Demi Pak Belang

Dalam kepelbagaian fauna di Malaysia, ada satu spesis yang menjadi kebanggaan semua: harimau Malaya. Tetapi ia dijangka pupus dalam masa sepuluh tahun lagi.

Iman, badak sumbu Sumatera (Sumatran Rhinoceros) yang terakhir di Malaysia sudah tiada, sekali gus menjadikan status badak sumbu Sumatera di Malaysia sebagai ‘pupus’. Nasib Iman mungkin bakal dikongsi oleh haiwan kebanggaan Malaysia, harimau Malaya, sekiranya tiada usaha dijalankan untuk menyelamatkan spesis istimewa ini daripada terus menjadi mangsa pemburuan haram (poaching).

Seekor harimau diperangkap pemburu.
Imej dari: Lau Ching Fong WWF-Malaysia

Sedihnya, terdapat kurang daripada 200 ekor harimau Malaya (Panthera tigris jacksoni) atau digelar Pak Belang oleh masyarakat tempatan, kini mendiami hutan Semanjung Malaysia. Selain pemburuan haram dan pemerdagangan hidupan liar, ancaman terbesar buat spesis haiwan ini ialah kehilangan habitat kerana penyahhutanan (deforestation) dan kekurangan sumber makanan.

The Malayan Tiger Pledge telah ditubuhkan untuk meraih sokongan daripada 1 juta rakyat Malaysia melalui petisyen Save Our Malayan Tiger menjelang Hari Harimau Sedunia 2020. Ia sebagai satu usaha untuk menggalakkan campur tangan masyarakat sivil (civil society) dalam usaha melindungi harimau Malaya daripada kepupusan.

Pelbagai usaha cuba dilakukan pihak berkuasa dan badan bukan kerajaan (NGOs) untuk menyelamatkan harimau Malaya. Mungkin ini membuat ramai tertanya-tanya, kenapa harimau Malaya perlu diselamatkan?

Memastikan keseimbangan ekosistem planet Bumi

Kajian membuktikan bahawa kehadiran harimau di sesebuah hutan menjadi penanda dan pengukur bahawa kebajikan dan keseimbangan ekologi terjaga. Sayangnya, kajian lepas juga mendapati empat sub-spesis harimau telah pun pupus, dan harimau Malayalah yang bakal menjadi mangsa seterusnya kerana ia spesis yang paling kurang dikenali dan disokong, juga yang paling hampir dengan kepupusan.

Penurunan jumlah harimau di Malaysia dan sedunia.
Imej dari: MYCAT/ The Body shop

Harimau pada umumnya ialah spesis pemangsa dominan yang berada di puncak rantaian makanan, maka ‘tugasnya’ sebagai seekor haiwan karnivor adalah untuk mengawal populasi haiwan herbivor serta memastikan sumber hutan yang menjadi makanan haiwan-haiwan herbivor tidak terancam. Hilangnya harimau tentu akan mengganggu keamanan hidupan-hidupan di hutan, sekali gus meletakkan spesis yang lain-lainnya dalam bahaya.

Harimau tinggal jauh di kawasan hutan tebal, oleh itu memelihara harimau bererti memelihara hutan. Kehijauan hutan yang ada mampu memerangkap karbon yang boleh memanaskan Bumi, sekali gus mengurangkan risiko perubahan iklim (climate change).

Malaysia dianugerahkan kawasan hutan tadahan hujan yang kaya dengan flora dan fauna. Secara ringkasnya, melindungi spesis harimau bukan sahaja menjamin kesejahteraan dan kelangsungan hidup di hutan, tetapi juga menjaga alam sekitar daripada ancaman yang membinasakan.

Harimau Malaya adalah kebanggaan bangsa Malaysia

Sekiranya keseimbangan ekologi tidak mampu memujuk hati ramai rakyat Malaysia untuk berganding bahu melindungi dan menyelamatkan harimau Malaya, satu sebab lain yang mungkin lebih meyakinkan ialah ia merupakan lambang kebanggaan bangsa Malaysia.

Pasukan bola sepak negara bangga memanggil diri mereka Harimau Malaya. Tentunya ia tidak akan memberi impak yang besar di mata orang luar seandainya harimau Malaya sendiri sudah tidak wujud di tanah air sendiri.

Maskot Sukan SEA 2017.
Imej dari: Imgur Merrelstaude

Selain itu, wajah harimau Malaya menghiasi Jata Negara (National Coat of Arms) serta menjadi simbol kekuatan dan keberanian setiap lapisan masyarakat. Ia mudah ditemui di mana-mana sahaja, seperti logo Maybank, Proton, dan menjadi maskot ketika Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017.

Malah, seni pertahanan diri kaum Melayu juga memberi penghargaan kepada Pak Belang iaitu Silat Harimau, yang diinspirasikan daripada pergerakan pertahanan sang harimau.

Alangkahnya sedihnya jika satu-satunya cara untuk generasi akan datang melihat dan mengenali Pak Belang adalah melalui logo-logo yang tidak bernyawa ini.

Imej dari: Reuters

Sebelum ini, Nepal juga berdepan dengan krisis yang serupa tetapi kerjasama antara National Tiger Conservation Committee dan Wildlife Crime Control Bureau di bawah pengawasan pasukan polis Nepal membawa perubahan. Hasil usaha 8,000 orang tentera yang turun ke hutan, jumlah harimau berjaya digandakan serta negara mencapai 365 hari tanpa pemburuan haram pada tahun 2013 dan 2014.

Nepal boleh dijadikan contoh kejayaan dalam memerangi pemburuan haram dan melindungi harimau Malaya, asalkan usaha pihak berkuasa dan rakyat Malaysia juga menyamai usaha mereka di Nepal. Perasaan prihatin dan kasihkan haiwan, terutama sekali terhadap simbol kebanggaan bangsa, perlulah diterapkan dalam diri semua.

Jika ini mampu dilalukan, tidak mustahil untuk harimau Malaya diselamatkan dan terus ada mendiami hutan belantara Semenanjung Malaysia untuk banyak lagi abad yang mendatang.

Sebagai tanda sokongan, turunkan janji anda di sini.

Want More Story From Us?