Berjuang sehingga titisan darah terakhir

Siapa sahaja yang tidak kenal dengan nama Leftenan Adnan, wira negara bangsa yang telah berjuang habis-habisan demi mempertahankan negara tercinta?

Sehinggakan terdapat sebuah filem yang berkisarkan tentang pengorbanannya untuk rakyat memperingati perjuangannya. 

Antara orang pertama sertai RAMD
Leftenan Adnan.
Imej dari: Wikipedia

Leftenan Adnan atau nama sebenarnya, Adnan bin Saidi mempunyai impian yang tinggi untuk menjadi salah seorang anggota tentera semenjak kecil lagi. 

Pemuda kelahiran Kajang, Selangor ini pernah bertugas sebagai seorang guru pelatih. Disebabkan impiannya dalam bidang ketenteraan, beliau mengambil keputusan untuk menyertai Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada tahun 1933 ketika usianya 18 tahun.

Antara orang pertama menyertai RAMD, dalam tempoh tiga tahun sahaja beliau telah dinaikkan pangkat sebagai sarjan. Hal ini kerana beliau merupakan antara askar yang terbaik dalam unitnya sehingga diberi penghargaan sebagai pegawai Melayu pertama. Setahun kemudian, beliau ke Singapura untuk menghadiri sekolah latihan pegawai dan menjadi pegawai bertauliah Melayu pertama.

Ketelitiannya menghentikan helah Jepun

Peperangan Dunia Kedua merupakan zaman yang menunjukkan kehebatan Leftenan Adnan menentang tentera Jepun, yang ketika itu sedang berusaha untuk meluaskan pengaruhnya ke beberapa negara termasuklah Tanah Melayu dan Singapura.

Apabila Jepun telah berjaya menjejak Tanah Melayu, anggota RAMD telah bersedia untuk bertempur mempertahankan Singapura. Ketika itu, Singapura merupakan simbol kepada kekuasan British yang menyebabkan Jepun menumpukan serangan ke negara itu. 

Pertempuran pertama antara tentera Melayu dan tentera Jepun tercetus pada 13 Februari 1942 di Permatang Pasir Panjang. Jumlah tentera Jepun yang lebih ramai menyebabkan tentera Melayu atau lebih spesifik, kompeni B RAMD, terpaksa berundur tetapi belum sempat semua anggota selesai melakukan pengunduran, tentera Jepun berjaya melepasi garisan pertahanan mereka. Hal ini telah menyebabkan beberapa anggota kompeni ditahan dan dijadikan tawanan perang. 

Keesokkan harinya, pada 14 Februari 1942, Kompeni C yang diketuai oleh Leftenan Adnan telah diberi arahan untuk ke Bukit Candu. Leftenan Adnan yang ketika itu berumur 27 tahun, sedang memantau kontinjen tentera Sikh daripada tentera British-India pada awal petang hari tersebut apabila beliau menyedari sesuatu perkara yang pelik.

Melalui ketelitian dan kecerdasan akal fikirannya, beliau menyedari bahawa pasukan tentera Sikh tersebut berkawad dalam kumpulan berempat dan bukannya bertiga seperti tentera British. Menyedari bahawa itu adalah taktik penyamaran tentera Jepun, tanpa membuang masa, beliau mengarahkan kompeni RAMD menembak mereka bertubi-tubi, mengakibatkan kematian yang ramai dan beberapa orang melarikan diri. 

Jepun menyerang besar-besaran

Dua jam selepas kejadian tersebut, tentera Jepun telah melancarkan serangan besar-besaran. Dengan kelengkapan senjata dan jumlah tentera yang ramai, anggota RAMD mempunyai peluang yang tipis untuk memenangi peperangan tersebut.

Walaubagaimanapun, ini bukanlah penyebab anggota RAMD untuk menyerah kalah. Tanpa bekalan peluru yang cukup dan kurang bekalan logistik, anggota RAMD tetap berusaha bermati-matian untuk mempertahan kawasan mereka. 

Meskipun Leftenan Adnan cedera parah, beliau tetap terus bertempur dan tidak meninggalkan anak buahnya. Apabila peluru pistol beliau telah habis, beliau menggunakan pedang dan apabila pedang pun tidak boleh digunakan, beliau akhirnya bertempur menggunakan tangan sahaja. Ini menunjukkan kecekalan beliau bahawa selagi nyawa masih ada, beliau akan tetap berlawan sehingga titisan darah terakhir.

Melaungkan takbir sehingga nafas terakhir

Peperangan tersebut telah mengakibatkan sebanyak 159 anggota RAMD terbunuh termasuklah Leftenan Adnan. Namun, pengorbanan dan keberanian mereka juga telah membunuh sebanyak 800 orang tentera Jepun

Salah seorang anggota RAMD dan juga anak buah Leftenan Adnan, Koperal Yaakob Bidin merupakan antara anggota yang selamat dan berjaya melarikan diri. Dengan menyamar sebagai anggota yang terkorban, beliau menyaksikan sendiri bagaimana jenazah Leftenan Adnan diperlakukan tentera Jepun.

Menurut beliau, Leftenan Adnan dibelasah teruk walaupun beliau mengalami kecederaan di kaki. Setelah itu, beliau diseret dan kepalanya ditutupi dengan guni. Kemudiannya, tentera Jepun menggantungnya pada sebatang pokok ceri dan ditikam berkali-kali. Pada setiap tikaman, beliau melaungkan takbir Allahuakbar sehingga hembusan nafasnya yang terakhir. 

Perjuangan Leftenan Adnan dan anak buahnya amatlah berharga buat negara meskipun mereka tewas dalam tempuran tersebut. Sifatnya yang berani, tidak mudah putus asa dan cinta akan negara patut dijadikan contoh buat semua terutama pada golongan muda yang akan membentuk masa depan negara kelak. 

Want More Story From Us?