Loi dan Azmi bermula dari bawah berbekalkan semangat dan impian anak kampung. Selepas enam tahun menahan jerih perih, kini jenama Farm Fresh menjadi jenama susu segar yang paling mendapat sambutan di seluruh negara.
“Saya datang dari keluarga petani, orang tua saya sebenarnya penoreh getah. Masa di kampung kami di Perak, pertanian ialah cara hidup kami. Inilah yang banyak mempengaruhi saya sewaktu saya tinggalkan kampung.” – Loi Tuan Ee
Jenama produk tenusu keluaran Malaysia kebanyakannya menggunakan bahan yang diawet atau susu tepung, oleh itu Loi Tuan Ee bertekad menghasilkan produk susu yang berasaskan hasil tenusu semulajadi.
Berbekalkan semangat beliau memulakan perusahaan, Loi bersama rakan baiknya Azmi Zainal, kini menguasai pasaran tempatan dengan jenama Farm Fresh.
Bermula dengan impian anak kampung
Perjalanan Loi dan Azmi memasarkan Farm Fresh sehingga menjadi susu pilihan rakyat Malaysia bukanlah mudah. Dibesarkan di sebuah pekan kecil di Perak, Loi dan Azmi memulakan perniagaan mereka dengan hanya 60 ekor lembu dari Australia yang diternak di sebuah ladang yang dibeli di Johor.
Dari situ, tertubuhlah The Holstein Milk Company, syarikat yang hari ini mengeluarkan semua jenama susu segar Farm Fresh.
Dipandang rendah, diejek, dan diketawakan
Usaha untuk menghantar produk ke Kuala Lumpur menemui kekecewaan apabila tiada lori penghantaran yang sanggup bekerjasama dengan mereka. Oleh itu, mereka mencuba nasib menumpang bas ekspres untuk menghantar 10 ke 20 kotak susu ke kedai-kedai kecil di kota, sebelum beransur-ansur menghantar produk Farm Fresh ke pasar raya.
Apabila petang tiba, Azmi sendiri yang akan turun padang menjual produk susu segar mereka di pasar malam, yang diangkut sendiri dari pasar tani menggunakan sebuah Perodua Kancil.
Ramai yang mentertawakan usaha Loi dan Azmi, malah mereka dipandang rendah oleh pesaing produk susu segar yang mengharapkan supaya jenama ‘kecil’ seperti mereka akan mati dengan sendirinya. Tiada kasut mahal yang dipakai, sebaliknya hanya sepasang selipar yang membuatkan para penganjur ragu-ragu untuk mempromosikan produk mereka.
Keuntungan mencecah jutaan ringgit setahun
Dengan 35,000 liter susu segar yang dihasilkan sehari dan 12.7 liter diproses setahun, Farm Fresh meraih keuntungan RM120 juta pada 2017. Ia disasarkan meningkat 20% pada tahun-tahun berikutnya.
Empayar susu segar Loi dan Azmi semakin berkembang maju, sehingga kedua-duanya mampu memiliki lebih 800 ekor lembu serta lima buah ladang di Malaysia dan Australia.
Permintaan terhadap Farm Fresh semakin meningkat dari hari ke hari, malah kesedapannya juga dinikmati oleh pasaran di luar Malaysia, membawanya ke jalan yang betul untuk bergelar pengeluar susu segar terbesar di Asia Tenggara.
“Kita percaya bahawa orang Malaysia, kalau kita bagi dia peluang dan ruang untuk dia membangun, dan kita letakkan kita punya perbezaan kat tepi, kita kumpulkan kita punya kelebihan, ingat, kita boleh buat sesuatu yang lebih bagus dan baik untuk negara.” – Azmi Zainal