berjaya menjuarai Maharaja Lawak Mega hasil usahasama dengan kumpulan Puteh. Sebahagian duit yang dimenangi dan diterima oleh beliau inilah yang digunakan untuk membantu mereka yang dalam kesusahan.

Man bersama kumpulan Puteh.
Sumber: Harian Metro
Duit bukan segalanya

Bagi Man, duit dan kemewahan bukan segalanya, dan semua ini tidak akan mampu tercapai tanpa sokongan dan dorongan daripada keluarga, kawan-kawan dan penyokong-penyokong. Ada juga beberapa aset seperti kereta dan motosikal yang beliau gadaikan untuk dijadikan sumbangan.

Ini menunjukkan bahawa beliau juga tidak lupa diri sehingga sanggup mengeluarkan wang yang banyak untuk diberi kepada rakyat. Sikap ini wajar dicontohi oleh seluruh rakyat Malaysia kerana tidak ada guna jika rezeki yang berlebihan tidak dikongsikan terutama sekali pada waktu yang sukar buat semua orang.

Want More Story From Us?