Warna warni Aidilfitri pada rekabentuk busana tradisi

Sambutan Aidilfitri dimeriahkan lagi dengan pakaian tradisional turun-temurun yang juga terdiri pelbagai jenis.

Selepas menunaikan ibadah puasa selama sebulan, umat islam akhirnya akan menyambut perayaan Aidilfitri. Perayaan Aidilfitri disambut dengan meriah di seluruh negara, ramai akan berkunjung ke rumah saudara-mara dan sudah tentu juadah yang menyelerakan akan disediakan.

Selama perayaan ini disambut, bukan sahaja duit raya dan bunga api yang menarik perhatian orang sekeliling, namun, pakaian-pakaian tradisional yang jarang dipakai pada hari biasa akan digayakan oleh majoriti masyarakat.

Sejarah pakaian tradisional

Walaupun penjualan pakaian tradisional agak menurun pada tahun ini, masih ramai yang berusaha untuk mendapatkan pakaian yang diidamkan secara dalam talian bagi persiapan Aidilfitri yang bakal menjelma.

Rata-rata individu hanya reti menggayakan pakaian yang dibeli, namun, terdapat sejarah bagi setiap baju yang tidak ramai orang tahu.

Musang hanya pada nama

Baju Melayu ‘Cekak Musang’ merupakan pakaian bagi lelaki yang paling terkenal dan selalu laris dijual. Sebelum mendapat nama cekak musang, ia dipanggil sebagai Baju ‘Wan’ kerana dipakai oleh seorang penduduk di Teluk Belanga bernama Haji Wan Othman.

Imej dari: Slideshare

Beliau telah menghadap Raja dengan memakai Baju Melayu Cekak Musang yang biasanya akan ada empat butang berserta permata. Raja itu terpegun dan jatuh cinta terhadap pakaian itu. Mulai detik itu, Baju Melayu Cekak Musang telah menjadi pakaian anak dan pembesar Johor.

Sehingga hari ini, ramai yang masih memilih Baju Melayu Cekak Musang sebagai pakaian wajib di Aidilfitri kerana ia sangat kemas, dan sesiapa yang memakainya pasti akan kelihatan segak.

Sentuhan Baba dan Nyonya 

Di Malaysia, setiap orang pasti teruja dan tertarik melihat wanita yang berkebaya, lagi-lagi yang memakai Kebaya Nyonya. Untuk pengetahuan, kebaya sebenarnya berasal dari orang Arab yang biasanya akan memakai ‘Abaya’, namun, ia mula menarik perhatian orang Melaka.

Imej dari: Time Out

Kebaya Nyonya pada mulanya digayakan oleh masyarakat peranakan iaitu golongan Baba dan Nyonya. Mereka telah mengambil langkah untuk menggayakan kebaya dengan kain sarung batik yang unik dan juga kasut yang bermanik.

Kain yang digunakan untuk menghasilkan Kebaya Nyonya sangat bermutu tinggi dan susah untuk diperoleh kerana harus diimport dari Eropah. Apa yang unik tentang Kebaya Nyonya ialah kainnya sangat nipis dan jarang, sesuai untuk suhu di Malaysia yang panas.

Kebanggaan Kedah

Bagi baju kurung pula, jenis yang mempunyai potongan yang lawa sudah tentu Baju Kurung Kedah. Walaupun diselitkan dengan nama negeri ‘Kedah’, kurung ini sebenarnya berasal dari Selatan Thailand. Mereka di Thailand memakai blaus singkat yang hanya menutupi punggung.

Imej dari: POYA

Sepasang Baju Kurung Kedah biasanya terdiri daripada baju yang dihasilkan menggunakan kapas yang selesa, serta potongan di leher yang berbentuk bujur, dan juga kain sarung.

Pakaian ini juga dipakai untuk aktiviti harian untuk mereka yang duduk di kampung, tetapi sudah tentu baju kurung yang dijual untuk perayaan Aidilfitri dihasilkan dengan kain dan fabrik yang lebih bermutu tinggi.

Banyak lagi pakaian tradisional lain yang akan digayakan apabila tibanya Syawal, antara pakaian yang lain ialah Baju Melayu Teluk Belanga, Baju Kurung Pahang, dan Kebaya Labuh, dan semua pakaian ini mungkin berasal dari negeri dan negara yang berbeza.

Pakaian tradisional harus dimartabatkan kerana ia merupakan imej dan warisan nenek moyang yang sangat unik. Pereka fesyen terkenal tanah air juga perlu mengeluarkan rekaan berdasarkan pakaian tradisional, di samping  meletakkan fokus untuk memenuhi citarasa moden anak muda.

Want More Story From Us?