Jasa Wu Lien-Teh memberi inspirasi pelitup muka perubatan kini

Sudah menjadi kebiasan baru bagi rakyat kini untuk memakai pelitup muka (face mask) apabila melangkah keluar dari kediaman masing-masing. Apatah lagi apabila Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri mengumumkan kewajipan untuk memakainya menjelang 1 Ogos 2020.

Pelbagai pelitup muka yang digunakan oleh rakyat untuk membendung virus pandemik ini tetapi pelitup muka yang disarankan adalah pelitup muka perubatan.

Penciptaan pelitup muka perubatan ini bukanlah dihasil oleh orang negara luar tetapi rakyat Malaysia sendiri yang dikenali sebagai Dr. Wu Lien-Teh.

Pendidikan dan karier awal

Pernah dicalonkan sebagai penerima Anugerah Nobel pertama dari Malaysia, Dr. Wu Lien-Teh dilahirkan di Pulau Pinang pada tahun 1879. Pada ketika itu, Pulau Pinang tidak dikenali sebagai Malaysia tetapi sebagai Negeri-Negeri Selat bersama-sama Melaka dan Singapura.

Beliau mendapat pendidikan awal di Penang Free School dan kemudiannya, diterima masuk ke Emmanuel College, Cambridge setelah mendapat tajaan biasiswa pada tahun 1894.

Beliau melakukan latihan industrinya (housemanship) di St Mary’s Hospital London sebelum melanjutkan pelajaran di Liverpool School of Tropical Medicine. Setelah itu, pada tahun 1903, beliau pulang ke tanah kelahirannya apabila telah tamat pengajiannya dalam bidang perubatan.

Pada tahun yang sama di bulan September, beliau telah menyertai Institut Penyelidikan Perubatan di Kuala Lumpur sebagai pelajar penyelidikan pertama. Namun, pada waktu itu, tiada jawatan pakar untuknya kerana sistem perubatan tanah jajahan British meletakan syarat bahawa hanya warganegara British sahaja yang dapat memegang jawatan tertinggi seperti pegawai perubatan atau pakar perubatan.

Dr. Wu Lien-Teh menghabiskan karier perubatannya pada peringkat awal dengan mengakaji penyakit beri-beri dan cacing gelang (Ascarididae) sebelum memasuki latihan perubatan swasta pada akhir tahun 1904 di Chulia Street, Penang.

Dipanggil untuk membendung wabak

Pada tahun 1910, beliau telah dipanggil oleh kerajaan China ke Harbin sebagai usaha untuk melawan satu penyakit misteri yang amat merbahaya pada waktu itu. Penyakit misteri tersebut boleh berjangkit daripada haiwan ke manusia oleh kerana perdagangan bulu. Dilaporkan sebanyak 95 peratus pesakit akan meninggal dunia akibat wabak ini. Ini adalah permulaan satu wabak pandemik yang menyerang Manchuria dan kemudiannya dikenali sebagai pandemik Manchuria yang telah meragut nyawa 60 000 orang manusia.

Pelitup muka yang diubah suai oleh Dr. Wu Lien-Teh
Imej dari: Iluminasi
Menaik taraf pelitup muka perubatan

Pada awalnya, kebanyakan doktor tempatan berpendapat bahawa wabak Manchuria ini berpunca daripada kutu atau serangga kecil. Namun, hasil autopsi yang dilakukan terhadap salah seorang mangsa yang terkorban menunjukkan yang sebaliknya.

Hasil daripada bedah siasat tersebut didapati bahawa wabak itu sebenarnya tersebar melalui udara. Mengetahui hal tersebut, Dr. Wu Lien-Teh pun mencipta satu pelitup muka perubatan yang diubah suai daripada pelitup muka pembedahan sedia ada yang telah digunakan di negara-negara Barat pada waktu itu. Pelitup muka yang telah diubah suai itu ditambahkan dengan lapisan kain kasa dan kapas yang berfungsi untuk menapis udara.

Seorang doktor terkemuka Perancis, Gérald Mesny, yang telah datang untuk menggantikan Dr Wu, enggan memakai pelitup muka tersebut dan meninggal dunia beberapa hari kemudian kerana wabak pandemik itu.

Usaha pembasmian, pembakaran mayat

Selain itu, beliau juga telah memulakan usaha kuarantin dan pembasmian kuman dilakukan di hospital. Malah, beliau juga yang mengarahkan hospital yang mengendali kes awal wabak tersebut di bakar dan memindahkan pesakitnya ke hospital baru.

Dalam pada waktu itu, beliau juga yang mencadangkan untuk membakar mayat mangsa-mangsa wabak dan tidak ditanam. Untuk menanam mayat pada ketika itu adalah mustahil oleh kerana tanahnya yang telah sejuk memberku akibat musim sejuk. Jadi, mayat-mayat tersebut dapat dilupuskan dengan merendamnya dalam parafin sebelum dibakar.

Proses pembakaran mayat ini merupakan titik perubahan wabak tersebut apabila bilangan kes dikatakan telah berkurang dan beberapa bulan kemudian, wabak pandemik itu diisytiharkan pupus.

Berbakti hingga akhir hayat

Dr. Wu Lien-Teh bekerja dalam bidang perubatan sehingga umurnya 80 tahun dan telah membeli rumah baru di Pulau Pinang untuk persaraannya. Beliau juga telah menghasilkan sendiri sebuah autobiografi yang bertajuk “Plague Fighter, the Autobiography of a Modern Chinese Physician”.

Pada 21 Januari 1960, Dr. Wu Lien-Teh telah menghembus nafasnya yang terakhir di rumahnya di Pulau Pinang akibat strok.

Siapa sangka pelitup muka yang telah diubah suai oleh Dr Wu Lien-Teh ini merupakan salah satu inovasi yang amat penting untuk manusia kini. Jasanya kepada dunia amat berharga dalam menyelamatkan nyawa manusia.

Oleh itu, bagi menghargai jasanya, diharapkan rakyat Malaysia dapat memakai pelitup muka di tempat awam bagi membendung wabak pandemik COVID-19 ini.

Want More Story From Us?