Warisan Pendekar Melayu

Pahlawan-pahlawan Melayu di zaman dahulu kala menggunakan silat sebagi seni mempertahankan diri. Hari ini, silat dijadikan aktiviti mengisi masa lapang dan juga sukan olahraga.

Jika teringatkan Laksamana Hang Tuah, pasti terlintas di fikiran tentang kehandalan beliau dalam seni persilatan melawan musuh. Beliau adalah seorang pahlawan Melayu hebat yang hidup di zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah pada kurun 15, serta digelar Bapa Persilatan Melayu.

Silat ialah seni mempertahankan diri yang tersebar luas satu Nusantara sejak berabad yang lalu. Di Malaysia, seni silat digunakan pendekar-pendekar lama seperti yang banyak diterjemah dalam filem-filem P Ramlee seperti Pendekar Bujang Lapok, Laksamana Do Re Mi, dan Hang Tuah.

Babak belajar silat dari filem Pendekar Bujang Lapok yang disukai ramai.
Video dari: Amyjoe Acijay Youtube
Silat warisan seni Nusantara

Tidak banyak catatan sejarah yang ada tentang asal-usul sebenar silat (dipercayai bermula dari zaman kerajaan Langkasuka), tetapi telah dikatakan bahawa orang Melayu yang menetap di pantai pulau Sumatera dan Semenanjung Melayu, dari utara Aceh ke Kelantan, Kedah, dan selatan Kepulauan Riau mengamalkan silat.

Dengan ketibaan Islam sekitar abad ke-14, silat diajar di samping pengajaran agama. Oleh itu, selain menggunakan silat sebagai seni mempertahankan diri, ia juga dipraktikkan sebagai latihan rohaniah.

Banyak jenis silat berbeza gaya dan teknik

Berbeza gaya dan teknik, silat Melayu telah diperhalus mengikut tempat ia dilahirkan dan dinamakan sempena elemen-elemen alam semulajadi seperti haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Antaranya ialah Silat Jawi, Silat Harimau, dan Silat Bunga, serta lebih 300 jenis silat yang lain.

Ilutrasi seorang pendekar Melayu.
Imej dari: pikdo.biz

Setiap satunya dipersembah pesilat dengan pakaian pahlawan Melayu, iaitu baju Melayu (pakaian hari ini biasanya berwarna hitam), samping yang diikat dengan bengkung, dan tengkolok di atas kepala. Antara senjata yang digunakan pula ialah keris, golok, dan lembing.

Silat diiktiraf sebagai seni mempertahankan diri rasmi negara

Demi memperkenal dan mempertahan seni silat Melayu kepada generasi baru di Malaysia, Persekutuan Silat Kebangsaan telah ditubuhkan pada 1983 yang bertunjangkan empat jenis silat utama iaitu Silat Seni Gayong, Seni Silat Cekak, Seni Silat Lincah, dan Seni Gayung Fatani.

Pada tahun 2006, kerajaan Malaysia telah mengiktiraf seni silat Melayu sebagai seni mempertahankan diri rasmi negara di bawah Akta Warisan Negara. Baru-baru ini pula, UNESCO juga telah mengiktiraf seni silat sebagai khazanah warisan negara bagi warisan kebudayaan tidak ketara (intangible).

Silat bukan untuk para pendekar semata

Silat bermula sebagai seni mempertahankan diri dalam kalangan pahlawan, tetapi seni silat pada hari ini telah berkembang dan berubah mengikut peredaran masa.

Ia turut dikenali sebagai acara olahraga. Pencak Silat (istilah yang digunakan Indonesia) mula diperkenal sebagai sukan kompetitif di Sukan Asia Tenggara (SEA) di Indonesia pada 1979, seterusnya menjadi sukan pameran di Sukan Asia di Korea pada 2002.

Majlis sukan, perkahwinan, dan persatuan

Persembahan silat juga menjadi pembukaan atau penutup kepada banyak acara seperti Sukan Malaysia (Sukma), selain menjadi salah satu upacara lazim bagi majlis-majlis perkahwinan, terutamanya Silat Cekak Hanafi.

Persatuan atau kelab di universiti-universiti ada menawarkan latihan dan aktiviti silat untuk para pelajar yang berminat mendalami ilmu persilatan, malah mempersiap diri dengan seni mempertahankan diri yang boleh dipraktikkan apabila berada dalam bahaya.

Persembahan silat.
Video dari: Nazlin Lynn Youtube
Silat kekal sebagai khazanah negara

Tujuan seseorang mempelajari silat pada hari ini mungkin tidak lagi sama seperti dulu, tetapi seni silat Melayu tetap kekal sebagai khazanah negara.

Lihat sahaja penampilan para pesilat, pasti terkenangkan seorang pendekar Melayu terbilang.

Want More Story From Us?