Keindahan bukit di Ipoh semakin menghilang

Baru-baru ini, pernah tular dalam satu perkongsian gambar melalui akaun Perak Press di Facebook yang memperlihatkan situasi bukit di lebuh raya Utara-Selatan ke Ipoh. Bukit tersebut semakin hilang isinya dek kerana aktiviti perlombongan.

Ramai warganet meluahkan rasa kesedihan selepas melihat gambar-gambar tersebut malah mengkritikan sifat manusia yang sanggup korbankan keindahan alam sekitar demi kemajuan.

Setiap langkah yang diambil atas dasar kemajuan mempunyai harganya tersendiri dan harga yang dibayar boleh memberikan impak kepada kesejahteraan hidup tidak kira sama ada manusia mahupun haiwan.

Perkara ini dilihat jelas apabila bukit-bukit yang digondolkan di lebuh raya Utara-Selatan ke Ipoh semakin menghilang seakan-akan bukit itu dibaham demi kepentingan manusia.

Kesan aktiviti kuari

Tidak boleh dinafikan apabila sesebuah bukit atau gunung itu digunakan demi mengaut hasil alam sumber jadi, ianya akan memberi impak kepada habitat haiwan yang terdapat di situ.

Jika berterusan, perkara ini akan menjurus kepada kepupusan haiwan di habitat tempatan disamping kehilangan salah satu kawasan ikonik yang boleh dijadikan sebagai kawasan tarikan pelancongan.

Bukan sahaja akan berlakunya kemusnahan habitat tetapi perubahan pandang darat juga akan berubah.

Keadaan fizikal Gunung Lanno sebelum dan selepas aktiviti kuari
Sumber: Facebook (Packngo_travel_murah)

Gunung Lanno merupakan contoh terbesar kerana perubahan yang drastik dapat dilihat sebelum dan selepas dijadikan sebagai zon kuari

Gunung yang penuh dengan flora dan fauna itu kini telah mendatar dan hanya dapat menyajikan pemandangan batu putih.

Pengeluar hasil batu kapur utama

Setakat ini, negeri Perak mempunyai sebanyak 42 tapak kuari yang menghasilkan 48.1% batu kapur untuk negara.

Sumber: Google Map

Menurut Jabatan Statistik Perak, pada tahun 2019, Perak telah menghasilkan lebih daripada 12 juta batu kapur dan telah menyumbang kepada 0.6% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (GDP).

Perkara ini juga menjadikan aktiviti kuari sebagai ‘insentif’ untuk pemilik syarikat kuari meneruskan aktiviti kuari.

Menteri Besar Perak, Datuk Saraani Mohamad juga berkata kebanyakan kuari batu kapur di Perak dimiliki oleh syarikat persendirian.

Tanpa penyeliaan dan kawalan yang ketat, lambat-laun, aktiviti kuari boleh memakan keindahan bukit dan gunung batu kapur yang ada di Ipoh.

Bukit yang dikorbankan

Negeri Perak sememangnya terkenal dengan jumlah dan hasil galian yang lumayan. Daripada segi sejarah juga boleh dilihat aktiviti perlombongan yang pesat bermula di Perak semasa di bawah pemerintahan British.

Kini boleh dilihat terdapat banyak kawasan bukit dan gua batu kapur di sekitar Ipoh menjadi zon kuari.

Tetapi aktiviti kuari berskala besar yang dijalankan boleh menyebabkan sesetengah gunung dan bukit semakin menipis terus menghapuskan kewujudan bukit yang telah ada selama beratus juta tahun.

Gunung Lanno, Gunung Terendul dan Gunung Rapat merupakan antara keindahalan alam yang telah hilang kecantikannya.

Sumber: Malaysia.news.yahoo.com

Aktivis Lembah Kinta, Ching Boon Tat, 38 tahun berkata keindahan hutan batu-batu kapur mula terjejas apabila kawasan berkenaan dijadikan sebagai zon kuari.

“Kita dapat lihat kilang-kilang kuari itu menjarah di jajaran hutan batu kapur bermula di Chemor hingga Gopeng. Setiap kawasan mempunyai gua-gua tersendiri seperti spesis endemik, fosil dan lukisan pra-sejarah,

“Hutan batu kapur di Lembah Kinta seolah-olah menjadi lokasi pemusnahan berskala besar dan bukannya kawasan pemeliharaan keajaiban alam yang menyimpan warisan yang tidak ternilai,” katanya.

Langkah alternatif

Pengarah Eksekutif Sunway Centre for Planetary Health, Sunway Universiti Malaysia, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood percaya Malaysia boleh mempraktikan kaedah alternatif untuk menggantikan simen yang diperbuat daripada batu kapur.

“Di negara yang tidak mempunyai batu kapur seperti Abu Dhabi akan menggunakan air laut. Selepas proses penyulingan air laut, baki mendapan yang terhasil akan digunakan boleh diubah suai menjadi material lain seperti simen,” katanya.

Sumber: Astro Awani

Penggunaan kaedah tersebut bukan sahaja akan menjaga keindahan bukit kapur malah mungkin akan mendatangkan keuntungan kerana mengambil kesempatan geolokasi Malaysia.

Mengekalkan keindahan alam sekitar merupakan tanggungjawab seseorang manusia yang berdiri di atas muka bumi ini kerana kemusnahan alam sekitar akan mengakibatkan persekitaran yang tidak sihat untuk manusia mahupun haiwan. Susulan itu, semua pihak haruslah berganding bahu agar keindahan alam sekitar negara ini terjaga.

Want More Story From Us?