MyKar: Kereta Elektrik Buatan Malaysia

Ramai yang tidak mengetahui bahawa Malaysia juga telah membina sebuah kenderaan elektrik yang kini mempunyai prototaip yang berfungsi.

Walaupun terdapat banyak tentangan atas penggunaan teknologi secara besar – besaran oleh orang ramai namun kenderaan elektrik (EV) boleh dikatakan sebagai masa depan pengangkutan.

Di Malaysia, terdapat banyak perancangan dan prototaip EV yang boleh kita lihat sejak beberapa tahun yang lepas. Antaranya, prototaip kereta elektrik yang dinamakan MyKar.

MyKar

Sebuah syarikat baru di Malaysia, EV Innovations, berharap teknologi EV mereka dapat menjadi permulaan bagi EV keluaran tempatan. Bagi menunjukkan potensinya, System Consultancy Services (SCS) telah menghasilkan sebuah kereta prototaip yang dipanggil sebagai MyKar.

Walaupun ia sebuah prototaip yang berfungsi, MyKar masih lagi jauh dari bentuk produksi sebenar. Ia masih kelihatan hampir sama dengan rupa yang didedahkan buat pertama kali di Kuala Lumpur Engineering Science Fair pada November 2019 dan pratonton di Putrajaya Airstrip September tahun lalu.

Start-Up EV Malaysia

Projek MyKar adalah inisiatif mula-niaga (start-up) kenderaan elektrik yang bermula pada tahun 2019 oleh jurutera anak Malaysia. Objektif utamanya adalah menghasilkan EV keluaran massa dan maju dari segi teknologi serta berdaya maju untuk pasaran automotif Malaysia dan ASEAN.

Melalui Memorandum Perjanjian (MoA), EV Innovations bersama Malaysia Automotive Robotics and IoT Institute (MARii) akan mengembangkan teknologi tempatan untuk digunakan pada prototaip MyKar, termasuk teknologi pengecasan tanpa wayar EV, Sistem Pengurusan Bateri (BMS), dan protokol komunikasi antara kenderaan.

EV Innovation yang juga subsidiari syarikat SCS telah menandatangani MoA bersama Ingress Corporation untuk melihat peluang bagi mengilangkan komponen. Majlis tandatangan berkenaan telah dibuat di Litar Antarabangsa Sepang, yang sekali lagi mendedahkan prototaip MyKar tersebut kepada pihak media.

DK Composites Sdn Bhd pula bertanggungjawab untuk menghasilkan badan kenderaan manakala DNT Auto pula ditugaskan untuk mereka bentuk dan pembuatan casis dan semua bahagian mekanikal kenderaan pra-pengeluaran ini.

Spesifikasi MyKar

Prototaip semasa dilaporkan berdasarkan platform Honda Jazz. Pintu dan suspensi MyKar digunakan terus daripada Jazz, dan bentuknya menjadi asas kepada badan binaan komposit gentian oleh DK Composites. Kenderaan ini dibina atas casis ladder frame/tubular yang dihasilkan sendiri oleh EV Innovations.

Berat MyKar adalah 900 kg, dan ia dipacu oleh dua motor hab 12 kilowatt (kW) untuk menggerakkan roda belakang. Kuasa pula datang daripada pek bateri berkapasiti 10 kilowatt per hour (kWh) yang terdiri daripada 32 bateri lithium ion phosphate (LiFePO4) China Aviation Lithium Battery (CALB), dengan berat keseluruhan 100 kg.

Melalui konfigurasi ini, penggunaan kuasa berada pada tahap 6.6 kWh bagi setiap 100 km, seterusnya memberikan ia jarak gerak sekitar 150 km, dengan waktu mengecas sekitar tiga jam.

Syarikat itu memberitahu, dengan bateri 16 kWh, jarak ini boleh ditingkatkan menjadi 200 km, tetapi waktu mengecas juga akan bertambah menjadi 4.8 jam manakala berat menjadi 1,016 kg.

Seawal Tahun Hadapan

MyKar masih lagi tampil sebagai sebuah konsep kereta elektrik sepenuhnya yang boleh dihasilkan oleh syarikat tempatan, namun EV Innovation menegaskan bahawa teknologi yang mereka hasilkan ini bukan untuk mereka sendiri gunakan bagi membangunkan sendiri versi produksi sebenar.

Menurut Datuk Khalilur Rahman Ebrahim, Ketua Eksekutif syarikat SCS, idea di sebalik projek MyKar adalah untuk melakukan penyelidikan dan pengembangan platform EV yang diperlukan, sambil menunjukkan kemungkinan di sebalik teknologi tersebut.

Pada akhirnya, SCS ingin menjual teknologi tersebut kepada pengilang peralatan asal (OEM) yang berminat untuk membuat EV.

Projek sebegini memerlukan penglibatan banyak pihak berkepentingan, seperti mereka yang membuat komponen dan sistem pengurusan bateri (BMS), dan aspek ini turut perlu dititik beratkan.

Sehingga tahap ini, syarikat berkenaan akan bekerjasama dengan MARii bukan sahaja dari aspek homologasi untuk EV, tetapi turut mengambilkira pembangunan teknologi berkaitan seperti BMS, protokol komunikasi kenderaan dan teknologi pengecaj tanpa wayar untuk EV.

Menurut WapCar.my, MyKar dijangka memasuki fasa pengeluaran seawal tahun hadapan dan bakal dijual dengan tanda harga di bawah RM50,000.

Want More Story From Us?