Garisan pertahanan terakhir hutan Sarawak

Jika bukan kerana kaum Penan yang tidak pernah berhenti memperjuang kesejahteraan hutan hujan terakhir di Sarawak, sudah tentu aktiviti pembalakan telah pun menyapu bersih tempat yang mereka panggil rumah.

Kaum Penan menetap jauh di dalam hutan tebal di kepulauan Sarawak. Mereka bergantung hidup kepada hasil hutan dan memburu menggunakan sumpitan (blowpipe). Suku masyarakat mereka sering dipandang ‘kecil’ oleh rakyat lain, tetapi mereka inilah pejuang sebenar yang mempertahankan hutan tadahan hujan yang terakhir di Sarawak daripada terus diterokai.

Sarawak merupakan pulau ketiga terbesar di dunia, dan ia telah menjadi kawasan khas (hotspot) aktiviti penyahhutanan (deforestation).

‘Hotspot’ aktiviti penyahhutanan

Penyahhutanan di Sarawak sebenarnya telah bermula sejak sebelum Malaysia meraih kemerdekaan lagi, dan ia menjadi semakin di luar kawalan sekitar tahun 1970-an dan 1980-an.

Dua aktiviti utama yang menyumbang kepada penyahhutanan hutan hujan (rainforest) di Sarawak ialah pembalakan dan penanaman ladang kelapa sawit.

Kaum Penan yang paling terkesan

Sarawak mempunyai antara kawasan hutan hujan yang tertua di dunia. Suatu masa dahulu, ia meliputi hampir keseluruhan pulau, tetapi hari ini hanya tinggal kurang daripada 10% daripada kawasan hutan utama.

Kaum Penan yang menerima kesan yang paling buruk akibat penyahhutanan, tetapi jika sejarah ada mengajar sesuatu tentang mereka, ia tentunya usaha mereka untuk menghentikan aktiviti pembalakan (logging) di tempat tinggal mereka.

Sekatan jalan orang Penan

Sejak tahun 1980-an, kaum Penan sudah mengadakan sekatan jalan (road blockage) untuk menghalang syarikat-syarikat pembalakan gergasi daripada ‘menceroboh’ tanah yang mereka diami sejak sekian lama. Di sini jugalah bermulanya isu hak tanah adat (native customary land) di Sarawak, yang mana tempat yang mereka panggil rumah tidak termaktub dalam undang-undang negara.

Lebih menyedihkan bagi kaum ini, mengikut sejarah, usaha sekatan jalan yang dilaksanakan menempah mereka tiket ke penjara, di mana mereka dilayan dengan buruk serta meletakkan kesihatan mereka dalam bahaya.

Kesan penyahhutanan juga mengganggu hidup kaum lain

Mereka yang terlalu agresif dalam aktiviti pembalakan nyata tidak peduli dengan alam sekitar dan kesan jangka panjang yang ditinggalkan kepada kawasan hutan yang kini hanya tinggal tanah lapang. Tetapi kaum Penan terpaksa menanggung akibatnya.

Kehidupan mereka terancam kerana sumber hutan yang berkurang, pencemaran air yang memudaratkan kesihatan, hidupan liar yang kehilangan habitat, serta penyahhutanan yang mempercepat proses perubahan iklim (climate change). Bukan cuma kaum Penan, malah kaum-kaum lain yang tinggal di Sarawak turut berasakan impak penyahhutanan. Negeri yang mereka cintai yang dulu kaya dengan flora dan fauna kini semakin ketandusan sumber semulajadinya.

Tertubuhnya Taman Keamanan Penan

Oleh itu, pada tahun 2009, 18 buah kampung Penan bersama-sama kaum jiran yang lain seperti Kenyah, Saban, dan Kelabit sebulat suara untuk menubuhkan Taman Keamanan Penan (Penan Peace Park) atau kemudiannya dinamakan Baram Peace Park dengan misi untuk memelihara hutan hujan terakhir daripada menjadi mangsa pembalakan, juga dalam masa yang sama melindungi tanah adat mereka daripada terus diceroboh.

Keluasan kawasan Taman Keamanan Baram.
Imej dari: Bruno Manser Fonds

Empat prinsip utama yang ditegakkan taman tersebut ialah perlindungan alam semulajadi, perlindungan warisan budaya, memastikan kelestarian perkembangan, dan menggalakkan penglibatan masyarakat orang asli supaya peluang pekerjaan dan sumber pendapatan dapat terjamin.

Adakah jaminan untuk masa hadapan?

Kerajaan negeri Sarawak ada berjanji untuk meletakkan sepenuh fokus dan tenaga dalam usaha untuk memelihara dan memulihara semula 80% hutan hujan di Sarawak, tetapi mengingatkan sejarah lama, ramai yang sukar untuk percaya kerana takut dikecewakan lagi.

Sekiranya usaha ini juga gagal, Sarawak bukan sahaja akan kehilangan kawasan hutan hujan yang terakhir, tetapi seluruh dunia juga akan sengsara kerana kesannya kepada alam sekitar di masa hadapan.

Want More Story From Us?