Walaupun wabak COVID-19 secara kesuluruhannya adalah perkara yang negatif, masih terselit secebis perkara positif iaitu dari segi alam sekitar di seluruh dunia.
Di saat setiap manusia,di seluruh dunia sedang cemas akibat penularan wabak penyakit COVID-19, ada juga kebaikan terjadinya isu sebegini bagi Bumi yang makin uzur kerana aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh manusia.
Sesebuah negara pasti akan mengisytiharkan perintah kawalan pergerakan atau ‘restriction movement order’ supaya penduduknya tidak meningkatkan risiko untuk penularan wabak penyakit ini berlaku dengan lebih pantas.
Pengurangan Pencemaran Udara
Bermula dengan negara China, selain kes COVID-19 yang mencatat jumlah tinggi iaitu sekitar 80,000 kes, mereka juga menghadapi masalah yang teruk iaitu pencemaran udara yang sangat tinggi akibat sektor perindustrian mereka yang pesat.
NASA telah mengkaji dan menemui bahawa kandungan nitrogen dioksida di China telah menurun dengan banyak. Nitrogen dioksida biasanya dihasilkan oleh kenderaan yang berjalan dan juga perkilangan yang biasanya memproseskan bahan dan mengeluarkan asap.
Perkilangan dan juga bisnes lain dalam sektor industri di China terpaksa diberhentikan seketika waktu untuk membantu mencegah penularan wabak COVID-19 ini, hal ini kerana ramai pekerja terlibat mencari sumber pendapatan di sektor ini.
Itali juga sekarang mempunyai udara yang lebih elok kerana mereka juga telah mengisytiharkan ‘lockdown’ bagi keseluruhan negara akibat kes COVID-19 yang semakin hari semakin meningkat dan nampak gayanya tidak terkawal.
Nilai nitrogen dioksida mereka menurun dengan drastik di belah utara Itali di mana wabak itu mula menular kerana itu merupakan kawasan pertama yang dikenakan ‘lockdown’. Seperti China, mereka juga diarahkan untuk tidak keluar dari rumah dan banyak sektor perindustrian harus ditutup seketika.
Suasana-Suasana Yang Menarik Perhatian
Apabila tiada manusia menjalankan aktiviti di luar, alam semulajadi bebas menghiasi dunia. Di Venice, Itali, terusan kelihatan lebih jernih sehingga mata kasar boleh melihat dasar terusan yang berpasir. Selain itu, ikan dan haiwan lain seperti itik makin banyak berada di terusan La Serenissima ini.
Seterusnya, ikan lumba-lumba juga mula mendekatkan diri di persisiran pantai di Itali. Ini merupakan tanda yang baik kerana spesis ini tidak rasa terancam dan berani ke kawasan tersebut tanpa dikacau oleh aktiviti manusia yang mampu membahayakan mereka.
Penduduk di daerah Hubei, China juga dapat menikmati pemandangan yang sangat indah iaitu langit yang cerah dan penuh dengan awan gebu. Pemandangan ini kembali setelah sekian lama kerana pencemaran udara di China sangat teruk hingga menjejaskan kecantikan langit.
Alam Sekitar Patut Diambil Berat Sepanjang Tahun
Walaupun wabak penyakit ini sangat berbahaya, meragut nyawa dan tidak diingini oleh mana-mana pihak, dalam kesengsaraan ini akhirnya bumi mendapatkan rehat yang sangat diperlukan setelah penat dikerjakan oleh manusia yang kadang-kala melampaui batas.
Banyak fenomena alam yang sering tidak dapat dihayati berpunca dari tindakan manusia yang selalu mencemarkan muka bumi. Apabila terjadinya isu sebegini, mereka diingatkan bahawa bumi adalah satu tempat yang sangat indah dan menarik jika dipelihara dengan baik.
Alam sekitar patut diberi ruang untuk bernafas pada setiap masa dan bukan hanya ketika isu begini berlaku. Setiap orang di muka bumi ini harus mengambil berat tentang alam sekitar supaya bumi dapat bertahan lama dan tidak semakin uzur akibat manusia yang mementingkan diri sendiri demi keuntungan.