Uniknya dialek kita

Dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak, boleh dikatakan setiap ceruk negeri-negeri di Malaysia mempunyai bahasa dialek yang tersendiri. Kaya dengan keunikan tersendiri, namun pada harga yang perlu dibayar.

‘Balik’ membawa maksud ‘pulang ke sesuatu tempat’ dalam Bahasa Melayu umum, namun di Kelantan, ia disebut sebagai ‘kelik’, menunjukkan bahawa Malaysia bukan sahaja kaya dengan kepelbagaian etnik, tetapi juga dengan pelbagai dialek yang unik merentasi negeri ke negeri.

Selain Kelantan, negeri-negeri seperti Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Perak, dan Kedah juga antara negeri yang mempunyai lenggok percakapan tersendiri. Namun, bukan semua aspek tentang dialek boleh dibanggakan.

Wujudnya jurang sosial

Negeri-negeri di Pantai Timur, terutamanya Kelantan dan Terengganu, dikenali dengan gaya hidup yang lebih tradisional dan pasif. Apabila pelajar-pelajar di sana menamatkan persekolahan dan mula menjejakkan kaki ke alam universiti, sukar untuk kebanyakan mereka menyesuaikan diri kerana loghat yang sudah sebati dengan pertuturan harian mereka.

Natijahnya, halangan sosial tercipta. Memandangkan mereka lebih cenderung untuk bergaul dengan kelompok pelajar yang datang dari negeri yang sama, mereka dilabel sebagai ‘berpuak’ dan ‘bersifat kenegerian’.

Lebih menyedihkan, ada yang diejek apabila tersilap menyebut sesuatu perkataan dalam dialek mereka ketika berbual dengan rakan-rakan yang lain, sekali gus menyebabkan mereka takut untuk bersuara.

Begitu juga keadaannya dengan mereka yang datang dari pedalaman Sabah dan Sarawak yang kurang pendedahan kepada dunia dan bahasa luar. Kepayahan bertutur seolah-olah mencipta jurang antara dua individu yang datang dari dua negeri yang berbeza.

Walau bagaimanapun, ada juga yang berbangga dengan pertuturan bahasa dialek mereka dan tidak kisah sekiranya diperli atau dipandang serong.

Kesilapan dalam penggunaan bahasa

Kajian tentang faktor-faktor yang mempengaruhi kesilapan dalam penggunaan bahasa ada menyenaraikan penggunaan dialek sebagai salah satu faktor.

Bahasa dialek menguasai pertuturan seseorang, terutama sekali sistem bunyi (fonetik), serta kemahiran penulisan.

Sebagai contoh, di Terengganu, perkataan-perkataan yang berakhir dengan huruf n dan m disebut dengan penambahan huruf g di belakangnya. Justeru, perkataan ‘bulan’ mungkin ditulis sebagai ‘bulang’ dalam penulisan karangan dalam peperiksaan. Akibatnya, markah ditolak dan penguasaan Bahasa Melayu menjadi lemah.

Pun begitu, terdapat juga beberapa perkataan dialek yang sebenarnya termaktub dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tetapi ia tidak diketahui oleh si penutur kerana ia diucapkan dengan sebutan yang berbeza mengikut bahasa dialek.

Misalnya, penutur loghat Terengganu memahami perkataan ‘cerida’ (atau ‘ceghida’) untuk menggambarkan suasana yang riuh-rendah atau gamat dengan orang ramai yang bertempiaran. Mengikut DBP, perkataan tersebut ialah ‘ceridau’, maka pengejaan ‘cerida’ tetap juga salah meski pun ia merupakan perkataan yang diiktiraf cuma jarang digunakan dalam bahasa Melayu umum.

Namun di sebalik kesan negatif yang dibawa bahasa dialek, bagi para penutur, mereka bangga dengan keunikan yang ada pada loghat masing-masing. Ia seperti hak eksklusif yang hanya dapat difahami oleh orang-orang tertentu, terutama sekali apabila mereka merantau jauh dari kampung halaman.

Penutur dialek biasanya akan menukar percakapan mereka kepada bahasa umum ketika berada dalam kalangan mereka yang tidak menggunakan dialek, jadi tidak salah untuk yang sebaliknya juga berlaku, terutama sekali jika melawat ke tempat-tempat yang mempraktikkan bahasa dialek yang tebal.

Pepatah Melayu ada mengatakan, masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak, barulah kesaksamaan dapat dibina antara masyarakat.

Want More Story From Us?