Nasib si penuai padi

Tanaman padi adalah asas kepada makanan harian penduduk Malaysia, namun kehidupan para petani yang menjadi tunjang kepada tanaman ini bukanlah mudah.

Getah dan kelapa sawit merupakan tanaman dominan dalam industri pertanian di Malaysia, di samping hasil tanaman lain seperti koko, kopi, kelapa, serta pelbagai jenis buah-buahan yang lain. Di Kedah, sebagaimana ia dikenali dengan gelaran Negeri Jelapang Padi, adalah pengeluar terbesar tanaman padi sehingga diberikan jolokan nation’s rice bowl (periuk nasi negara).

Terdapat kira-kira 300,000 orang petani padi sawah,seluruh Malaysia yang mana hasilnya mencecah 3,322,000 tan pada tahun 2015. Walaupun hasil tanaman padi atau nasi merupakan makanan asasi penduduk Malaysia, nasib petani-petani yang membanting-tulang di sawah bendang sering kali dibiarkan terumbang-ambing.

Pada tahun 1990-an, subsidi yang dibekalkan kepada para petani bernilai RM500 juta, dan jumlah itu meningkat kepada RM2.2 billion pada 2016, sebelum ia menurun kepada RM1.7 billion pada 2017. Namun bantuan yang dihulurkan ini masih tidak cukup untuk menarik para petani keluar dari lembah kemiskinan.

Petani-petani padi sawah kini dihimpit hutang

Kos operasi sebendang sawah padi bukanlah murah. Tambahan pula dengan hasil tuaian yang semakin berkurang, kebanyakan petani tidak mempunyai simpanan yang cukup untuk menampung kos tersebut.

Pengambilan pekerja untuk penanaman benih, penyemburan racun perosak, serta penggunaan mesin penuaian semuanya memerlukan kos yang tinggi. Dengan wang yang tidak mencukupi, para petani ini terpaksa berhutang demi memastikan sawah padi mereka mampu berdiri untuk terus membekalkan hasilnya.

90% daripada petani sawah padi yang tergolong dalam kumpulan B40 pada hari ini dihimpit hutang. Lebih malang lagi, apabila keuntungan yang diraih tidak cukup untuk membayar hutang yang ada, kitaran nasib para petani ini akan berterusan selama bertahun-tahun, mungkin juga sehingga generasi akan datang mengambil alih tapak perusahaan pertanian mereka.

Sebelum ini, saingan yang sengit memaksa kilang-kilang pengisar beras yang kecil dan sederhana untuk berhenti beroperasi sehingga tinggal 197 kilang pengisar di seluruh Malaysia. Akibatnya, seorang petani hanya dapat berurusan dengan satu atau dua kilang pembeli sahaja, yang seterusnya menyumbang kepada pengurangan hasil pendapatan mereka.

Bencana alam juga memainkan peranan

Antara faktor lain yang menyumbang kepada kurangnya hasil penuaian sawah padi ialah bencana alam. Walaupun tiada bencana alam yang membinasakan seperti gempa bumi atau tsunami, Malaysia tetap sinonim dengan bencana seperti banjir dan kemarau yang berpanjangan.

Gelombang haba yang berlebihan ketika musim kemarau dan ribut taufan atau banjir ketika musim tengkujuh turut menjadi penyebab berkurangnya hasil penuaian padi. Oleh yang demikian, hasil pendapatan para petani juga menjadi lebih terhad, di samping terpaksa menampung kerugian yang berlaku setelah tanaman mereka dimusnahkan.

Sebagai contoh, bencana banjir yang melanda Bagan Serai, Perak baru-baru ini telah menenggelamkan dan merosakkan kira-kira 80 hektar sawah padi yang baharu ditanam benih padi. Insiden ini nyata merugikan para petani yang telah membelanjakan sejumlah wang untuk penanaman benih padi tersebut.

Ada banyak langkah yang boleh dilaksanakan untuk meningkatkan hasil tuaian padi dan pendapatan para petani. Antaranya, menggalakkan para petani mempelajari teknik penuaian menggunakan teknologi baharu (varieti berhasil tinggi), menghasilkan padi organik, serta melabur untuk mesin dan jentera kecil demi meningkatkan hasil padi.

Tetapi yang lebih penting, para petani haruslah memainkan peranan dalam memperbaik keadaan tanpa mengharapkan bantuan semata. Di dunia di mana teknologi mendominasi kehidupan seharian, tidak salah untuk para petani juga mencuba alternatif yang baharu untuk mengubah nasib mereka menjadi lebih baik.

Want More Story From Us?