Dawn Raid: Merampas semula hak Malaysia

Walaupun Malaysia meraih kemerdekaan pada tahun 1957, penduduk negara ini masih belum bebas sepenuhnya daripada cengkaman penjajahan pada saat “Merdeka” dilaungkan, termasuklah dari perspektif ekonomi.

Dahulu, Malaysia melalui suatu fasa yang menyaksikan kesusahan dan perselisihan faham antara kaum. Perpecahan kuasa ekonomi antara kaum Melayu dan Cina (kaum Cina mempunyai 22.8% aset korporat, manakala majoriti kaum Melayu hanya mempunyai 1.5%) menyumbang kepada tragedi 13 Mei.

Sementara itu, situasi ekonomi Malaysia terus merosot.

Sebaik sahaja Tun Hussien Onn mengundur diri dan Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil alih sebagai Perdana Menteri, salah satu daripada strategi beliau mengejutkan London Stock Exchange, sekali gus memaksa Guthrie kembali ke tangan rakyat Malaysia.

Guthrie bukan sekadar syarikat biasa

Guthrie adalah syarikat perdagangan British pertama di Asia Tenggara yang mengetengahkan industri getah dan kelapa sawit di Malaysia sejak tahun 1800-an. Seperti yang ramai tahu, Malaysia adalah antara pengeluar terbesar dua tanaman ini, sehingga ia dapat mengawal sumber ekonomi utama negara.

Image result for palm oil malaysia
Hasil pertanian kelapa sawit. Imej dari: arabnews.com

Di samping menguasai sebahagian besar Malaysia, keuntungan yang dibuat juga diraih pihak British, dan memandangkan kebanyakan pemegang saham Guthrie berbangsa British, ia menjadi suatu cabaran besar buat Perdana Menteri pada waktu itu iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad. Lebih mengeruhkan keadaan, rakyat Malaysia hanya mengawal anggaran 40% daripada jumlah aset negara pada masa dahulu.

Mengambil alih Guthrie diibaratkan seperti satu penghinaan kepada pihak British, tetapi dalam masa yang sama tindakan itu juga bakal melepaskan Malaysia dari terus dicengkam penjajah dan bebas daripada bayang penjajahan. Oleh itu, Dawn Raid dilaksanakan, mengukuhkan tapak Malaysia berdiri sebagai negara merdeka, dan sebagai simbol rakyat Malaysia merampas kembali hak milik mereka.

Apa itu ‘Dawn Raid’?

Dawn Raid merujuk kepada pengambilalihan pasaran saham sesebuah syarikat secara mengejut. Intipatinya ialah: pelabur perlu membeli sejumlah saham yang besar daripada syarikat sasaran sebaik sahaja pasaran saham dibuka, tanpa menarik perhatian dan kecurigaan daripada syarikat tersebut.

Dengan cara menguasai saham ini dengan mengejut, syarikat sasaran tersebut tidak mempunyai masa yang cukup untuk melancarkan tindakbalas. Oleh itu, ketika mereka sedar pengambilalihan bermusuhan (hostile takeover) telah berlaku, ia sudah pun terlambat.

Related image
London Stock Exchange 1980s. Imej dari: telegraph.co.uk

Sementara pemegang saham diyakinkan untuk menjual saham mereka, perlu juga diingatkan bahawa pada waktu ini harga saham mereka jauh lebih murah berbanding pada hari ini kerana mereka tidak sedar akan pengambilalihan yang akan berlaku. Oleh itu, harga saham tidak dapat dinaikkan dengan sengaja, seterusnya menguntungkan syarikat yang membeli saham tersebut walaupun pembelian itu perlu disempurnakan hanya dalam masa beberapa minit sahaja.

Memulihkan simbol kebanggaan Malaysia dengan sedikit bantuan

Di bawah syarikat Permodalan Nasional Berhad (PNB), Perdana Menteri yang baharu sahaja dua bulan dilantik itu mendapat bantuan daripada Ismail Mohd Ali, Gabenor Bank Negara Malaysia dan bekas Pengerusi PNB; dan Khalid Ibrahim, bakal Pengerusi Guthrie dan bekas Menteri Besar Selangor.

Syarikat tempatan lain yang turut sama membeli saham Guthrie termasuklah Genting Berhad, Bank Simpanan Nasional, dan Malaysia-Kuwaiti Bank.

Walaupun tidak terdiri daripada ahli lembaga pengarah, PNB sudah pun mempunyai 25% saham di bawah nama mereka, dan itu bermakna mereka cuma memerlukan sekurang-kurangnya 26% lagi saham secepat mungkin untuk menjadi pemegang saham terbesar tanpa menyedarkan Guthrie.

Imej dari: Wikipedia

Selain itu, pemegang-pemegang saham sedia ada juga perlu dirunding dan diyakinkan untuk turut serta menjual saham mereka. Salah satu daripada sekutu yang memainkan peranan penting dalam peristiwa Dawn Raid ini ialah Rothschilds (pemegang 11% saham), yang mana melalui rundingan dan sejumlah wang yang tidak didedahkan, bersedia untuk membantu rakyat Malaysia mencapai sasaran menjadi pemegang saham yang terbesar.

Pengambilalihan bersejarah untuk rakyat Malaysia

 ‘Serangan’ tersebut berjaya dilaksanakan. Akhirnya, PNB dapat memegang 51% saham Guthrie, menjadikan mereka sebagai pemegang saham terbesar hanya dalam masa sepuluh minit. Guthrie pernah menjadi syarikat perladangan terbesar di dunia, mempunyai beberapa bank yang besar dan 100,000 ekar tanah ladang, dan semuanya telah menjadi milik PNB.

Guthrie digabungkan dengan Sime Darby pada Januari 2007. Nama Guthrie itu sendiri sudah tiada lagi, tetapi strategi bersejarah yang dilancarkan Tun M pada hari itu kekal segar dalam ingatan. Kerana ia bukan sahaja untuk meraih keuntungan, tetapi juga usahasama rakyat Malaysia yang bersatu dalam mengembalikan kebanggaan negara mereka.

Want More Story From Us?