Malaysia punya ramai cef yang berbakat dalam memasak dan mencipta berbagai-bagai resipi, tetapi tidak ramai yang berumur semuda dan mempunyai hati sebesar Danish Harraz.
“The best part about cooking is eating it!” – Danish Harraz
Memasak bukan hanya untuk mereka yang dewasa, tetapi sesiapa pun boleh berjaya dalam bidang kulinari jika ada semangat jitu dan usaha yang tidak putus. Itulah yang dipegang Danish Harraz sejak awal-awal lagi menunjukkan minat dalam masakan dan pembuatan kek.
Mencipta nama melalui perniagaan sendiri iaitu Danish’s Red Kitchen, cef cilik berusia 13 tahun ini bermula seawal usia empat tahun, semakin mengembangkan minat di usia lima tahun, dan mencuba resipi masakan dan pembuatan kek ketika berusia enam tahun.
Berbekalkan sokongan padu oleh ibu bapanya sendiri, Danish Harraz terus melakar nama di pentas masakan tempatan, di samping menjadi cef cilik kesayangan ramai rakyat Malaysia.
Bakat ditemui oleh Cartoon Network
Nama Danish Harraz mula mendapat tempat di hati warga siber menerusi akaun Instagramnya, di mana gambar-gambar hasil masakannya dimuat naik bersama resipinya.
Pada tahun 2017, Cartoon Network iaitu rangkaian saluran yang berasas dari Amerika Syarikat menjemput Danish sebagai wakil kempen POWFACTOR – program berasaskan kartun popular The Powerpuff Girls – di Malaysia. Kempen ini bertujuan untuk membantu kanak-kanak seluruh dunia mencungkil bakat dan keistimewaan mereka sebagai inspirasi kepada yang lain.
Sepanjang kempen itu berlangsung, Danish bersama wakil-wakil cilik dari Singapura dan Filipina berkongsi tentang minat dan faktor yang mendorong mereka membina kerjaya masing-masing di usia yang begitu muda.
Sejak itu, nama Danish Harraz terus meniti di bibir ramai orang, terutama sekali dengan usianya yang sangat muda tetapi mampu mencairkan hati sesiapa sahaja dengan masakannya.
Internet adalah guru masakan Danish
Danish tidak pernah menghadiri mana-mana kelas kulinari, sebaliknya bergantung kepada internet untuk mengasah kemahirannya dalam memasak. Ditambah lagi dengan sokongan yang tidak berbelah bahagi oleh ibu bapanya, tidak sukar bagi Danish mengejar impian serta menguruskan perniagaan sendiri.
Menurut ibu Danish, Noorliza Abdul Rahman, walaupun Danish suka memasak, dia tidak pernah ditinggalkan sendiri di dapur. Salah seorang daripada ibu bapanya perlu ada menemani, sekali gus mengajar cara-cara yang betul untuk menggunakan peralatan dapur. Selebihnya, Google dan YouTube adalah guru masakan Danish.
Di samping itu, Danish suka mencuba pelbagai jenis resepi. Ibu bapanya yang menjadi juri tetap, dan kadang-kadang makanan yang berlebihan disedekahkan kepada jiran tetangga.
Selain berniaga, Danish juga aktif dalam aktiviti amal kebajikan
Walaupun usianya masih muda, Danish punya hati yang sangat besar. Perniagaannya bukan sahaja mengaut untung, tetapi juga untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik melalui aktiviti-aktiviti amal.
Antara yang mendapat perhatian ialah program #AnakLemoiBackToSchool2019 di mana Danish membeli dan menyiapkan kelengkapan sekolah untuk kanak-kanak yang memerlukan di Sekolah Kebangsaan Lemoi. Bantuan keperluan makanan harian juga diagihkan kepada 40 keluarga daif di Pos Lemoi, Cameron Highlands, di samping membantu pelajar-pelajar di sekolah-sekolah pedalaman seluruh negara.
Malah sebelum itu pun, Danish aktif melakukan aktiviti-aktiviti amal sejak berusia lapan tahun lagi, seperti menjadi sukarelawan di program anjuran badan bukan kerajaan Need to Feed The Need (NFN) dengan menyalurkan 10% keuntungan dari perniagaannya, serta membentuk kumpulan sukarelawan untuk membantu pesakit-pesakit kanser pediatrik di Malaysia.
Turut menyumbang kepada perjuangan melawan COVID-19
Selain berkongsi resipi untuk dicuba rakyat Malaysia ketika berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Danish juga menggunakan akaun Twitternya sebagai platform untuk menyalurkan bantuan kepada barisan petugas hadapan negara dalam usaha mereka memerangi wabak COVID-19 dan membeli bantuan asas untuk keluarga-keluarga yang memerlukan.
Ternyata, usia bukanlah penghalang untuk seseorang itu menjadi inspirasi kepada orang lain untuk terus berbuat kebaikan. Danish Harraz telah pun buktikannya, dan semoga harapan rakyat Malaysia supaya cef cilik ini terus membesar menjadi insan yang berguna dan terus disayangi ramai akan termakbul.