Jasa Bapa Kewartawanan Melayu kepada dunia wartawan negara

Bagi mereka yang menceburi bidang kewartawanan dan penulisan, Abdul Rahim Kajai bukanlah sebaris nama yang asing bagi mereka. Bahkan, satu anugerah berprestij buat para wartawan iaitu Anugerah Kajai, datang daripada nama tersebut.

Namun, bukan semua mengenalinya dan juga mengetahui sumbangan yang telah diberikan kepada negara sehingga melayakkan beliau mendapat gelaran sebagai Bapa Kewartawanan Malaysia.

Kehidupan dan pendidikan awal

Abdul Rahim bin Haji Salim merupakan nama penuh beliau dan dilahirkan pada tahun 1894 di Selangor, Tanah Melayu, sebelum negara mendapat kemerdekaan dan nama Malaysia belum lagi wujud di peta dunia.

Lebih dikenali sebagai Abdul Rahim Kajai, nama Kajai itu berasal daripada kampung bapanya iaitu Kampung Kajai Minangkabau, Sumatera. Bapanya turut digelar sebagai Salim Kajai oleh kerana kampung halamannya.

Pendidikan awal beliau bermula di Sekolah Melayu Setapak dan kemudiannya dihantar ke Mekah oleh ibu bapa beliau untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang agama dan Bahasa Arab.

Setelah pulang daripada Mekah pada tahun 1909, Kajai telah melakukan beberapa pekerjaan dan perkerjaan pertamanya adalah sebagai penjilid buku dan huruf Melayu di pejabat Cap Kerjaaan di Kuala Lumpur.

Pekerjaan kedua beliau pula adalah di Singapura sebagai pengatur huruf Inggeris untuk Malaya Publishing House.

Menuju kearah Kewartawanan

Permulaan Kajai dalam bidang kewartawanan ini adalah apabila beliau terpaksa kembali ke Mekah pada tahun 1913 setelah ayahnya meninggal dunia untuk menjaga keluarga dan perniagaannya.

Pada ketika itu, Perang Dunia Pertama sedang berlaku dan Kajai tidak boleh kembali ke Tanah Melayu kerana semua laluan kapal disekat. Oleh itu, beliau menggunakan masa lapangnya dengan membaca akhbar untuk mengetahui perkara yang sedang berlaku.

Di situlah bermulanya minat beliau dalam bidang kewartawanan setelah beliau sedar kepentingannya dalam membentuk pandangan orang ramai.

Apabila kembalinya ke Kuala Lumpur, beliau telah menyumbang beberapa rencana berkaitan sosial dan agama serta berita di akhbar Utusan Melayu dan Lembaga Melayu.

Dunia Kewartawanan

Kariernya sebagai wartawan bermula pada tahun 1925, apabila beliau menjadi koresponden untuk akhbar Sinar Zaman setelah kembali ke Mekah.

Selepas pulang ke Kuala Lumpur, beliau meneruskan kariernya dalam bidang kewartawanan dan bekerja untuk akhbar mingguan Saudara pada tahun 1927, menggunakan nama penanya, Abdul Rahim Kajai, di dalam setiap artikelnya.

Berkat usaha dan kesungguhannya telah menjadikan beliau sebagai penolong editor dan editor menjelang tahun 1930. Pada masa lapangnya pula, beliau telah menghasilkan karya Hikayat Dzul-Ruhain iaitu penerbitan semula kerja Syed Sheikh.

Pada tahun 1931, beliau menyertai akhbar Majlis sebagai editor, dengan harapan ingin mengubah akhbar tersebut sebagai akhbar harian berprestij namun gagal.

Abdul Rahim Kajai (tengah)
Warta Malaya

Kajai kemudiannya menyertai Warta Malaya pada tahun 1935 dan telah menjadi antara tapak utama akhbar Melayu bebas pertama pada era 1930-an, yang pada ketika itu, akhbar Melayu telah didominasikan oleh orang Arab, Jawi Peranakan dan orang Arab-Melayu.

Meskipun penulisannya digemari ramai pembaca kerana pendekatannya yang bersifat proaktif dalam pelbagai isu seperti ekonomi, pendidikan dan sosial, ia tidak mampu melawan Utusan Melayu (kini Utusan Malaysia) dan Warta Malaya ditamatkan penerbitan pada tahun 1941.

Setelah itu, beliau diserap masuk ke Utusan Melayu sebagai editor dan menjadi editor untuk sisipan berkala akhbar tersebut iaitu Utusan Zaman dan Mustika (kini Mastika).

Perang Dunia Kedua

Datangnya perang dunia kedua, Kajai dengan pantasnya membuat keputusan untuk kembali ke keluarga beliau di Kuala Lumpur.

Beliau segera meninggalkan Singapura pada 20 Disember 1941 dan sampai ke destinasinya pada 11 Januari 1942.

Setelah keadaan di Kuala Lumpur kembali seperti sedia kala, Kajai telah berjaya mendapat izin jabatan propaganda Jepun untuk membuat satu akhbar, Perubahan Baru, yang diterbitkan pada tahun 1942.

Setelah Perubahan Baru stabil, beliau kembali ke Singapura untuk beliau memulakan satu akhbar baru, Berita Malai pada 1 Januari 1943.

Bapa Kewartawanan dan Anugerah Kajai

Kajai digelar sebagai Bapa Kewartawanan Melayu apabila beliau dikatakan adalah pelopor kewartawanan Malaya ketika Perang Dunia Kedua dan kemudiannya, ramai yang datang bekerja dibawahnya dan mendapat bimbingan.

Kajai telah jatuh sakit pada Ogos 1942 dan meninggal dunia pada 5 Disember 1943 pada usia yang muda iaitu 48 tahun.

Namun pada tahun 1982, satu anugerah ulung telah diwujudkan untuk para wartawan yang dinamakan Anugerah Kajai sempena nama Bapa Kewartawanan Melayu itu.

Anugerah Kajai merupakan anugerah berprestij untuk wartawan negara. Pemenang bukan sahaja mendapat trofi, sijil dan kehormatan tetapi mereka juga menerima wang ringgit sebanyak RM 30 000.

Sumbangan Abdul Rahim Kajai dalam dunia kewartawanan tidak begitu jelas namun tetap memberikan impak yang mendalam kepada sesiapa yang ingin menceburi bidang penulisan di negara.

Legasi lelaki yang bernama Abdul Rahim Kajai ini patut dihormati dan disegani buat mereka yang berada dalam dunia kewartawanan.

Terima Kasih Abdul Rahim Kajai.

Want More Story From Us?