Hobi dijadikan kerjaya

Walaupun dilihat seperti orang muda biasa pada luarannya, ‘Soloz’ kini menjadi pembakar semangat bagi mereka yang mempunyai minat yang mendalam terhadap permainan video atas talian.

Pada zaman sekarang, terdapat pelbagai cara untuk seseorang menjana wang dan salah satu cara ialah dengan bermain permainan video atas talian secara professional. Faris Zakaria atau lebih dikenali sebagai ‘Soloz’ telah membuktikan bahawa bermain permainan video atas talian boleh dijadikan kerjaya jika mempunyai bakat dan semangat yang tinggi.

Soloz. Imej dari: Astro Awani

Soloz yang berusia 27 tahun adalah seorang pemain profesional permainan video Mobile Legends yang menjadi kegilaan ramai anak muda. Beliau dan pasukannya iaitu ‘Boskurr Gaming’ telah banyak kali mewakili Malaysia untuk bertanding dalam kejohanan Mobile Legends di peringkat antarabangsa.

Antara platform yang boleh membantu menjana wang

Soloz juga menjana pendapatan melalui video-video yang beliau rekodkan untuk tatapan umum di saluran Youtube. Selain itu, beliau juga membuat siaran langsung ketika bermain permainan video di Facebook. Ribuan Ringgit boleh dijana melalui platform ini jika seseorang itu mempunyai kandungan yang menarik dalam video mereka.

Jika masih ada golongan yang memandang rendah terhadap mereka yang hanya bermain permainan video dan mengatakan bahawa mereka tidak mempunyai masa depan, Soloz telah membuktikan yang dengan bakat yang beliau ada dalam industri ini, beliau mampu hidup senang dengan menjadikan hobi sebagai karier beliau.

Soloz juga menggemparkan netizen apabila beliau telah membeli kereta mewah iaitu sebuah Ford Mustang yang berharga lebih setengah juta Ringgit (RM500,000) menggunakan hasil daripada bermain permainan video. Ini jelas menunjukkan bahawa industri dan hobi ini tidak patut dipandang rendah oleh orang lain.

Soloz bersama Ford Mustangnya.
Imej dari: Elitereaders.com
Soloz bukan satu-satunya pemain yang berjaya

Selain Soloz, terdapat juga pemain dan ‘streamer’ permainan video di luar negara yang membuat jutaan wang hasil daripada siaran langung di Facebook dan juga melalui saluran tersendiri di YouTube. Ada pemain di Amerika Syarikat yang mengatakan beliau meraih pendapatan sebanyak USD500,000 sebulan iaitu sebanyak RM2 juta.

Apabila seseorang itu mempunyai nama yang terkenal dalam industri ini, banyak jenama permainan video atas talian akan menaja pemain untuk mencuba permainan baru dan juga produk daripada jenama tersebut. Ini juga merupakan salah satu cari pemain profesional menjana duit dengan mudah dan pada waktu yang sama membantu menaikkan jenama yang memberi tajaan tersebut.

Lebih daripada sekadar ‘permainan video’

Walaubagaimanapun, nasihat Soloz kepada mereka yang ingin mencapai impian mereka dalam industri ini ialah apa yang mereka mampak di mata kasar hanyalah pemandangan yang indah seperti penjanaan wang yang banyak, tetapi seseorang itu haruslah memberi komitmen yang tinggi dalam bidang ini jika ingin sampai ke tahap yang tinggi juga.

Ramai yang mengganggap bidang yang Soloz ceburi sangat mudah dan tidak tahu akan keperitan yang beliau lalui untuk sampai ke tahap ini. Beliau mengakui bahawa rata-rata semua pemain professional permainan video akan menghabiskan masa hingga 8 jam sehari untuk berlatih bermain Mobile Legends.

Akhir kata, masyarakat pula harus mengubah persepsi mereka terhadap golongan yang minat bermain permainan video kerana mereka juga mempunyai masa depan yang cerah untuk berjaya dalam hidup. Ibu bapa juga mungkin mampu untuk memberi dorongan positif kepada anak-anak mereka yang ingin menceburi bidang yang menarik ini.

Want More Story From Us?