Penemuan unsur nadir bumi (REE) membawa tragedi

Kecoh di negara apabila kerajaan Kedah mendedahkan bahawa mereka telah menemui unsur nadir bumi atau rare earth element (REE) bernilai RM 62 juta di Sik, Ulu Muda.

Mineral REE ini jarang ditemui di dalam bumi dan biasanya digunakan sebagai bahan asas untuk pembuatan barangan terutama bagi pembuatan kereta hybrid yang dikatakan selamat untuk alam sekitar.

Pendedahan yang telah dibuat oleh Menteri Besar Kedah, Sanusi Md Nor itu telah menerima pelbagai reaksi daripada orang awam, yang rata-ratanya merasakan penemuan tersebut akan dapat mengubah negeri Kedah seperti negara daripada salah satu filem fiksyen Marvel, Black Panther iaitu Wakanda, yang diubah suai namanya kepada ‘Wakedah’.

Secara dasarnya, penemuan tersebut memang akan dapat menaik taraf kehidupan penduduk negeri Kedah namun penemuan tersebut juga boleh mendatangkan akibat buruk jika kerajaan Kedah tetap berkeras untuk melakukan aktiviti perlombongan REE itu.

Tragedi Bukit Merah

Malaysia pada suatu ketika dahulu, pernah mempunyai kilang nadir bumi di Bukit Merah, Perak yang mula bertapak pada tahun 1979 iaitu milik Asian Rare Earth Sdn Bhd, yang mana pemegang saham utamanya adalah Mitsubishi Chemical Industries Ltd (35%).

Kilang tersebut ditubuhkan untuk mengestrak nadir bumi yttrium, yang diputuskan bahawa sisa tersebut adalah milik kerajaan Perak dan akan disimpan kerana berpotensi sebagai sumber tenaga nuklear.

Sejak penubuhan kilang tersebut, rata-rata penduduk mula mengadu mengenai bau dan asap kilang yang busuk sehingga menjadikan mereka sesak nafas dan menangis. Malah, kesihatan mereka juga semakin teruk; bukan hanya batuk dan demam yang kerap malah, kejadian seperti leukaemia, kematian bayi, penyakit sejak lahir dan keracunan plumbum turut meningkat.

Jadi, untuk pertama kali dalam sejarah, pada tahun 1985, penduduk Bukit Merah dan pencinta alam Perak telah bangkit untuk menyaman Asian Rare Earth Sdn Bhd demi melindungi kesihatan dan alam sekitar daripada pencemaran radioaktif.

Akhirnya, pada tahun 1992, kilang milik Asian Rare Earth Snd Bhd itu mengumumkan penutupan kilang mereka di Bukit Merah. Selepas itu, kerajaan dengan giatnya melakukan pembersihan pencemaran di kawasan tersebut, yang dianggarkan bernilai RM300 juta pada tahun 2010. 

imej dari: Iluminasi
Sejarah akan berulang?

Namun begitu, selepas tragedi di Bukit Merah, sepertinya Malaysia mengulang sejarah yang sama apabila pada tahun 2012, syarikat perlombongan nadir bumi Australia, Lynas Corporation Ltd telah membina sebuah kilang di Gebeng, Kuantan yang dikatakan untuk menapis bijih timah radioaktif dari Australia.

Sehingga Februari 2018, syarikat tersebut telah mengumpulkan sisa yang dinamakan sisa Water Leached Purification (WLP) yang radioaktif berjumlah 451, 564 tan metric dan sisa Neutralisation Underflow (NUF) yang diklasifikasikan sebagai sisa berjadual, berjumlah 1.2 juta tan metric.

Pada ketika ini, timbunan sisa tersebut dikumpulkan secara terbuka dalam kawasan kilang Lynas yang telah mencapai had keupayaan simpanan NUF pada Jun 2018 dan memerlukan tapak pelupusan kekal yang masih tiada sehingga kini.

Malah, menurut laporan Jawatankuasa Eksekutif (ECR) pada 2018, punca utama pencemaran enapan di Sungai Balok adalah daripada operasi Lynas Advanced Material Plant (LAMP).

Kilang Lynas di Kuatan pada Mac 2019.
Imej dari: LawYH/Macaranga
Belum ada pengesahan

Sekarang ini, penemuan nadir bumi di Kedah itu telah memberi kebimbangan terhadap ramai pihak terutama apabila dikatakan bahawa aktiviti perlombongan tersebut akan mengancam hutan-hutan simpan dan bekalan air di kawasan utara.

Walaubagaimanapun pada ketika ini, masih lagi belum ada sebarang pengesahan bahawa perlombongan mineral REE itu akan diteruskan ataupun tidak.

Tetapi jika ia diteruskan, harapnya tidaklah menjejaskan kesihatan rakyat sekeliling serta flora dan fauna. Namun sepertinya itu adalah mustahil kerana perlombongan dan pemprosesan nadir bumi ini, pasti akan mendatangkan kesan buruk.

Want More Story From Us?