Usaha melindungi dugong

Antara spesis hidupan marin yang ada di laut Malaysia ialah dugong. Namun dengan jumlah yang semakin berkurang, tiba masanya dugong dilindungi walau dengan apa cara sekali pun.

Tahun lalu, dua ekor dugong dijumpai terdampar di pantai Krabi dan Trang, sebelum kedua-duanya dilaporkan mati beberapa hari kemudian kerana jangkitan darah yang berpunca daripada penghadaman plastik di laut. Beberapa bulan sebelumnya, tujuh ekor dugong juga dilaporkan mati di pantai Thailand.

Rekod kematian ini menjadi petanda awal bahawa kehidupan dugong terutamanya di sekitar persisiran Asia Tenggara kini terancam.

Penampakan dugong mengikut hasil kajian yang dijalankan oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Imej dari: INOS UMT
Laporan 2016 meletakkan angka dugong kurang daripada 100 ekor

Sumber makanan utama dugong ialah rumput laut (seabed grass), maka dengan bekalan makanan yang semakin berkurang, sukar untuk dugong bergantung hidup.

Kajian mendapati seekor dugong dewasa mampu makan sebanyak 40kg rumput laut sehari. Malangnya, inilah juga antara sebab jumlah spesis marin ini dikatakan hanya mencecah angka 100 ekor pada tahun 2016.

Rumput laut yang boleh menarik kehadiran dugong.
Imej dari: Clean Malaysia/ WWF
Jaring ikan, kipas kapal, dan pencemaran laut

Di mana rumput laut tumbuh, di situlah dugong mendiam. Tanpa rumput laut, si dugong akan berenang jauh mencari sumber makanan. Risikonya tinggi untuk terperangkap dalam jaring ikan para nelayan, dicederakan kipas kapal, dan terkena tempias pencemaran laut. Lebih lama tempoh seekor ibu dugong berpisah dengan anaknya, lebih tinggi bahaya yang terdedah kepada kedua-duanya.

Walaupun kajian yang dijalankan Borneo Marine Research Institute (BMRI) menyatakan bahawa tiada bukti dugong telah pun pupus, penampakan dugong yang semakin berkurang di tempat-tempat yang sebelum ini menjadi tarikan pelancong yang ingin melihat dugong seperti Pulau Tiga, Pulau Mantarani, dan Brunei Bay seharusnya membuka mata orang ramai betapa spesis ini memerlukan bantuan pemuliharaan untuk terus bertahan hidup di laut.

Taman Negara Similajau – usaha konservasi

Sebagai usaha untuk melindungi hidupan marin terancam, Sarawak Forestry Corporation Sdn Bhd (SFC) melancarkan Projek Pemuliharaan, Alam Sekitar dan Biodiversiti (BEACON) pada tahun 2013. Melalui projek ini, Taman Negara Similajau dijadikan tempat perlindungan haiwan seperti ikan lumba-lumba, penyu, dan semestinya, dugong.

Tukun tiruan digunakan sebagai terumbu karang sementara memberi ruang kepada terumbu karang yang sebenar untuk dibenihkan demi menghalang pukat tunda daripada memasuki kawasan taman, sekali gus menyediakan tempat yang selamat untuk haiwan-haiwan ini bebas bergerak.

Khas untuk dugong dan penyu laut, rumput laut yang tumbuh dilindungi dan dibiarkan hidup subur supaya sumber makanan buat dua spesis haiwan ini akan terus terjaga.

Di samping menjadi tempat di mana hidupan laut membina habitat yang selamat daripada ancaman, Taman Negara Similajau juga mempunyai keindahan pantai di mana para pelancong boleh menikmati aktiviti seperti melihat burung (bird watching). Antara spesis burung yang ada ialah burung enggang (hornbills), burung pemangsa (raptors), dan burung bangau (egrets).

Imej dari: imgur.com
Usaha sama untuk memastikan dugong boleh terus hidup

Sama seperti haiwan-haiwan lain, kewujudan dugong penting dalam menjaga keseimbangan ekosistem. Dugong diperlukan untuk memastikan pembesaran dan penumbuhan rumput laut yang berterusan, supaya spesis marin yang lain dapat terus bergantung hidup kepada sumber makanan yang sama.

Planet Bumi masih dan akan terus memerlukan dugong, oleh itu memastikan ia mampu terus hidup adalah tanggungjawab semua tanpa mengharapkan Taman Negara Similajau sebagai satu-satunya usaha.

Want More Story From Us?