Belajar tentang hidupan liar bersama Aidil

Aidil Iman Aidid aktif dalam kerja-kerja sukarelawan, sambil menjadikan Twitter sebagai tempat untuk beliau berkongsi tentang hidupan liar yang ada di Malaysia.

Ketika isu Zoo Negara kekurangan pelawat mendapat perhatian meluas di media sosial, Aidil Iman Aidid atau dikenali dengan gelaran Sunflower Aidil (@sunfloweraidil) di Twitter, muncul memberi maklumat dan kesedaran kepada orang ramai tentang pentingnya memelihara haiwan, terutama sekali hidupan liar. Disebabkan tweet yang ditulis Aidil itulah, ramai yang mula mengunjungi Zoo Negara dan menjadi sukarelawan untuk menjaga haiwan-haiwan di sana.

Di usia 20 tahun, Aidil sudah aktif menyertai aktiviti-aktiviti sukarelawan melibatkan konservasi hidupan liar (wildlife conservation), malah kesudian beliau berkongsi pengalaman dan informasi berguna tentang kepelbagaian fauna di Malaysia telah membuka mata orang ramai untuk mula ambil peduli.

Mengadaptasikan ilmu dalam pembelajaran

Aidil merupakan seorang penuntut SEGi University dalam bidang komunikasi media. Berbekalkan ilmu yang dipelajari, beliau membina hubungan yang baik dengan banyak badan bukan kerajaan (NGOs) yang terlibat dalam konservasi hidupan liar seperti Gibbon Protection Society Malaysia (GPSM), serta mereka yang berada di sebalik tabir kerja-kerja pemeliharaan haiwan. Dengan adanya hubungan baik ini, lebih mudah untuk beliau menyertai ekspedisi mereka ke mana-mana sahaja untuk menyelamatkan haiwan.

Menurut Aidil, aktiviti-aktiviti sukarelawan yang disertai membantunya membina keyakinan dan memberinya peluang untuk belajar tentang asal-usul haiwan-haiwan serta kehidupan harian mereka. Walaupun banyak tenaga yang perlu digunakan untuk menggalas tugas seperti membersihkan kandang, menyapu sampah, dan memandikan haiwan-haiwan, ilmu yang diraih lebih berharga kerana ia juga boleh diadaptasikan dalam kursus pelajarannya yang banyak menjurus ke arah media, jurnalisme, dan jenayah hidupan liar.

Lebih daripada itu, Aidil menggunakan akaun Twitternya sebagai platform untuk berkongsi ilmu dan pengalamannya menjaga haiwan-haiwan bersama masyarakat umum.

Memupuk semangat cintakan haiwan dalam kalangan orang awam

Dengan jumlah pengikut seramai 29,800 orang di Twitter, Aidil banyak berkongsi maklumat tentang hidupan liar yang mungkin tidak pernah dikenali atau diketahui kewujudannya di Malaysia, contohnya harimau dahan Sunda (Sunda clouded leopard), Burung Enggan Tebang Mentua (helmeted hornbill), dan musang Binturong.

Selain itu, Aidil juga berkongsi tentang saluran betul yang boleh dihubungi untuk melaporkan jenayah hidupan liar, hidupan liar yang mengalami kecederaan, atau apa-apa sahaja kes yang berkaitan dengan haiwan. Beliau menjawab persoalan tentang haiwan, berkongsi gambar-gambar hidupan liar yang dirakam kamera perangkap di hutan, dan paling penting, membuktikan bahawa sesiapa sahaja boleh bertindak melakukan sesuatu untuk haiwan-haiwan dan alam sekitar asalkan mereka ada kemahuan.

Pendek kata, Aidil ingin memberi inspirasi dan menggalakkan orang ramai untuk memikul rasa tanggungjawab untuk memelihara haiwan sama ada jinak mahu pun liar, terutama sekali jika spesis mereka sudah pun terancam.

Di samping banyak melakukan kerja-kerja sukarelawan memelihara dan menjaga haiwan, Aidil turut terlibat dalam usaha mengurangkan penggunaan plastik, jejak karbon, dan perubahan iklim. Beliau telah muncul di kaca TV seperti Awani Pagi dan program bual bicara anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM TV) iaitu Inspirasi Luahan Ihsan untuk menyuarakan pendapat dan berkongsi ilmu, serta memenuhi jemputan program-program lain.

Harapannya, semoga lebih ramai lagi anak muda yang turun pandang untuk menyumbang sesuatu kepada planet Bumi sebelum terlewat.

 “Tak kisahlah kita ada empat kaki atau kita boleh terbang, tapi dunia ini untuk dikongsi oleh semua makhluk secara adil. Tak kiralah sebenar mana atau sekecil mana pun kita, Bumi ni untuk kita semua.” – Aidil Iman Aidid

Want More Story From Us?