Spesis terancam sebagai makanan “eksotik”

Setiap hidupan liar di Bumi mempunyai ‘tanggungjawab’ tersendiri dalam menjaga keseimbangan ekosistem planet. Tetapi yang menyedihkan, ada juga yang menjadikan haiwan-haiwan ini sebagai pemuas selera makan.

Wabak virus korona yang pertama dikesan dipercayai bermula dari sebuah pasar basah di bandar Wuhan, China, di mana haiwan eksotik disembelih dan dijual.

Trend pemakanan haiwan eksotik di China telah menyebabkan ramai mengesyaki bahawa ia mungkin salah satu penyebab tercetusnya penyebaran virus korona (COVID-19). Penularan video di internet juga menyumbang kepada panik dalam kalangan netizen yang tambah mengeruhkan keadaan dan persepsi mereka terhadap negara China.

China dikenali ramai sebagai sebuah negara yang mempunyai tradisi menjadikan haiwan liar sebagai makanan atau ubat-ubatan, walaupun ancaman beberapa spesies seperti kucing civet dalam wabak SARS 17 tahun yang lalu seharusnya telah memberi pengajaran.

Pada asalnya, tenggiling dikenalpasti sebagai pembawa virus
Tenggiling sebelum ini dipercayai penyebar utama virus korona.
Imej dari: news.com.au

Universiti Pertanian China Selatan telah mengeluarkan kenyataan bahawa tenggiling telah dikenal pasti sebagai hos yang berpotensi menyebabkan tercetusnya epidemik COVID-19.

Menurut Profesor Andrew Cunningham, Timbalan Pengarah Sains, Persatuan Zoologi London, pasar haiwan liar dan eksotik yang hidup seperti pasar basah yang besar di China itu adalah tempat yang sesuai untuk kemunculan virus zoonotik. Seperti SARS, virus korona baru itu dianggap berpunca dari pasar basah tersebut.

Isu Etika Memakan Haiwan Eksotik

Industri makanan merupakan salah satu eksploit haiwan terbesar yang bertanggungjawab terhadap penderitaan dan kematian haiwan-haiwan ini. Setiap tahun, beratus-ratus bilion haiwan terbunuh untuk dijadikan makanan, dan selebihnya hidup dalam ketakutan dan penyeksaan yang berterusan.

Haiwan-haiwan ini dilabel “eksotik” kerana sifat semulajadi sebagai hidupan liar yang hidup di hutan, tambahan pula mereka diburu kerana spesis mereka yang jarang ditemui akibat krisis kepupusan. Oleh sebab itulah, memakan haiwan “eksotik” ini menjadi kegilaan ramai penduduk China. Kepercayaan jitu bahawa ia boleh digunakan untuk tujuan perubatan menjadikan permintaan terhadap haiwan-haiwan ini lebih tinggi.

Gambar-gambar yang tular di media sosial menunjukkan sebuah restoran yang menyajikan lebih daripada 100 jenis haiwan liar sebagai makanan istimewa. Selain “eksotik”, sesetengah haiwan ini juga dikenali sebagai haiwan zoo.

Kepercayaan bahawa haiwan “eksotik” menyembuhkan penyakit

Orang ramai percaya bahawa memakan haiwan eksotik dapat menyembuhkan penyakit yang ada pada tubuh badan mereka walaupun tiada penyelidikan saintifik yang pernah membuktikan kebenarannya. Tetapi kerana tegarnya kepercayaan ini, sesetengah manusia sanggup menyembelih haiwan-haiwan untuk dijadikan ubat tanpa mengambil kira status yang hampir pupus.

Malah, kepupusan inilah antara yang menyumbang kepada harga yang tinggi di pasaran.

Ubat-ubatan tradisional yang berasal dari haiwan eksotik telah terbukti tidak berkesan. Lebih teruk lagi, sangat berbahaya. Difahamkan bahawa beberapa campuran yang digunakan dalam perubatan tradisional menghasilkan bahan pencemar alam sekitar dan bahan kimia berbahaya yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit berbahaya termasuk kegagalan buah pinggang dan kanser.

Banyak negara telah mengharamkan pembunuhan dan penangkapan spesis haiwan yang digunakan dalam perubatan tradisional sebagai usaha untuk menghentikan aktiviti pemburuan haram. Selain itu, onvensyen hidupan liar multinasional yang dipanggil CITES telah melarang dan mengehadkan perdagangan haiwan eksotik ini.

Haiwan “eksotik” bukan makanan, sebaliknya perlu dilindungi

Jenayah hidupan liar merupakan satu jenayah yang besar. Dijalankan oleh rangkaian antarabangsa yang berbahaya, pengedaran hidupan liar dan bahagian-bahagian haiwan seharusnya diambil kira sama rata seperti kes dadah dan senjata haram.

Planet Bumi dikongsi bersama antara manusia dan haiwan. Jika ia satu jenayah berat untuk membunuh atau memperdagangkan manusia, haiwan juga layak menerima layanan dan perlindungan yang sama. Yang liar itu bukan makanan, sebaliknya harus lepas bebas menerokai hutan belantara demi menjaga keseimbangan ekosistem yang semakin membimbangkan ini.

Want More Story From Us?