Memilki bulu berwarna merah yang sedikit lusuh, orangutan adalah antara spesis hidupan liar di kepulauan borneo yang juga merupakan salah satu spesis primate yang besar.
Namun, bilangan populasinya amat membimbang apabila ianya semakin berkurangan saban tahun. Spesis yang unik ini perlu dilindungi dengan apa cara sekalipun agar populasinya akan terus bertambah sama ada di habitatnya mahupun di pusat konservasi.
Borneo dan Sumatera
Di rantau Asia Tenggara terdapat dua spesis orangutan iaitu orangutan Borneo dan Sumatera. Walaupun kedua-dua spesis tersebut memiliki bulu lusuh kemerahan yang serupa namun orangutan Sumatera memilik raut wajah yang sedikit panjang.
Orangutan Sumatera juga mempunyai ikatan sosial yang lebih erat dengan kumpulan mereka berbanding orangutan Borneo yang lebih suka sendirian dan orangutan Borneo juga lebih cendurung untuk turun dari pokok untuk bergerak di tanah.
Penurunan populasi yang membimbangkan
Namun di sebalik keunikkan spesis tersebut, angka populasi orangutan Borneo ini tidak menunjukkan peningkatan yang positif apabila jumlahnya semakin menurun saban tahun.
Populasi orangutan Borneo kini berada di ambang kepupusan apabila Kesatuan Konservasi Alam Sekitar Antarabangsa (IUCN) mengesahkan yang spesis ini berada di dalam senarai merah iaitu “kritikal terancam’.
Purata orangutan yang masih hidup dan dianggarkan masih tinggal di Borneo adalah kira-kira 100,000 pada 2016 dan kawasan tersebut merangkumi Malaysia, Brunei dan Indonesia. Jumlah itu berkurangan daripada 288,500 ekor pada tahun 1973 dan dijangka akan jatuh ke jumlah 47,000 menjelang 2025.
Jumlah keseluruhan penurunan populasi tersebut adalah 86.2% dan ianya satu figura yang amat membimbangkan walaubagaimanapun, populasi orangutan di Sabah dilaporkan stabil.
Pembunuhan sepanjang empat dekad
Faktor yang menyumbang populasi orangutan di ambang kepupusan antranya adalah penebangan dan penyahutanan, pemburuan haram dan pemerdagangan haiwan. Menurut satu kajian, sebanyak 2,000 hingga 3,000 orangutan dibunuh setiap tahun sepanjang empat dekad lalu.
Ancaman pembunuhan itu juga datang daripada orang kampung yang melihat spesis tersebut sebagai makhluk perosak, dan spesis berkenaan dikhuatiri bakal pupus dalam tempoh 50 tahun jika trend tersebut berterusan.
Usaha Sabah dipuji
Untuk memastikan populasi orangutan terjaga, satu pusat pemuliharaan telah dibina di Sandakan, Sabah. Pusat itu dibina pada tahun 1964 dan bertujuan untuk memulihara serta mengkaji spesis orangutan sebelum ianya dibebaskan ke habitat liarnya.
Malah, usaha kerajaan negeri Sabah untuk memastikan populasi orangutan turut dipuji oleh badan NGO seperti World Wide Fund (WWF) dan HUTAN apabila menurut satu laporan pada tahun 2018, populasi orangutan Borneo di Sabah semakin stabil sejak 20 tahun lalu meskipun data dan angka populasi tersebut menunjukkan penurunan setiap tahun.
Segala usaha yang dilakukan untuk melindungi spesis orangutan ini adalah penting supaya ekosistem hutan di negara terpelihara. Diharapkan semua pihak dapat berganding bahu agar spesis orangutan Borneo dan Sumatera dapat keluar daripada senarai merah IUCN demi kepetingan alam sekitar dan juga manusia.