Jasa sejarawan negara diingati selamanya

Emeritus Professor Tan Sri Datuk Dr Khoo Kay Kim adalah nama yang tidak lagi asing dalam dunia pendidikan terutama dalam bidang sejarah.

Beliau merupakan seorang tokoh sejarawan yang amat dihormati kerana sumbangannya yang berharga kepada negara.

Ingin menjadi pemain bola sepak

Dilahirkan di Kampar, Perak, Professor Khoo Kay Kim pernah mempunyai angan-angan untuk menjadi seorang pemain bola sepak ketika kecil dahulu.

Tetapi impian tersebut hanyalah angan semata-mata. Pada waktu itu, pemain bola sepak bukanlah satu karier yang memberi keuntungan seperti sekarang bahkan, ketika itu pemain juga terpaksa membuat kerja sampingan untuk menampung kehidupan.

Apabila Malaysia meraih kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, beliau mengambil keputusan untuk meneruskan pendidikan ke tahap yang lebih tinggi bukan sahaja untuk mendapat masa depan yang cerah, tetapi untuk mengisi kekosongan yang telah ditinggalkan oleh British.

Ketika beliau membuat keputusan untuk menyambung pengajian, beliau risau jika bapanya tidak mempunyai wang yang cukup untuk menampung perbelanjaan. Tetapi nasib menyebelahinya apabila bapa beliau yang merupakan seorang penjawat awam dinaikkan pangkat, memberi peluang kepadanya untuk meneruskan pembelajaran di Universiti Malaya, Singapura pada tahun 1959.

Belajar Bahasa Melayu melalui karya P.Ramlee

Tahun 1967, Professor Khoo Kay Kim dilantik menjadi pensyarah di Universiti Malaya, Kuala Lumpur setelah mendapat Ijazah Sarjana dalam bidang sejarah di universiti yang sama. Beliau juga orang Malaysia pertama yang mendapat gelaran sebagai Doktor Falsafah (PhD) melalui tesis beliau yang bertajuk The Beginning of Political Extremisim in Malaya 1915-1935.

Tambahan pula, di universiti tersebut, beliau dikenali ramai sebagai pensyarah bukan Melayu pertama yang memberi syarahan dalam Bahasa Melayu. Disebabkan itu, beliau amat rapat dengan pelajar Melayu sehingga dipanggil beberapa kali untuk menyelesaikan masalah yang dilakukan oleh pelajar.

Beliau belajar Bahasa Melayu sendiri berikutan bahasa tersebut tidak diajar di sekolah rendah. Minat beliau terhadap seniman agung negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee membuat beliau belajar Bahasa Melayu melalui lagu dan filem yang diterbitkan oleh Allahyarham.

Imej dari: New Strait Times
Salah seorang anggota panel menggubal Rukun Negara

Peristiwa 13 Mei telah membawa kepada usaha kerajaan untuk mengukuhkan perpaduan kaum di negara. Salah satu usaha tersebut adalah dengan membentuk Rukun Negara yang merupakan idea Tun Ghazali Shafie yang diinspirasikan daripada Pancasila Indonesia.

Bagi membentuk Rukun Negara yang bersesuaian dengan latar belakang sosial negara, sebuah panel telah dibentuk dan salah seorang anggotanya ialah Professor Khoo Kay Kim. Sepanjang proses pembentukkan Rukun Negara, tiada sebarang masalah berlaku melainkan perdebatan yang tercetus.

Antara perdebatannya adalah mengenai prinsip Rukun Negara pertama, iaitu kepercayaan kepada Tuhan. Hal ini berlaku kerana mereka persoalkan sama ada kelompok ateis boleh membenarkan perkara tersebut atau jika undang-undang sedia ada boleh digunakan kepada kelompok itu.

Tetapi akhirnya, mereka berasakan ini bukanlah satu krisis kerana majoriti rakyat Malaysia mempunyai agama. Apabila Rukun Negara diumumkan kepada rakyat, tiada satu pun penentangan yang muncul.

Jasanya tetap diingati oleh rakyat

Selama lebih 50 tahun Professor Khoo Kay Kim berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Malaya dan apabila beliau bersara pada tahun 1992, beliau masih lagi gigih berbakti kepada rakyat untuk memberi ilmu melalui buku-buku dan esei-esei beliau.

Pada tahun 2018, beliau diberi anugerah Merdeka Award 2018 bagi kategori Pencapaian Kecendekiawanan Terbilang kerana sumbangannya terhadap penyelidikan akademik, perkembangan tafsiran semula sejarah Malaysia dan dedikasi seumur hidup dalam pendidikan sejarah yang telah membentuk kajian sejarah pasca kemerdekaan di negara.

Di kala masih banyak lagi cerita terutama sejarah negara yang perlu terus dikaji, Professor Khoo Kay Kim telah menghembus nafasnya yang terakhir ketika beliau berumur 82 tahun pada 28 Mei 2019 kerana masalah paru-paru.

Walaupun kini beliau telah meninggalkan dunia tetapi sumbangan beliau kepada negara akan diingati sampai bila-bila.

Want More Story From Us?