Sejak kebelakangan ini, perubahan iklim global semakin jelas kelihatan di mana pola hujan sentiasa berubah-ubah dan tidak dapat dijangka sehingga terjadinya banjir di sesuatu tempat.
Banyak kajian saintis yang menunjukkan perubahan iklim bukan lagi perkara biasa walhal semakin teruk sehingga menyebabkan punca kerap berlakunya bencana alam.
Perubahan Ekstrem
Pensyarah di Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Haliza Abdul Rahman berkata, berdasarkan kajian oleh sekumpulan saintis iklim mendapati perubahan ekstrem dalam pola cuaca seperti suhu, hujan dan kelembapan mungkin berpunca daripada perubahan iklim.
Menurutnya, pada pertengahan Julai lalu, barat Eropah dilanda banjir besar selepas hujan lebat melanda seluruh perkampungan hingga menyebabkan sekurang-kurangnya 209 orang mati di Jerman dan Belgium, manakala puluhan lagi hilang.
“Banjir juga menyebabkan kerosakan di Luxembourg, Belanda dan Switzerland. China turut menerima nasib sama dengan kenderaan dihanyutkan air di pusat bandar Zhengzhou selain turut meragut sekurang-kurangnya 33 nyawa.
“Kajian mendapati, jumlah purata hujan yang sepatutnya diterima dalam setahun telah turun sepenuhnya dalam tempoh tiga hari di bandar Zhengzhou menyebabkan air berlumpur memenuhi longkang sebelum melimpah ke jalanan, terowong dan laluan kereta api bawah tanah,” kata pensyarah itu.
Banjir Selangor
Malaysia turut tidak terlepas daripada dilanda bencana banjir besar tidak terduga terutamanya yang berlaku di Selangor pada akhir tahun lepas. Bencana banjir yang berlaku itu juga berpunca daripada perubahan iklim.
Hal ini telah membawa kepada dua kesan utama seperti kejadian banjir yang lebih ekstrem sama ada banjir daratan dari segi peningkatan jumlah dan intensiti serta kekerapan hujan dan banjir pantai yang diakibatkan oleh kenaikan aras laut yang turut menyebabkan penerobosan air laut ke daratan.
“Pertembungan dua senario tersebut memungkinkan kejadian banjir yang lebih buruk seperti bencana besar pada 2014 di negeri Pantai Timur terutamanya di Kelantan dan kini banjir terburuk dalam tempoh tujuh tahun di Selangor,” jelas Prof Haliza.
Semakin Teruk
Turut dimaklumkan bahawa saintis juga menjangkakan keadaan tersebut akan menjadi semakin teruk dalam tempoh 20 tahun ke hadapan. Malah, Malaysia telah memasuki fasa perubahan iklim yang semakin membimbangkan dan memerlukan tindakan segera dan kerjasama daripada semua pihak.
“Lantaran itu ramai yang mengambil jalan mudah dengan mengatakan semuanya diakibatkan oleh perubahan iklim.
“Namun, banjir ekstrem tersebut tidak hanya disebabkan oleh pengaruh cuaca dan iklim semata-mata, tetapi juga akibat campur tangan keterlaluan manusia yang mengubah unsur iklim ke tahap yang ekstrem sehingga berpotensi mewujudkan dan memburukkan lagi kejadian bencana seperti banjir,” jelas Prof Haliza.
Banjir Kilat Bandar
Proses pembandaran pesat dan padat menyebabkan banyak kawasan yang dipermodenkan, secara tidak langsung akan menyebabkan berlakunya banjir kilat. Baru-baru ini juga pada 25 April 2022, ibu kota negara Kuala Lumpur telah dilandan banjir kilat yang mengakibatkan ramai tersekat berikutan sebanyak beberapa laluan utama ditutup akibat bencana tersebut.
Ini merupakan kali kedua ibu kota negara itu dilanda banjir kilat pada tahun ini, dengan yang pertama pada bulan Mac yang lalu.
Prof Haliza menambah bahawa sikap segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab dengan membuang sampah di longkang dan parit serta sisa bahan binaan dan industri sehingga menyekat laluan air turut menyumbang kepada berlakunya banjir kilat.
Apa yang dikatakan oleh Prof Haliza itu benar apabila setelah banjir mula surut di Kuala Lumpur, sampah-sarap mula kelihatan di sekitar bandar, secara tidak langsung merosakkan pemandangan umum.
Betul, bencana alam terjadi sebab ketentuan Tuhan namun, situasi ini mampu dielak sekiranya semua pihak, termasuk masyarakat sendiri, memainkan peranan masing-masing dalam menjaga alam sekitar serta mengambil perhatian terhadap perubahan iklim yang berlaku di negara serta dunia.