Ikan bandaraya yang membawa gangguan

Seperti yang ramai tahu, Malaysia mempunyai banyak batang sungai di seluruh negara yang menjadi sumber kehidupan harian serta menjadi jalan pengangkutan buat sesebuah kawasan.

Sungai di negara juga menjadi habitat hidupan akuatik yang pelbagai dan unik serta mampu menjadi tarikan para pelacong dan punca sumber makanan harian buat manusia.

Namun, di sebalik keunikan hidupan akuatik yang ada di sungai, terdapat satu spesis ikan yang mampu menjadi pemusnah serta pemangsa buat hidupan akuatik yang lain.

Spesis ikan purba

Ikan tersebut adalah ikan bandaraya, yang juga dikenali sebagai ikan tombot atau nama saintifiknya, Hypostomus Plecostomus. Ia merupakan ikan air tawar tropika yang berasal dari Amerika Tengah dan Amerika Latin serta merupakan spesis ikan purba.

Ikan ini sangat popular untuk dibela di dalam akuarium kerana sifat semula jadinya yang mampu membersihkan akuarium dan tangki dengan memakan alga serta saki baki makanan ikan dan ikan-ikan yang mati. Selain daripada sifat semula jadinya yang dapat membersihkan akuarium, warnanya yang agak menarik juga adalah antara faktor ia dibela di dalam akuarium.

Menjejaskan ekosistem sungai

Namun, di sebalik keunikkannya ikan ini merupakan spesis ikan invasif kerana ianya bukan spesis asli yang berasal dari Malaysia. Lambakan spesis ikan ini di sungai negara mampu menjejaskan ekosistem sungai serta menyebabkan spesis ikan lain pupus dan mati.

Disebabkan sifatnya, ikan ini mudah menyesuaikan dirinya dengan persekitaran dan mampu membesar sehingga 500 gram. Ikan ini juga boleh berubah menjadi ganas dan membunuh spesis ikan lain jika persekitarannya mempunyai ikan pemangsa yang ganas. Daya ketahanan ikan ini juga sangat tinggi sehingga ia boleh hidup dalam apa jua keadaan sungai.

Perlambakan membawa kerunsingan

Pada tahun 2019, menerusi laporan Harian Metro, beberapa nelayan di Johor Bahru meluahkan kerunsingan mereka akibat perlambakan ikan bandaraya sehingga menyebabkan kerugian kerana spesis ikan tersebut kerap terlekat di jaring.

Menurut salah seorang nelayan situ, selepas hujan, spesis ikan ini akan naik dan melekat di jaring sehingga boleh memperoleh hampir 15 kilogram ikan bandaraya dan tiada satu pun spesis ikan lain.

Dikatakan kehadiran spesis ikan yang tidak boleh dimakan itu dikesan sejak tahun 2009 lagi namun jumlahnya tidaklah banyak dan hanya ditemui di hulu Sungai Skudai berhampiran pintu loji tadahan air di Skudai. Walaubagaimanapun, ikan bandaraya kini boleh ditemui di hilir sungai berhampiran Taman Tampoi Utama.

Sikap segelintir tidak bertanggungjawab

Perlambakan spesis ikan bandaraya di kawasan sungai di sekitar negara adalah disebabkan sikap manusia itu sendiri. Sikap tidak bertanggungjawab segelintir manusia yang membuang spesis ikan ini sesuka hati setelah tidak ingin lagi membela, menyebabkan ikan ini membiak dengan cepat.

Tindakan yang dibuat oleh beberapa pihak tidak bertanggungjawab itu turut mengakibatkan spesis-spesis ikan tempatan berhadapan dengan ancaman oleh kerana ikan ini mampu untuk memakan ikan kecil serta telur-telur ikan yang terdapat di dasar sungai.

Perkara ini amat membimbangkan kerana perlambakan spesis ikan bandaraya di sungai-sungai negara akan menyebabkan spesis ikan tempatan akan pupus, sekali gus menganggu eksosistem negara.

Diharapkan pihak berkuasa dapat memandang serius mengenai hal ini dan berganding bahu untuk menyelesaikan isu tersebut bagi memastikan spesis ikan tempatan dan eskosistem negara terjaga.

Want More Story From Us?