Pemutihan Terumbu Karang: Ekosistem Terjejas?

Seperti mana yang diketahui, terumbu karang atau ‘coral reef’ bukan sekadar batuan biasa di dalam lautan tetapi ianya merupakan hidupan marin yang sangat bernilai untuk menstabilkan ekosistem di dalam lautan.

Terumbu karang adalah sekumpulan hidupan laut yang bersimbiosis dengan sejenis tumbuhan alga yang disebut sebagai zooxanthellae. Hidupan marin ini termasuk dalam jenis karang yang memiliki tentakel.

Hidupan marin ini juga tidak asing lagi di perairan laut Malaysia terutama di kepulauan Borneo seperti Sabah. Terumbu karang menjadi salah satu tarikan pelancong yang melakukan aktiviti ‘snokerling’ kerana keunikan dan kecantikan mereka.

Kehilangan pimentasi alga

Namun, terumbu karang ini sering kali dikaitkan dengan masalah pemutihan terumbu karang atau ‘coral bleaching’ yang menyebabkan terumbu tersebut memutih dan mati.

Hal ini terjadi kerana terumbu karang tersebut kehilangan endosymbionts intraseluler melalui pengusiran atau kehilangan pigmentasi alga daripada terumbu karang tersebut. Kehilangan itu sekaligus menjadikan terumbu tersebut berwarna putih dan mati.

Faktor yang menyumbangkan kepada berlakunya fenomena ini ialah suhu laut berubah, pencemaran serta pelacongan. Perkara-perkara ini akan menyembabkan terumbu karang yang sihat tertekan atau ‘stress’ kemudian memutih dan mati.

Apabila terumbu karang gagal mengeluarkan zooxanthellae kerana tertekan maka pemutihan akan berlaku dan terumbu karang yang sihat akan berkurang.

Pelindung, pendinding semula jadi

Fenomena pemutihan karang ini mampu menjejaskan ekosistem laut oleh kerana jasa terumbu karang yang amat penting kepada hidupan marin. Terumbu karang merupakan rantaian makanan kepada hidupan marin seperti penyu malah, ianya juga bertindak sebagai rumah atau pelindung kepada spesis ikan-ikan kecil untuk berlindung daripada pemangsa.

Jika fenomena ini berterusan maka, ekosistem laut akan menjadi tidak stabil bahkan, kepupusan terhadap spesis marin juga boleh berlaku.

Bukan itu sahaja, terumbu karang juga adalah pendinding semula jadi yang menghalang ombak kuat daripada menghentam persisiran pantai jadi, kehilangan terumbu karang ini akan menyebabkan negara kehilangan pendinding semula jadi.

Penting kuatkuasa undang-undang

Namun begitu, masih terdapat beberapa langkah yang boleh dilakukan untuk mengatasi fenomena ini daripada terus berlaku.

Penguatkuasaan undang-undang memainkan peranan penting bagi membendung masalah ini. Pihak pengurusan taman marin di negara haruslah bertegas dan melarang pelancong untuk mengambil terumbu karang di mana-mana taman marin agar jumlah peratusan terumbu karang tidak berkurang.

Selain itu, pihak taman marin juga boleh mengehadkan kawasan ‘snokerling’ dengan meletakkan bendera bewarna merah bagi bagi mengelakkan terumbu karang di situ di pijak dan dicabut oleh para pelancong.

Pengeboman ikan di kawasan taman-taman yang sudah diwartakan menjadi taman hidupan marin semestinya perlu dilarang untuk melindungi terumbu karang dan spesis hidupan marin yang lain.

Terumbu karang bukanlah sekadar batuan biasa yang menjadi hiasan oleh kerana kecantikan dan keunikannya. Kehilangan kehidupan laut yang satu ini pasti akan meninggalkan impak yang besar, bukan sahaja untuk hidupan marin tetapi untuk manusia juga.

Want More Story From Us?