Di kepulauan borneo Sabah, terdapat satu puncak yang tertinggi, bukan sahaja di Malaysia malah dalam rantau Nusantara. Memiliki ketinggian 4 095 meter dari paras laut, catatan tersebut telah menobatkan Gunung Kinabalu antara puncak tertinggi di Asia Tenggara.
Selain daripada menjadi antara puncak tertinggi Asia Tenggara, Gunung Kinabalu yang terdiri daripada Banjaran Croker itu, turut menjadi tarikan para pelancong setiap kali melancong ke negeri di bawah bayu itu.
Dan pada setiap tempat yang menjadi tarikan pelancong, pasti ada jurupandu dan petunjuk arah, begitu juga dengan Gunung Kinabalu yang mempunyai jurupandu atau petunjuk arah mereka sendiri.
Porter sebelum malim gunung
Gelaran yang diberikan kepada mereka yang menjadi jurupandu dan petunjuk arah di gunung-gunang adalah Malim gunung. Mereka ini terdiri daripada orang-orang tempatan yang mahir selok-belok kemuncak gunung itu.
Namun begitu, sebelum gelaran malim gunung diberi, seseorang itu akan bekerja sebagai porter yang mana tugas mereka adalah untuk membawa barang pelancong sehingga ke puncak Gunung Kinabalu. Tugas itu perlu dilakukan oleh porter selama dua tahun dan melebihi 10 kali pernah sampai ke puncak Gunung Kinabalu sebelum layak menjadi seorang Malim Gunung.
Mempunyai sistem giliran, berdaftar dengan MOSAR
Pekerjaan Malim gunung ini berdaftar dengan pengurusan Taman-Taman Sabah dan perkhidmatan mereka diuruskan mengikut sistem giliran. Secara purata, setiap malim gunung hanya membawa pendaki antara dua dan tiga kali sebulan.
Jika bilangan pendaki gunung menurun maka, ia juga akan memberi kesan kepada para malim gunung kerana sebahagian besar daripada mereka, hidup mereka bergantung dengan pendapatan daripada kerja ini.
Semua malim gunung, kecuali yang berdaftar di bawah ejen, tidak mempunyai gaji tetap dan dengan sistem giliran yang menyebabkan pendapatan mereka berkurangan, malim gunung dikatakan bersedia untuk menjadi porter membawa barang untuk menambahkan pendapatan mereka.
Aktiviti mendaki gunung ini boleh dikatakan salah satu aktiviti ekstrem yang mungkin akan membawa kecederaan jika tidak berhati-hati. Oleh itu, malim gunung turut berdaftar dan berkhidmat di bawah Pasukan Bantuan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) di mana mereka bertanggungjawab untuk membawa turun para pendaki yang tercedera.
Malim gunung pertama
Pekerjaan malim gunung di Gunung Kinabalu ini dikatakan bermula apabila seorang lelaki berbangsa Dusun, yang dikenali sebagai Gunting bin Lagadan telah membawa Hugh Low, Setiusaha Jajahan Mahkota Labuan pada pertengahan 1800-an ke puncak.
Meskipun rekod rasmi menggatakan seorang ahli Zoologi, John Whitehead adalah orang pertama yang sampai ke puncak pada tahun 1888 namun, Gunting dikatakan oleh orang tempatan, adalah yang pertama pernah menjejaki puncak Gunung Kinabalu.
Gunting juga adalah orang pertama yang membuat jejak untuk pendaki gunung dan merupakan malim gunung pertama yang berdaftar pada tahun 1964.
Bagi memperingati jasa beliau, sebuah pondok penginapan telah dibina berdekatan puncak Gunung Kinabalu namun, akibat gempa bumi yang melanda Sabah pada tahun 2015, pondok itu telah rosak. Walaubagaimanpaun, penghormatan masih lagi diberi untuk Gunting dengan papan tanda yang berdekatan puncak gunung itu bagi memperingati sumbangannya.
Bermula daripada Gunting bin Lagadan ini, legasi beliau masih lagi berterusan apabila perkhidmatan malim gunung tetap mendapat permintaan. Malah, malim gunung turut digelar sebagai badang Malaysia oleh kerana tugas mereka yang memerlukan kekuatan dan tubuh badan yang sihat.
Jadi, bagi yang berpeluang untuk mendaki Gunung Kinabalu kelak, gunalah perkhidmatan malim gunung ini kerana secara tidak langsung, ianya dapat menambah pendapatan mereka untuk meneruskan kehidupan seharian.