Fesyen berjenama untuk tujuan kebaikan

Dalam usaha untuk menangani krisis bekalan peralatan perlindungan peribadi (PPE) yang digunakan oleh barisan kakitangan hospital semasa krisis COVID-19 ini, beberapa pereka fesyen tempatan tampil dan menawarkan diri untuk meletakkan kemahiran menjahit mereka untuk digunakan dengan baik dalam masa kritikal ini.

Imej dari: FB Radzuan Radziwill

Terkenal dengan rekaan fesyen yang diperagakan di acara terkenal dan karpet merah di peringkat antarabangsa, pereka terkenal Datuk Radzuan Radziwill bekerjasama dengan pereka-pereka fesyen dan juga tukang jahit tempatan yang lain untuk membekalkan PPE kepada kakitangan perubatan tempatan.

PPE pada dasarnya adalah pakaian yang dipakai oleh pekerja penjagaan kesihatan untuk meminimumkan pendedahan mereka kepada Covid-19. Ini termasuk jubah perlindungan yang meliputi kepala sehingga ke kaki, penutup kasut, sarung tangan dan juga kacamata.

Radzuan yang mencipta nama sebagai pereka fesyen pada awal 1990-an menerangkan mengenai projek amal ‘Jom jahit sambil beramal’ yang diharap dapat membantu menampung permintaan daripada hospital untuk dibekalkan kepada petugas perubatan.

PKP tidak menjadi penghalang untuk menyumbang kepada barisan hadapan negara

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, Datuk Radzuan memilih untuk tampil dengan projek amal menjahit pakaian petugas perubatan untuk kegunaan petugas barisan hadapan di hospital yang bertungkus-lumus menyelamatkan nyawa serta membahayakan diri mereka sendiri.

Pereka kelahiran Perak ini yang telah mereka pakaian yang dipakai oleh para pemimpin dari rantau Asia Pasifik, percaya dengan kemahiran dan pengalamannya untuk menghasilkan 50 set PPE, termasuk jubah, penutup kepala, penutup kasut, dan pelindung boot dalam sehari untuk disumbangkan kepada hospital.

Pereka fesyen golongan elit

Nama Datuk Radzuan Radziwill sangat terkenal bukan sahaja dalam kalangan pereka fesyen, malah, beliau juga terkenal sebagai pereka fesyen untuk golongan diraja, VVIP dan juga selebriti.

Kejayaan beliau sebagai pereka fesyen dapat dilihat menerusi anugerah yang diterima olehnya, antaranya Anugerah Benang Emas pada 1996, Piala Sri Endon pada 2005, dan juga Pereka Fesyen Terbaik Malaysian International Fashion Week pada tahun 2010.

Antara nama besar yang sentiasa mengenakan jenama rekaan beliau ini ialah penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Anjur Program ‘Jom Jahit Sambil Beramal’

Datuk Radzuan menganjurkan program ini apabila beliau terpanggil untuk menghasilkan peralatan perlindungan diri (PPE) selepas mengetahui bekalan itu amat kritikal sedangkan para petugas kesihatan amat memerlukannya di hospital pada ketika ini.

Program yang dianjurkan olehnya ini diuarkan di Instagramnya sendiri di mana Datuk Radzuan menyeru sukarelawan dengan kemahiran menjahit untuk membantu beliau membuat lebih banyak PPE.

Beliau percaya jika lebih ramai pereka dan tukang jahit dapat bersama melakukan projek tersebut, pastinya lebih banyak set pakaian perlindungan diri boleh dihasilkan.

Usaha murni yang dilakukan oleh Radzuan Radziwill pastinya akan dihargai oleh pihak pasukan barisan hadapan di hospital yang berjuang untuk menangani penularan wabak COVID-19 ini.

Want More Story From Us?