Benteng semula jadi negara terancam

Hutan paya bakau sememangnya tidak asing lagi untuk ekosistem di Malaysia. Hutan yang dipenuhi oleh pokok bakau ini amat penting untuk kestabilan ekosistem serta kepelbagaian biodiversiti flora dan fauna terutama bagi kehidupan marin.

Kebiasaanya, hutan paya bakau terletak di kawasan berair masin seperti di tepi laut, yang mana berbeza dengan hutan paya gambut yang berada di kawasan berair tawar dan menghala ke darat.

Namun begitu, sejak kebelakangan ini, hutan paya bakau mengalami ancaman kepupusan kerana pembangunan yang pesat terutama di kawasan persisiran pantai yang menjadi habitat pokok tersebut.

Kegiatan akuakultur udang juga turut menyumbang kepada kemusnahan terhadap hutan ini terutama untuk pegumpulan spesis anak udang.

Benteng pertahanan, perangkap sampah semula jadi

Mempunyai populasi sebanyak 3% sahaja di seluruh dunia, hutan ini mampu menyerap karbon sebanyak dua kali ganda daripada jumlah yang asal di samping menjadi pemisah air masin dan air tawar semula jadi.

Malah, hutan ini turut menjadi benteng pertahanan terakhir untuk sesebuah tempat yang mengalami ombak besar secara semula jadi. Perkara ini dapat dilihat menerusi fenomena Tsunami 2004 apabila Malaysia tidak mengalami kerosakkan yang teruk berbanding Indonesia kerana hutan paya bakau ini.

Tambahan pula, hutan ini boleh dijadikan sebagai perangkap sampah semula jadi dan memudahkan ramai pihak untuk membersihkan laut serta hutan tersebut daripada terus dicemari sampah sarap.

60% musnah

Namun, seperti ekosistem lain yang ada di dunia, hutan ini juga berada di ambang kepupusan.

Sebanyak 60% habitat hutan ini telah dimusnahkan akibat perbuatan manusia terutama di Muar, Johor.

Flora dan fauna juga menghadapi ancaman bahaya terutama kepada habitat spesis marin yang akan kehilangan tempat tinggal mereka.

Benteng pertahanan semula jadi negara juga akan hilang jika hutan paya bakau ini tidak dijaga dengan baik.

Ketidakstabilan peratusan hutan simpan

Bagi mengelakkan negara untuk kehilangan hutan paya bakau, mewartakan hutan tersebut sebagai hutan simpan adalah caranya.

Meskipun negara mempunyai hutan simpan paya bakau, namun peratusan hutan simpan yang tidak stabil dari tahun 2011 hingga 2018 adalah membimbangkan.

Menurut Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, pada tahun 2011 sehingga 2013, peratusan hutan simpan paya bakau adalah sebanyak 0.10% dan pada tahun 2014 adalah sebanyak 0.11%.

Walaubagaimanapun, peratusan hutan simpan paya bakau itu mengalami penurunan pada tahun 2015 dengan 0.10% dan terus menurun pada tahun 2017 dengan 0.09%. Kemudian, pada tahun 2018, peratusan hutan ini meningkat kepada 0.12%.

Masalah ketidakstabilan peratusan hutan simpan ini dapat diatasi jika semua pihak berganding bahu mengatasinya.

Semua pihak bekerjasama

Langkah lain untuk memastikan hutan ini untuk tidak terus diancam kepupusan adalah dengan menanam semula paya bakau.

Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga boleh menganjurkan kempen kesedaran untuk rakyat agar mereka mengenali dan mengetahui kepentingan hutan paya bakau ini.

Diharapkan semua pihak akan bekerjasama bagi memastikan habitat hutan ini akan terus terjamin dan selamat.

Kerana jika hutan ini mengalami kepupusan, kesannya kepada negara amatlah membimbangkan terutama kepada ekosistem dan biodiversiti negara.

Want More Story From Us?