Ebit Lew: satu dalam seribu

“Kita baik, ramai orang sayang” – suatu frasa yang boleh digunakan untuk menggambarkan peribadi Ustaz Ebit Lew di mata masyarakat.

Nama Ustaz Ebit Lew semakin dikenali sejak akhir-akhir ini. Namun hakikatnya, penceramah bebas terkenal ini telah terlibat dalam program-program dakwah dan banyak bersedekah kepada mereka yang kurang bernasib baik sejak beberapa tahun yang lepas lagi.

Dilahirkan dalam keluarga yang tidak mengamalkan ajaran Islam, Ebit Irawan Bin Ibrahim Lew, atau nama asalnya Lew Yun Pau merupakan seorang Muslim berbangsa Cina. Bapa beliau memeluk Islam ketika berkahwin dengan ibu beliau iaitu seorang wanita Islam, dan perlahan-lahan, beliau mula mempraktikkan ajaran Islam dalam kehidupan harian sejak berusia 12 tahun sehingga mampu menjadi seorang pendakwah yang disegani ramai pada hari ini.

Dakwah bertunjangkan slogan ‘keluarga sunnah’

Walaupun tidak mempunyai kelayakan akademik dalam pengajian Islam lulusan luar negara, dakwah Ustaz Ebit yang berpandukan slogan ‘keluarga sunnah’ dengan mengikut gaya hidup yang digariskan Nabi Muhammad saw menjadikan beliau disegani, dan dalam masa yang sama disayangi kerana pendekatan dakwahnya itu.

Beliau pernah menjadi penceramah motivasi dan perunding latihan di Excel Training di bawah bimbingan penceramah terkenal Dato’ Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah dan Prof Hanim Tahir selama empat tahun.

Selain Malaysia, Ustaz Ebit juga mempunyai pengalaman memberikan ceramah di negara-negara luar seperti Indonesia, Thailand, Pakistan, India, dan Singapura. Beliau juga pernah menerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1437H/2015M, dan telah menerima pelbagai jemputan media massa seperti TV Al-Hjirah, IKIM.fm, dan Sinar.fm.

Ceramah Ustaz Ebit Lew tentang ajaibnya sedekah.
Video dari: Ar-Rahman TV
Cara dakwah yang membuatkan ramai terharu

Ustaz Ebit dihormati kerana hati beliau yang murah untuk selalu melakukan aktiviti-aktiviti amal kebajikan dan bersedekah. Selain itu, beliau juga mampu mengharukan orang ramai dengan cara dakwah yang lembut dan tidak menilai seseorang itu daripada luarannya.

Antara yang paling mendapat perhatian ialah Program Kembaran Iman & Sayang (KIS) di mana Ustaz Ebit sendiri bertemu beberapa orang mak nyah (istilah yang digunakan untuk menggambarkan golongan transgender) untuk mendengar luahan mereka di samping memberikan kata-kata semangat untuk mereka kembali ke jalan yang benar.

Selain mengadakan program-program rohaniah sebegini, Ustaz Ebit juga aktif turun padang untuk memberi dakwah secara langsung kepada yang memerlukan. Dengan lenggok bahasa yang lembut dan tidak pernah lupa menggunakan frasa ‘Allah sayang’, nyata sesiapa sahaja yang menonton video dakwah beliau akan turut sama terkesan.

Inilah antara faktor yang menjadikan Ustaz Ebit lebih menonjol serta mendapat tempat di hati orang ramai. Buktinya, ketika beliau dikritik hebat kerana usaha beliau untuk membantu mereka yang dalam kesusahan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), warga siber berganding bahu memberi sokongan padu kepada beliau supaya beliau tidak berputus asa untuk terus melakukan kebaikan.

Membantu petugas barisan hadapan dan keluarga susah

Ustaz Ebit antara yang aktif menghulurkan sumbangan kepada golongan yang memerlukan, seperti petugas barisan hadapan, keluarga-keluarga susah, golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), dan juga pekerja-pekerja warga asing di tapak pembinaan.

Pendingin hawa, penutup muka dan hidung, dan alatan mandian mudah alih (portable shower) dihantar ke hospital-hospital, puluhan kampit beras dan bekalan makanan asas dihantar ke tapak pembinaan untuk pekerja-pekerja warga asing, dan sumbangan pelbagai bentuk diberi kepada keluarga-keluarga miskin tanpa mengira kaum dan agama.

Namun sayangnya, walau sebaik mana pun hati seseorang, pasti ada juga yang tidak senang melihatnya. Timbul isu keselamatan seperti penjarakan sosial dan perlanggaran PKP, dan oleh itu, kecaman mula dilemparkan oleh beberapa pihak.

Warga siber sedia pertahankan Ustaz Ebit Lew

Luahan hati yang dimuatnaik di Instagram untuk tidak lagi menghantar bantuan sebaliknya hanya mampu menyalurkan wang secara atas talian setelah beliau dipanggil pihak berkuasa menyedihkan hati banyak pihak. Maka, tingginya status Ustaz Ebit di mata masyarakat boleh dilihat oleh sokongan dan semangat padu yang diberikan oleh warga siber, berserta galakan supaya beliau tidak menyerah kalah dalam menyampaikan dakwah Allah swt.

Namun pengesahan daripada pihak polis bahawa Ustaz Ebit telah diberi kebenaran untuk meneruskan aktiviti-aktiviti amal beliau sepanjang PKP asalkan beliau terus mematuhi syarat-syarat penjarakan sosial dan kebersihan yang telah ditetapkan ternyata membuatkan ramai gembira.

Mereka berkongsi doa semoga Ustaz Ebit mampu terus bersedekah dan membantu insan-insan yang memerlukan selagi beliau termampu, dan semoga beliau dilindungi daripada jangkitan wabak COVID-19.

Want More Story From Us?