Inovasi hijab Dr Farah

Berbekalkan semangat dan impian untuk bergelar seorang doktor pakar bedah, Farah Roslan memperkenal hijab pakai buang yang selesa dipakai dalam dewan bedah serta masih menghormati pendiriannya sebagai seorang Muslim.

Apabila berada di dalam dewan pembedahan, seseorang doktor diwajibkan memakai penutup kepala demi mengelakkan pencemaran (contamination) bakteria. Bagi mereka yang berhijab, memakai anak tudung (inner scarf) yang kemudian ditutup dengan topi bedah (head scrub) adalah pilihan terbaik untuk menjalankan pembedahan demi mengikut etika pemakaian.

Tetapi bagi Farah Shaheera Roslan, hijab pakai buang (disposable hijab) yang diciptanya memberi jalan penyelesaian buat para doktor wanita Muslim yang ingin mengejar impian sebagai seorang doktor dan dalam masa yang sama masih mengamalkan tuntutan agama.

Idea datang selepas diminta meninggalkan dewan pembedahan

Menjadi pelajar perubatan tahun akhir di University of Nottingham dan menjalani latihan di Pilgrim Hospital Boston, Lincolnshire, Farah pernah diminta meninggalkan dewan pembedahan kerana hijab yang dipakai tidak menepati etika pemakaian yang ditetapkan National Health Service.

Apatah lagi, hijab yang dipakai telah berlanjutan sepanjang hari dan dikhuatiri tercemar dengan bakteria.

Farah diminta menggantikan hijabnya kepada hud ortopedik dan akibatnya, beliau tidak dapat mengikuti sebahagian pertama pembedahan. Dek kerana perasaan malu kerana melakukan kesalahan etika pemakaian, Farah nekad mencari jalan penyelesaian.

Inspirasi dikutip dari negara asalnya, Malaysia

Ekoran kejadian itu, Farah mula melakukan banyak kajian tentang hijab pakai buang steril dan fabrik yang boleh digunakan.

Menyedari isu hijab bukanlah masalah yang baharu dalam perubatan kerana telah ramai doktor wanita yang terpaksa melupakan impian bergelar seorang doktor pakar bedah kerana hijab yang dipakai, Farah akhirnya mereka bentuk hijab yang boleh dipakai dengan selesa dalam dewan pembedahan serta dalam masa yang sama masih mengekalkan nilai-nilai penghormatan kepada agama.

Membantu ramai lagi doktor wanita Muslim seluruh dunia

Menurut kajian yang dijalankan Farah sendiri, ramai doktor wanita Muslim yang berhijab terpaksa menanggalkan hijab mereka sehingga menimbulkan perasaan malu dan cemas, dan ada juga yang dibuli kerana memilih untuk mengekalkan hijab mereka.

Dengan penerimaan yang baik terhadap hijab pakai buang yang dicipta, Farah berharap ia mampu membantu ramai lagi wanita Muslim berhijab yang ingin berjaya dalam bidang kedoktoran dan menggalakkan kepelbagaian dalam perubatan tanpa mengira kaum, jantina, dan semestinya agama.

Farah bersama hijab pakai buang yang diciptanya.
Imej dari: NST/ Dr Farah Shaheera Roslan

“Saya berharap kisah saya dan inisiatif yang saya lakukan ini akan memberi inspirasi kepada sesiapa sahaja untuk tidak berasa kesal kerana menjadi seseorang yang berbeza kerana setiap seorang daripada kita penting. Kepelbagaian adalah kunci kekuatan kita.” – Farah Roslan, doktor junior

Want More Story From Us?