Dikritik kerana dakwah santai

Ramai yang merujuk Ustaz Ad-Dien jika ada kemusykilan tentang Islam, tetapi bukan semua mereka menghargai usaha beliau untuk berdakwah di media sosial.

Nama diberi Mohamad Dhiyauddin Abdul Kadir, tetapi di media sosial, beliau lebih mesra dikenali dengan nama Ustaz Ad-Dien. Beliau mendekati warganet melalui pendekatan menjawab segala kekeliruan tentang hukum-hakam Islam dengan bahasa yang sopan dan mudah difahami, dan kerana itulah beliau dihormati dan disayangi ramai.

Namun, dalam kesudian beliau berdakwah di Twitter, masih ada yang melihat beliau sebagai seseorang yang ‘tidak layak’ berbicara soal agama hanya kerana beliau juga berbual tentang muzik dan permainan video bersama pengikut-pengikut beliau.

Beliau pernah belajar kejuruteraan bangunan

Tidak seperti para pendakwah lain yang menyambung pembelajaran dalam pengajian Islam sebaik tamat persekolahan, Ustaz Ad-Dien mendapat pendidikan tinggi dalam kejuruteraan bangunan di Universiti Teknologi MARA Seri Iskandar, Perak. Tetapi dek kerana minat yang mendalam dalam Islam, beliau menyambung pelajaran Pengajian Kontemporari Islam di Kolej Islam Antarabangsa.

Menurut adik beliau, ilmu pengajian Islam yang dicintai sebenarnya diwarisi oleh arwah datuk mereka Tuan Guru Haji Ismail yang dahulunya terkenal di Temerloh. Pun begitu, Ustaz Ad-Dien tidak pernah menganggap dirinya seorang ustaz, sebaliknya gelaran tersebut diberikan warganet kerana masa beliau di media sosial banyak dihabiskan dengan menjawab pertanyaan-pertanyaan mereka berkenaan hukum Islam.

Selain Twitter, beliau juga berdakwah menggunakan medium yang lain seperti blog, Facebook, YouTube, Instagram, dan Telegram.

Tak layak berbicara agama?

Selain menyebarkan dakwah, Ustaz Ad-Dien turut menjadikan akaun Twitternya sebagai tempat berborak tentang muzik dan permainan video. Oleh sebab itulah, sesetengah orang menganggap beliau bukan seorang ‘ustaz’ dan ‘tidak layak’ memberi hujah berkenaan Islam.

Kritikan dan kecaman yang beliau terima di Twitter pernah memaksa beliau untuk mengundur diri dari laman sosial tersebut. ‘Kehilangan’ beliau sangat terkesan di hati pengikut-pengikut beliau, seraya itu ramai yang menulis tweet mempertahankan beliau. Antara pandangan yang diberikan ialah Ustaz Ad-Dien jauh lebih banyak membawa imej Islam dan mesej-mesej positif jika dibandingkan dengan ‘ustaz selebriti’ yang lahir dari program-program realiti TV.

Tambahan pula, setiap jawapan yang Ustaz Ad-Dien berikan pasti disokong oleh kajian yang mendalam terutamanya tentang Hadith dan Fiqh, serta rujukan daripada kitab-kitab ulama dan pengajian Islam.

Malah, beliaulah yang bertanggungjawab di sebalik kisah #KelantanKindness yang pernah menjadi siulan hangat di Twitter. Beliau berasakan pandangan negatif yang selalu dilemparkan kepada rakyat Kelantan tidak adil, lantas mengambil inisiatif tersebut untuk menyuluh imej Kelantan yang lebih positif.

Walaupun dikritik hebat, Ustaz Ad-Dien tidak patah semangat. Selepas lebih empat bulan menyepi dari Twitter, beliau kembali semula dan menyambung tanggungjawab beliau memberi penerangan tentang Islam kepada mereka yang masih keliru. Pengikut beliau kini sudah mencecah 240,000 orang, dan lebih ramai daripada itu yang mendapat manfaat tulisan dakwah beliau dari hari ke hari.

Beliau mungkin bukan seorang ustaz seperti pendakwah-pendakwah lain yang sering muncul di kaca TV atau siaran radio, tetapi personaliti beliau yang senang didekati di media sosial dan jenaka yang sering diselit bersama dakwah beliau menjadikan ramai warganet memilih beliau sebagai sumber rujukan hal ehwal Islam.

“Belajar agama ni yang paling utama untuk baiki diri sendiri sebelum nak baiki orang lain. Kalau tak, jadilah rider agama yang sibuk ceramah sana sini tapi dibelakang tipu orang, main perempuan, bolot duit etc. Saya bukan ustaz, tapi saya benci tengok ustaz² permainkan Agama.” – @AdDien90

Want More Story From Us?