Kini cuaca di Malaysia agak luar biasa, panas yang melampau diikuti dengan ribut yang kuat kemudian panas atau hujan kembali.
Walaupun Malaysia dikenali dengan cuaca panas dan hujan yang bermusim, namun perubahan cuaca yang kita hadapi kebelakangan ini agak luar biasa.
Panas yang melampau dan ribut secara tiba – tiba pada waktu petang telah menyebabkan kemusnahan yang mengejutkan dek kerana angin yang terlampau kuat. Dari gerai penjaja yang hancur sehingga dinding kaca yang pecah, ribut seolah-olah mengamuk dalam erti kata lain.
Adakah ia Normal?
Menurut Ketua Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar di Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Fredolin Tangang, melalui The Rakyat Post berkata Malaysia sedang menghadapi musim di antara musim tengkujuh (inter-monsoon). Musim ini adalah antara ketika musim monsun barat daya bermula pada Mac dan sebelum monsun barat daya bermula pada awal bulan Jun.
Tempoh tertentu ini mendorong berlakunya fenomena semula jadi yang dikatakan perolakan dalam atmosfera, iaitu ketika angin tenang bertemu dengan banyak haba dan kelembapan.
Oleh kerana Kuala Lumpur merupakan pulau panas, di mana panas terperangkap di kawasan ini kerana aktiviti bandar secara tidak langsung kenaikan udara panas dan lembap dapat mencetuskan perolakan yang dalam. Perkara ini mengakibatkan semua jenis cuaca mengejutkan berlaku seperti rebut petir yang kuat, banjir kilat serta hujan yang terlampau lebat.
Berhadapan Fenomena Baharu
Malaysia dikatakan bakal berhadapan fenomena cuaca baharu termasuk cuaca ekstrem jika pencemaran alam sekitar terus berlaku di negara ini.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Jailan Simon berkata dalam tempoh 20 tahun lalu, terdapat beberapa fenomena cuaca jarang berlaku sebelum ini. Puting beliung kecil, belalai air, ribut petir luar biasa dan gelombang haba adalah keadaan baharu yang melanda Malaysia disebabkan peningkatan suhu.
Pengarah Pusat Alam Sekitar Global, Faizal Parish menjelaskan suhu minimum tahunan di Semenanjung Malaysia telah meningkat sebanyak 1.4° Celsius dari tahun 1969 hingga 2015. Manakala dari tahun 1993 hingga 2015, permukaan laut telah meningkatkan 5cm.
Ia dijangka akan meningkat sebanyak 50cm di Semenanjung Malaysia dan 1.06m di Sabah menjelang tahun 2100. Ini sekaligus boleh menyebabkan banjir dan hakisan pantai.
Tidak Tersenarai
Malaysia tidak tersenarai untuk menyertai Sidang Kemuncak Perubahan Iklim yang diadakan di Amerika Syarikat pada 22 dan 23 April ini. Jelas Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ini kerana Malaysia adalah sebuah negara yang tidak terdedah kepada perubahan iklim yang ketara.
Beliau juga menjelaskan bahawa Malaysia juga tidak termasuk dalam objektif utama persidangan tersebut, iaitu menggalakkan ekonomi besar yang secara kolektif menyumbang kepada 80 peratus gas rumah hijau (GHG), untuk meningkatkan komitmen mencapai matlamat mengekalkan pemanasan global pada tahap kenaikan suhu maksimum 1.5 darjah selsius.
Namun, kenyataan tersebut mendapat tentangan daripada pelbagai pihak. Ahli Parlimen Subang Wong Chen dan Andrew Sebastian, yang merupakan Ketua Eksekutif Persatuan Ekopelancongan dan Pemuliharaan Malaysia, berkata kenyataan Tuan Ibrahim tidak tepat kerana Malaysia juga seperti negara lain yang pastinya berisiko kesan akibat perubahan iklim.
Wong turut menegaskan negara ini memiliki wilayah pesisir yang luas, yang terdedah kepada kenaikan suhu dan permukaan dasar laut. Tambahnya lagi, pengecualian Malaysia daripada siding kemuncak itu menunjukkan kerajaan perlu lebih serius melindungi negara daripada kemusnahan alam sekitar.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan MUDA juga menggesa kerajaan untuk lebih komited terhadap isu alam sekitar dan perubahan iklim.
Tindakan Kerajaan
Kerajaan akan menjalankan perdagangan karbon dengan berhati-hati agar aktiviti tersebut tidak mempengaruhi komitmen pelepasan gas rumah kaca (GHG) negara, kata Tuan Ibrahim. Dia turut menjelaskan bahawa perkara tersebut adalah antara enam perkara yang digariskan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Tindakan Perubahan Iklim Malaysia (MyCAC) pada 13 April yang lalu.
Pendekatan lain adalah pembangunan agenda pelan pemulihan hijau seperti “Green New Deal” supaya Malaysia menjadi hab dalam bidang ekonomi perkhidmatan dan teknologi hijau. Pendekatan ini juga diharap dapat memupuk gaya hidup hijau dalam semua lapisan masyarakat melalui konsep kesihatan planet ke arah pembangunan mampan secara holistik.
Pendekatan lain adalah pengukuhan tadbir urus perubahan iklim negara melalui penglibatan semua pihak berkepentingan dan pelaksanaan pelbagai program untuk memacu agenda perubahan iklim dengan mengerakkan sumber tenaga dan peruntukan kewangan.