Daripada seorang pereka dalaman, kini Frederick Lee terus menempa nama dalam bidang lakonan dan tidak pernah menyesal berkecimpung sepenuh masa dalam dunia baharunya itu.
Pelakon kelahiran Melaka, Frederick Lee atau nama sebenarnya Lee Meng Chong telah lama menunggu kerjayanya lakonannya bermula dan dia akhirnya menuai hasil setelah bertahun-tahun bekerja keras.
Tiada kekesalan
Kata Frederick, kekesalan tidak pernah wujud dalam kamus hidupnya, namun mengakui kadang-kadang, dia tetap mempersoalkan sama ada sedang berada di landasan yang betul.
“Tiada kekesalan kerana saya tak pernah dan tak suka mengalah dalam kehidupan.
“Cuma, kadang-kadang, sebab pernah menjadi seorang pereka dalaman, pernah terlintas dalam fikiran, sama ada saya berada di landasan yang betul atau tidak.
“Pada masa sama, setiap kali perkara itu wujud dalam fikiran, selalu saja ada kejutan dan peluang baharu dalam kerjaya lakonan.
“Itu yang membuatkan saya sentiasa balik kepada lakonan dan memberi motivasi untuk menjadi seorang pelakon,” kata Frederick dalam satu temu ramah bersama HibGlam.
Tekanan sebagai adik Christopher
Walaupun itu tidak terjadi dalam tempoh yang singkat, Frederick akhirnya melihat bahawa menjadi adik Christopher Lee adalah satu keberkatan. Frederick mula menceburi industri lakonan agak lewat iaitu pada usia 30 tahun, sementera Chris, 48, telah memantapkan dirinya sebagai pelakon terkenal di Singapura.
“Mula-mula memang saya agak tertekan, namun sekarang sudah jadi satu keberkatan bahawa dia ialah abang saya.
Tampaknya tidak ada kecemburuan atau persaingan saudara di antara mereka, menilai dari fakta bahawa Chris lebih senang untuk memberikan banyak nasihat ketika adiknya melibatkan diri dalam industri ini.
“Abang saya sangat menyayangi saya,” kata Frederick. “Dia memberitahu saya tentang semua pengalaman dan kesusahan yang dia hadapi sepanjang kariernya, malah membantu saya untuk bersiap sedia dengan masalah dan isu yang saya bakal hadapi.”
Anugerah macam bonus
Baru sahaja mendapat pencalonan Pelakon Lelaki Terbaik pada New York Festivals TV & Film Awards 2021 menerusi watak pembunuh bersiri dalam siri jenayah Singapura, Mind’s Eye, Frederick memberitahu bukan trofi atau anugerah yang dikejar, sebaliknya kepuasan dalam setiap karakter yang dijayakan.
“Saya anggap anugerah macam bonus. Bukan sumber utama motivasi.
“Tetapi kalau menerima pencalonan dan menang, sudah tentu saya akan berasa sangat gembira dan berpuas hati,” ujarnya lagi.
Pelakon yang juga mendapat pencalonan untuk Pelakon Pembantu Terbaik di Anugerah Filem Taipei 2019 kini mempromosikan siri terbarunya Trinity of Shadows.
Mengulas tentang karakternya sebagai Hu Ta-Dong dalam The Trinity Shadows, Frederick berkata, wataknya bukan hanya sekadar watak jahat atau ‘villain’, namun ada sebab mengapa karakter itu diterjemah sebegitu.
“Watak Ta-Dong juga bukan sekadar watak ‘villain’, dia jahat kerana bersebab. Untuk tahu apa sebabnya, penonton kena tengok siri ini.
“Secara peribadi, Ta-Dong memberi simbolik bahawa jangan takut bagaimana orang tengok kita atau bagaimana orang lain ingin menerima kita.
“Jadi diri kita dan ciptalah kisah sendiri,” katanya.
Jangan terkejut, dalam dunia realiti juga, Frederick sebenarnya pernah membuatkan pelakon lain dalam siri berkenaan membencinya demi impak terbaik watak jahat lakonannya.
Demikianlah segala usaha keras Frederick telah berjaya menempatkan dirinya sebagai antara pelakon yang disegani. Malah, sifatnya yang tidak mudah mengalah untuk mengejar cita-citanya itu boleh dijadikan inspirasi ramai yang sedang berusaha mencapai impian masing-masing.