Satu-satunya spesies tapir di Asia

Antara spesies tapir terbesar di dunia, Malayan Tapir (Tapiris Indicus) adalah satu-satunya spesies tapir yang ada di benua Asia dan mempunyai belang hitam putih yang unik membuatkan ia berbeza dengan spesies tapir yang lain.

Tetapi seperti kebanyakan haiwan unik yang lain, Malayan Tapir juga mempunyai risiko untuk pupus di bumi ini. 

Dikategorikan ‘terancam’ oleh IUCN

Populasi Malayan Tapir kini makin berkurangan. Di Malaysia sahaja terdapat antara 1,100 hingga 1,500 ekor dan telah dikategorikan sebagai salah satu spesies terancam oleh International Union for Conservation of Nature (IUCN).

Faktor yang menyebabkan Malayan Tapir ini terancam adalah tidak lain dan tidak bukan kerana perbuatan manusia. Pembalakan hutan dan pembinaan jalan raya yang meluas telah mengakibatkan haiwan ini kehilangan habitatnya dan seterusnya, dilanggar maut oleh kenderaan yang dibawa laju. 

Tahun ini sahaja, sehingga hari ini, terdapat lima kes tapir yang mati dilanggar di Malaysia. Hal ini berlaku kerana terdapat gangguan di habitat mereka sehingga menyebabkan mereka merayau ke kawasan yang berbahaya. 

Tapir juga mempunyai daya penglihatan yang lemah

Malayan Tapir adalah spesies haiwan yang aktif pada waktu malam. Ditambah pula haiwan ini ada kekurangan iaitu mempunyai penglihatan yang lemah, menyebabkan mereka sering dijadikan korban bagi kenderaan yang dibawa laju.

Bukan itu sahaja, pemburuan haram juga menjadi punca populasi Malayan Tapir ini terancam. Oleh sebab kekurangan penglihatan, haiwan ini mudah terdedah dengan perangkap dan pemburu haram. Malayan Tapir diburu kerana terdapat sesetengah manusia yang inginkan dagingnya atau untuk dijual dengan harga yang tinggi.

Seekor Malayan Tapir betina bersama anaknya.
Imej dari: Edinburgh Zoo
Mempunyai kadar reproduksi yang lama

Untuk meningkatkan populasi Malayan Tapir ini bukanlah mudah kerana mereka mempunyai tempoh reproduksi yang panjang.

Seekor Malayan Tapir betina mengambil masa sekurang-kurangnya 13 bulan untuk melahirkan seekor anaknya dan jarang sekali untuk mendapat kembar. Setelah itu, Malayan Tapir betina tersebut tidak akan dapat mengandung lagi selama 18 bulan ke dua tahun.

Disebabkan itulah apabila seekor tapir maut, ia akan mengancam keseluruhan populasi Malayan Tapir di dunia. 

Ejen penyebaran benih

Malayan Tapir ini perlu dilindungi kerana haiwan ini mempunyai fungsi yang penting dalam ekosistem hutan hujan tropika kerana ia adalah ejen penyebaran benih.

Malayan Tapir adalah haiwan herbivor yang makan tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan. Mereka akan melakukan penyebaran benih mengikut tumbuhan yang dimakan. Perkara ini amat penting kerana ini akan dapat mengekalkan struktur dan fungsi biodiversiti hutan. 

Jika populasi mereka berkurangan, maka akan berlaku impak yang negatif kepada ekosistem hutan.

Pusat perlindungan tapir pertama di negara

Apabila spesies Malayan Tapir ini makin hari makin terancam, Malaysia telah mengambil keputusan untuk membina sebuah pusat perlindungan untuk haiwan tersebut. Pusat perlindungan ini akan dibina di Hutan Simpan Kenaboi, Jelebu di Negeri Sembilan. 

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) membuat keputusan tersebut kerana di negara ini belum ada lagi pusat perlindungan yang khusus untuk melakukan rawatan, pemulihan dan pembiakan Malayan Tapir meski pun jumlah haiwan itu diselamatkan meningkat setiap tahun.

Sama-sama lindungi Malayan Tapir daripada kepupusan

Walaupun warna badannya serupa dengan beruang Panda tetapi Malayan Tapir ini tidaklah terkenal seperti haiwan beruang hitam putih itu. Masih ramai lagi tidak kenal atau tahu apa itu Malayan Tapir. Justeru itu, dengan pembinaan pusat perlindungan ini, diharapkan lebih ramai lagi masyarakat kenal apa itu Malayan Tapir dan jasanya kepada ekosistem negara. 

Apabila masyarakat sedar kewujudan dan kepentingan Malayan Tapir, barulah mereka akan sama-sama berusaha untuk membantu memelihara haiwan ini daripada ancaman kepupusan. 

Want More Story From Us?