Orang yang susah paling banyak memberi

Pernah tidur di masjid kerana tiada tempat tinggal, kini wira negara ini membela mereka yang kurang bernasib baik.

Siapa sangka, seseorang yang tidak mempunyai apa-apa harta dan juga tempat tinggal di waktu muda, kini menjadi wira rakyat apabila banyak membantu orang awam yang kurang bernasib baik ketika COVID-19 melanda.

Jika anda ternampak pos di media sosial berkaitan seorang ustaz berbangsa cina, mungkin orang tersebut adalah Ustaz Ebit Lew. Baru-baru ini, nama beliau semakin meningkat naik kerana banyak menyumbang kepada mereka yang lebih memerlukan.

Ebit Irawan Bin Ibrahim Lew atau nama Cinanya Lew Yun Pau, merupakan seorang pendakwah bebas yang berbangsa Cina. Berumur 36 tahun, beliau merupakan anak ketiga daripada 12 adik-beradik. Ebit Lew seorang pengarah urusan untuk ‘Transform Training & Consultancy’, perunding latihan, dan penceramah motivasi, selain itu, beliau juga mempunyai beberapa buah perniagaan tersendiri.

Kisah silam yang perit

Walaupun Ebit Lew nampak megah ke sana dan ke sini menaiki kereta mewah ketika menjalankan operasi bantuan di seluruh ceruk negara ini, beliau juga mempunyai perjalanan hidup yang sedih jika diperdengar.

Antara kisah yang diceritakan oleh beliau ialah beliau pernah tidak ada tempat tinggal sehingga perlu menumpang di masjid untuk tidur. Selain itu, di waktu orang muda lain kebanyakannya tidur beralaskan tilam yang lembut, Ebit lew pula hanya tidur beralaskan guni yang keras.

Beliau juga pernah ada pekerjaan yang hanya memberikan beliau RM800 sebulan, akan tetapi kesemua duit itu diberikan kepada ibu beliau. Beliau kesempitan hidup sehingga menitis air mata jika ada yang memberikan beliau RM2 kerana itu merupakan nilai yang besar bagi beliau.

Pertubuhan Kasih Umat Malaysia
Imej dari: Bernama

Dengan kesenangan yang beliau miliki sekarang, salah satu cara untuk membalas budi ialah dengan melakukan kerja amal seperti memberi sumbangan kepada mereka yang terkesan dengan wabak COVID-19 buat masa sekarang.

Beliau melawat setiap kawasan yang didiami oleh golongan miskin bersama dengan pasukan yang beliau tubuhkan iaitu ‘Pertubuhan Kasih Umat Malaysia’. Tidak mengira bangsa atau agama, beliau bersifat adil dan menolong semua orang dengan sama rata.

Selain memberi bantuan dalam bentuk sumbangan, beliau juga sanggup mencari dan menyewa rumah yang baharu untuk keluarga yang tidak mempunyai rumah atau pun keluarga yang tinggal di dalam rumah yang usang. Ini kerana ada antara mereka tinggal di sebelah tempat pelupusan sampah.

Hasil titik peluh sendiri

Walaupun penat lelah kerana mencuba sedaya upaya untuk membantu seluruh rakyat Malaysia yang dihimpit dengan kemiskinan, Ebit Lew juga menerima kecaman daripada netizen yang mendakwa beliau menggunakan tabung pertubuhan untuk kepentingan diri sendiri seperti membeli kereta mewah.

Namun, beliau menolak kecaman ini dan menjelaskan bahawa beliau mampu untuk memberi sumbangan kerana beliau mempunyai pelbagai saluran wang, beliau mengeluarkan buku, mempunyai beberapa kedai makan, dan juga ada jenama baju tersendiri. Jadi, tidak hairanlah beliau mampu untuk menolong orang lain walaupun kos keseluruhannya agak besar.

Malaysia beruntung kerana ada seseorang yang sanggup menghabiskan masa dan tenaga sendiri untuk membantu rakyat yang memerlukan. Gandingan pertubuhan beliau dan juga pihak kerajaan pasti dapat memastikan setiap rakyat hidup dalam keadaan yang selesa dan terbela.

Tokoh seperti beliau juga pasti dapat melahirkan anak muda yang bersifat pemurah.

Want More Story From Us?